Soalan:

Seorang gadis remaja telah dikecewakan oleh ramai lelaki sehingga dia bersumpah tidak akan mendekati lelaki dan tidak mahu berkahwin. Persoalannya, adakah sumpahan itu berdosa dan tidak akan diterima sebagai umat Nabi Muhammad?

Nurliyana Rahman, Labis, Johor.

 

Jawapan:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah berpesan: Tidaklah seorang mukmin akan disengat dua kali dari satu lubang (sarang binatang) yang sama. [Shahih Muslim, no: 5317/2998] Ertinya orang mukmin ialah orang yang bijak, mereka tidak akan melakukan kesalahan yang sama dua kali. Oleh itu, langkah yang betul bagi gadis tersebut ialah belajar dari pengalaman agar tidak lagi dikecewakan oleh mana-mana lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Ada pun sumpahnya, maka ia dilakukan dalam keadaan kecewa lagi jahil. Lupakan ia dan mintalah ampun daripada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Menyayangi para hamba-Nya lagi Maha Pengampun.