Soalan:

Saya baru beberapa bulan memeluk Islam. Untuk pengetahuan ustaz, saya cuba mendalami Islam dan belajar solat melalui buku sahaja. Apakah cara ini berkesan kerana saya sukar untuk mencari guru pembimbing. Adakah sah sembahyang saya, sedangkan saya dalam proses pembelajaran?

Husna Atila Hassan, Ipoh, Perak. 

 

Jawapan:

Ya, solat tersebut adalah sah. Orang yang sedang dalam proses belajar solat, dibolehkan mendirikan solat dengan apa jua yang termampu. Allah Subhanahu waTa'ala berfirman: Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaran-Nya) serta taatlah (akan perintah-perintah-Nya) … [al-Taghabun 64:16] 

Oleh itu, sebagai contoh, jika saudari baru menghafal beberapa ayat pertama surah al-Fatihah, maka memadai membaca beberapa ayat tersebut dan solat adalah sah. Namun hendaklah sentiasa berusaha ke arah menyempurnakan pengetahuan tentang bacaan dan gerakan solat. Allah yang Pengasih lagi Pengampun memahami cabaran-cabaran yang saudari hadapi.