Alhamdulillah bulan Ramadhan akan menemui kita sekali lagi, insya-Allah. Sempena bulan yang mulia ini, saya ingin mengajak diri saya dan para pembaca sekalian mengkaji hadis berikut. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Anak Adam tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk berbanding perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (yakni memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka (paling maksimum hendaklah) sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga untuk pernafasan. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2302/2380] Hadis ini dinilai hasan sahih oleh Imam al-Tirmizi, juga dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani.

anatomi_perut.jpg

(Imej daripada nurseslabs.com

Hadis ini dimulakan dengan kenyataan Anak Adam tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk berbanding perutnya. Ini amatlah benar kerana para pakar perubatan telah menyatakan bahawa sumber utama kebanyakan penyakit manusia seperti sakit jantung, angin ahmar (stroke), kencing manis dan kanser ialah makanan dan minuman. 

Bahkan saya teringat ketika membuat pemeriksaan kesihatan pada bulan Syawal tahun lepas, doktor memberitahu bahawa hampir semua orang yang menemuinya, yang sebelum itu ada sesuatu penyakit, maka penyakit itu akan hilang atau berkurang ke kadar minimum selepas bulan Ramadhan. Saya bertanya kepada Dr. Ashok Krishnan: “Penyakit seperti apa tu doktor?” Beliau menjawab: “Darah tinggi, kencing manis, gout, kolestrol tinggi, sembelit, kegemukan (obesity) dan macam-macam lagi.”

 

Tujuan Makan dan Minum

Di kalangan masyarakat kita ada pepatah: “Hidup untuk makan atau makan untuk hidup?” Tentu saja yang benar ialah makan untuk hidup. Inilah juga yang diterangkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lebih seribu empat ratus tahun yang lalu: Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (yakni memberikan kekuatan kepadanya).

Sayang sekali di antara kita, termasuklah diri penulis, ada yang kadangkala menjadikan tujuan kehidupan ini untuk makan dan minum. Tujuan ini disemarakkan lagi dengan suasana di Malaysia yang sangat pelbagai pilihan makanannya. Sebut saja menu Melayu, Mamak, India Utara, Arab, China, Barat, Italy, bahkan menu-menu mengikut negeri-negeri di Malaysia … semua ini menyebabkan kita bukan sahaja makan tetapi “melantak” makanan.

Moga pesanan Rasulullah dalam hadis di atas dapat dijadikan sumber motivasi untuk membetulkan tujuan kita makan dan minum.

 

Sepertiga Perut

Para ilmuan menyatakan, purata isipadu perut manusia apabila kosong ialah 500ml. Apabila berisi makanan dan minuman, ia mengembang kepada 1500ml. Maksimum ia boleh mengembang kepada 2000ml. Orang yang berbadan kecil akan memiliki isipadu perut yang lebih rendah sementara orang yang berbadan besar akan memiliki isipadu perut yang lebih tinggi. Dikatakan perut manusia boleh mengembang sehingga 4000ml!

Jika diambil isipadu purata 1500ml, maka ia seperti saiz botol air mineral yang besar. Maka untuk menyukat kadar makanan sepertiga perut, ambil sebuah botol air mineral 1500ml. Kemudian bayangkan ia terbahagi kepada tiga bahagian, sepertiga makanan, sepertiga minuman dan sepertiga udara. Kaedah ini dapat membantu kita membuat jangkaan kasar jumlah makanan dan minuman yang patut kita ambil.

Sekali sekala, tidak mengapa jika seseorang itu makan atau minum melebihi kadar sepertiga perutnya. Terdapat beberapa hadis yang menerangkan para sahabat makan sehingga kenyang dan Rasulullah mengizinkannya. Antaranya ialah hadis Shahih al-Bukhari, no: 4962/5381 di mana Rasulullah mendoakan makanan yang disediakan oleh Umm Sulaim bertambah sehingga dapat dimakan oleh 80 orang. Baginda mengizinkan mereka makan sehingga kenyang. Ini menunjukkan bahawa makan dan minum sepertiga perut ialah jumlah maksimum yang terbaik (optimum), namun tidak mengapa jika sekali sekala melebihi jumlah tersebut.

Akan tetapi pastikan ia benar-benar sekali sekala.