Dalam edisi yang lepas, kita telah mempelajari bahawa secara umumnya jampi-jampian dilarang kerana ia melibatkan syirik. Pengecualian diberikan kepada jampi-jampian yang secara jelas lagi nyata tidak melibatkan apa-apa unsur syirik di dalamnya. Selain itu orang yang dijampi tetap mengharapkan kesembuhan daripada Allah dan bukan daripada jampian tersebut. Jika diragui sama ada sesuatu jampian itu mengandungi unsur syirik atau tidak, maka tinggalkan ia sebagai satu pilihan yang menyelamatkan aqidah. 

Di sini timbul persoalan, apakah jampi-jampian yang secara jelas lagi nyata tidak melibatkan apa-apa unsur syirik di dalamnya? Jawapannya, jampi-jampian yang menggunakan ayat-ayat al-Qur’an dan doa-doa yang diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

 

ruqyah.jpeg 

 

Jampi-Jampian Dengan al-Qur’an

Ketahuilah bahawa di antara kemukjizatan al-Qur’an ialah ia boleh menjadi penyembuh kepada penyakit bagi orang-orang yang beriman. Allah Subhanahu waTa'ala berfirman: Dan Kami turunkan dari al-Qur’an apa yang menjadi penyembuh dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan al-Qur'an itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian. [al-Isra’ 17:82]

al-Qur’an boleh menjadi penyembuh bagi penyakit rohani dan juga penyakit jasmani. Penyakit rohani ialah penyakit-penyakit hati seperti cinta dunia, dengki, tamak, kedekut, suka menunjuk-nunjuk, tidak mahu bersabar dan menyakini pertolongan selain Allah. Dalam ayat yang lain, Allah berfirman: Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit dalam dada (hati/rohani) dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman. [Yunus 10:57]

Bagi penyakit jasmani, peranan al-Qur’an sebagai penyembuh dapat dipelajari daripada sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. A’isyah, isteri Rasulullah menjelaskan:

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam ketika baginda sakit yang membawa kepada kewafatannya, biasa meniup kepada diri baginda dengan al-Mu'awwidzat (dua surah terakhir dalam al-Qur’an: al-Nas dan al-Falaq). Tatkala sakit baginda semakin parah, sayalah yang meniup dengan kedua surah tersebut dan saya mengusapnya dengan tangan baginda sendiri kerana mengharapkan keberkatannya. [Shahih al-Bukhari, no: 5294/5735] Caranya ialah membaca kedua-dua surah tersebut, meniup ke kedua-dua tangan dan kemudian mengusap tangan ke muka.

Dalam sebuah hadis lain, ‘Abdullah ibn ‘Abbas menerangkan bahawa beberapa sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam melalui sebuah mata air. Di sana terdapat seorang yang terkena sengatan binatang berbisa, lalu salah seorang yang tinggal di mata air tersebut datang dan berkata: “Apakah di kalangan kalian ada seseorang yang pandai menjampi? Di mata air (ini) ada seorang yang terkena sengatan binatang berbisa.”

Lalu salah seorang sahabat Nabi pergi ke tempat tersebut dan membacakan surah al-Fatihah (kepada orang yang terkena sengatan) dengan upah seekor kambing. Ternyata orang yang terkena sengatan tadi sembuh. Maka sahabat tersebut membawa kambing itu kepada sahabat-sahabatnya, namun mereka tidak suka dengan upah tersebut. Mereka berkata: “Kamu mengambil upah atas al-Qur’an?” 

Setelah mereka tiba di Madinah, mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, dia ini mengambil upah atas al-Qur’an.” (Setelah mendengar kisah sebenar) Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya upah yang paling berhak kalian ambil adalah upah karena (menjampi dengan) al-Qur’an.” [Shahih al-Bukhari, no: 5296/5737]  

Dalam hadis di atas, Rasulullah tidak menegur sahabat yang menjampi dengan menggunakan surah al-Fatihah. Seandainya ia satu kesalahan, nescaya baginda akan segera menegur dan tidak membenarkan pengambilan upah. Sikap diam Rasulullah menunjukkan ia adalah sesuatu yang dibolehkan.

Berdasarkan dua hadis di atas, dibolehkan menjampi dengan menggunakan ayat-ayat al-Qur’an. Selain itu, surah yang terbaik digunakan untuk menjampi ialah surah al-Fatihah, al-Nas dan al-Falaq, sebagaimana hadis-hadis di atas. Ia boleh digunakan untuk menjampi semua penyakit sambil mengharapkan kesembuhan daripada Allah Subhanahu waTa'ala.

 

Jampi-Jampian Dengan Hadis Rasulullah

Selain menjampi dengan ayat-ayat al-Qur’an, dibolehkan juga menjampi dengan doa-doa yang diajar oleh Rasullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana yang tercatat dalam hadis-hadis yang sahih. Salah satu daripadanya ialah apa yang kita pelajari dalam edisi yang lepas: Hilangkanlah (penyakit ini), wahai Rabb manusia. Sembuhkanlah kerana Engkaulah Maha Penyembuh. Tidak ada kesembuhan melainkan kesembuhan-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan sebarang kesan sampingan.” [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 3521/3530]

Terdapat banyak lagi doa dan jampian yang diamalkan dan diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Para pembaca sekalian boleh mempelajarinya daripada buku-buku yang khas menghimpunkan doa-doa Rasulullah yang bersumber daripada hadis-hadis yang sahih.

 

Jampi-Jampian Yang Difahami, Yang Jelas Tidak Syirik

Auf bin Malik al-Asyja‘iy berkata: Kami di zaman Jahiliyyah mempraktikkan jampi-jampian. Maka kami bertanya: “Ya Rasulullah, apakah pendapat anda tentang hal ini?” Rasulullah menjawab:  “Tunjukkan kepada aku jampi-jampian kamu. Tidak mengapa dengan jampi-jampian yang di dalamnya tidak mengandungi syirik.” [Shahih Muslim, no: 4079/2200]

Berdasarkan hadis di atas, dibolehkan jampi-jampian selain al-Qur’an dan hadis selagi mana di dalamnya tidak mengandungi unsur syirik. Pun begitu, dinasihatkan kepada para pesakit atau ahli-ahli keluarganya agar berhati-hati kerana kerap kali seorang penjampi merahsiakan apa yang dibacanya sehingga tidak dapat dipastikan ia benar-benar bebas daripada unsur syirik. Ada juga penjampi yang mencampur-aduk jampiannya antara ayat al-Qur’an dengan sesuatu lain yang tidak dikenali atau tidak difahami.

Cara terbaik lagi selamat ialah meminta penjampi menulis kalimah-kalimah jampinya di atas kertas. Jika penjampi itu seorang yang benar, maka dia tidak akan keberatan untuk menulis. Jika dia keberatan, maka jangan menerimanya sebagai penjampi meskipun dia seorang yang masyhur.