Soalan: 

Saya seorang guru agama. Pada sebelah petang, saya mengajar anak-anak jiran mengaji al-Quran dan cara-cara mengerjakan solat walaupun saya dalam keadaan haid. Minta pandangan ustaz.

Maria Erdina, Kuala Terengganu, Terengganu.

 

Jawapan:

Boleh memegang, membaca dan mengajar al-Qur’an meskipun dalam keadaan haid. Tidak ada dalil yang kuat lagi tegas yang melarangnya. Pendapat yang mengatakan tidak boleh bersandar kepada ayat berikut: (al-Qur’an) Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci. [al-Waqiah 56:79] Pendapat ini tidak tepat kerana makhluk-makhluk yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah para malaikat. Ini boleh difahami dengan merujuk kepada ayat-ayat sebelumnya yang berbicara mengenai al-Qur’an ketika di langit:

Bahawa sesungguhnya itu ialah Al-Quran yang mulia, Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara, Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci; Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam. [al-Waqiah 56:77-80]

Dalam bab ini juga terdapat riwayat yang melarang membaca dan memegang al-Qur’an, namun riwayat tersebut adalah lemah (dha’if) dan tidak dapat dijadikan sumber hukum.