Anda sudah sampai ke hospital untuk menziarahi rakan yang sudah beberapa hari berada di dalam wad. Anda dalam keadaan bersemangat untuk ziarah kerana orang yang menziarahi pesakit seolah-olah seperti orang yang menziarahi taman syurga. Persoalannya, apakah yang patut anda lakukan tika menziarahi orang sakit? Apakah yang patut dilakukan dan patut dielakkan agar anda benar-benar dapat memetik buah-buahan di taman syurga?

Pada ruangan ini saya akan berkongsi dengan para pembaca sekalian apa yang patut dilakukan ketika menziarahi orang sakit. Perkongsian ini adalah penting agar kita dapat menjadikan ziarah tersebut sesuatu yang benar-benar bermanfaat bagi pesakit dan diri kita sendiri.

 visitthesick.jpeg

Berkata-Kata Yang Baik

Ketika menziarahi orang sakit, sentiasalah berkata-kata sesuatu yang baik. Umm Salamah, isteri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan, bahawa Rasulullah bersabda: Apabila kalian menziarahi orang sakit atau orang yang meninggal dunia, maka ucapkanlah perkara yang baik-baik kerana malaikat mengaminkan ucapan kalian. [Shahih Muslim, no: 1527/919]

Antara perkara baik-baik yang dapat diucapkan kepada pesakit ialah memberi khabar gembira dan semangat baginya bahawa di sebalik setiap penyakit itu ada hikmahnya. Umm al-‘Alaa’ berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjengukku sementara aku sedang sakit. Baginda bersabda: “Bergembiralah wahai Umm al-‘Alaa’ kerana sesungguhnya (di sebalik) sakit seorang mukmin, Allah akan menghilangkan dosa-dosanya sebagaimana api menghilangkan kotoran emas dan perak.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 2688/3092]

Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah bersabda: Tidaklah sesuatu menimpa seorang muslim daripada kelemahan, wabak, kebingungan, kesedihan, sakit, kesusahan sehinggalah kepada duri yang menusuknya, melainkan Allah menghapuskan dengan (itu semua) kesalahannya. [Shahih al-Bukhari, no: 5210/5641]

Selain itu penyakit ialah satu ujian atau bala daripada Allah Subhanahu waTa'ala. Ujian ini hanya Allah berikan kepada orang-orang atau kaum yang dikasihi-Nya. Maka bergembiralah, berbahagialah dan redhalah jika ditimpa dengan ujian sakit kerana ia tanda kasih sayang Allah. Rasulullah menerangkan hakikat ini:

Sesungguhnya besarnya ganjaran (pahala) bersamaan dengan besarnya ujian (bala’). Sesungguhnya apabila Allah mengasihi sesuatu kaum, Dia menurunkan ujian (bala’). Maka sesiapa yang redha maka dia mendapat keredhaan (Allah) dan sesiapa yang marah maka dia mendapat kemurkaan (Allah). [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2320/2396]

 

Kadar Sakit Selari Dengan Kadar Agama

Merujuk kepada penyakit sebagai ujian, jangan seseorang itu merasakan dirinya tidak mampu melalui ujian yang diberikan oleh Allah. Ini kerana Allah hanya akan memberi ujian yang selari dengan kadar agama seseorang, tidak lebih dari itu. Allah tidak akan menzalimi seseorang dengan ujian penyakit mahu pun apa-apa ujian lain yang tidak mampu dihadapinya. Hadis berikut menjadi rujukan:

Sa’ad bin Abi Waqash pernah bertanya: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berat ujiannya? Baginda menjawab: “Para nabi, kemudian (orang yang memiliki keutamaan) sepertinya, kemudian (orang yang memiliki keutamaan) sepertinya. 

Seseorang itu diuji berdasarkan kadar agamanya. Jika agamanya kuat, ujiannya pun berat. Sebaliknya jika agamanya lemah, dia diuji sesuai dengan kadar agamanya. Ujian-ujian ini tidak akan berhenti menimpa seorang hamba sehingga dia berjalan di atas muka bumi dengan tidak mempunyai kesalahan (kerana dosa kesalahan telah dihapuskan oleh ujian-ujian tersebut).” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2322/2398]

 

Menganjurkan Kesabaran

Penyakit sering kali datang dengan tiba-tiba dan ia bagaikan tamu yang tidak disukai, yang tiba-tiba muncul di hadapan pintu rumah. Pelbagai aktiviti yang dirancang terpaksa dibatalkan dan pelbagai kerja yang sedang dibuat terpaksa ditangguhkan. Semua ini benar-benar menyebabkan kebanyakan orang – termasuk diri penulis – merungut apabila tiba-tiba diuji oleh Allah dengan sesuatu penyakit.

Di sinilah terletaknya kepentingan peranan ahli keluarga dan sahabat handai bagi menganjurkan kesabaran kepada orang yang baru ditimpa sesuatu penyakit. Ujian yang datang menimpa secara tiba-tiba sering kali menyebabkan kita lupa hikmah dan kebaikan di sebalik ujian tersebut. Kesabaran itu hendaklah dianjurkan, disampaikan dan dinasihatkan seawal mungkin kerana rungutan dan ketidak-sabaran seringkali timbul pada saat-saat awal sesuatu ujian. Oleh kerana itulah Rasulullah berpesan: Sesungguhnya kesabaran itu tidak lain ketika pukulan awal (saat ujian menimpa). [Shahih al-Bukhari, no: 1219/1302]

Nasihat untuk bersabar kemungkinan besar tidak cukup sekadar berkata “Bersabarlah!”. Ini kerana dalam suasana tiba-tiba ditimpa ujian sakit (atau apa-apa ujian lain), seseorang itu memerlukan kata-kata nasihat, motivasi dan semangat yang lebih tinggi. Cara yang terbaik ialah menyampaikan atau membacakan hadis-hadis yang telah dikemukakan di atas ini. Sampaikan ia secara penuh dan jelas, nescaya ia akan memberi kesan mendalam yang positif kepada orang yang baru ditimpa ujian. Selain itu hadis berikut adalah satu anjuran kesabaran yang amat baik daripada Rasulullah:

Seorang mukmin amat menakjubkan. Sesungguhnya semua urusannya adalah baik belaka dan perkara seperti ini hanya terdapat pada diri seorang mukmin. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan, dia bersyukur dan itu baik baginya. Jika dia mendapat sesuatu yang tidak disukainya dia bersabar dan itu baik baginya. [Shahih Muslim, no: 5318/2999]