Soalan: 

Sewaktu membeli barang di kedai, saya tidak kira wang yang dipulangkan tetapi setelah pulang saya dapati wang saya masih banyak. Bolehkah wang itu dibelanjakan kerana saya tidak pasti sama ada pekedai itu tersilap memulangkan baki atau ibu saya memberi wang lebih?

Asrina Zulkifly, Tanjung Malim, Perak.

 

Jawapan:

Setiap keraguan atau was-was tidak diambil kira dalam Islam. Jika berlaku keraguan, maka hukumnya dikembalikan kepada apa yang pada asalnya meyakinkan. Ini berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: Tinggalkan yang meragukanmu kepada sesuatu yang tidak meragukanmu karena kejujuran itu ketenangan dan dusta itu keraguan. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2442/2518]

Pada asalnya duit itu diberikan oleh ibu dan ini adalah sesuatu yang meyakinkan. Kemudian timbul keraguan sama ada lebihan duit yang ada berasal dari pekedai yang tersilap atau ibu yang memberikan duit lebih? Keraguan ini tidak diambil kira lalu hukum dikembalikan kepada yang asal, yakni duit itu diberikan oleh ibu. Oleh itu duit yang lebih tersebut boleh dibelanjakan seperti biasa.