Soalan:

Saya merujuk kepada soal jawab munakahat edisi Pengantin bulan lepas. Saudara mengatakan isteri Tsabit bin Qais yang menuntut cerai, namanya ialah Jamilah bin Abdullah bin Ubay. Beliau meminta cerai kerana tangannya dipukul sehingga patah oleh Tsabit.

Namun seorang ustaz sekali gus sahabat saya membetulkan, bahawa isteri Tsabit yang sebenarnya meminta khuluq bernama Habibah binti Sahal. Beliau (Habibah) meminta cerai tanpa menyatakan apa-apa sebab yang munasabah. Mohon saudara menyemak perkara ini lebih lanjut.

 

Jawapan:

Terima kasih atas maklumbalas ini. Ya, para ilmuan berbeza pendapat siapakan nama sebenar isteri Tsabit bin Qais yang meminta cerai. Imam al-Bukhari mengemukakan bahawa nama isteri tersebut ialah Jamilah binti Abdullah bin Ubay, sebagaimana yang beliau kemukakan dalam kitab Shahihnya riwayat no: 5274 dan 5277.

Ada juga para imam hadis yang mengemukakan kisah seumpama, di mana nama isteri Tsabit bin Qais ialah Habibah binti Sahal. Salah satu hadis tersebut ialah:

‘Amrah binti Abdurrahman mengkhabarkan daripada Habibah binti Sahl Al Anshari, bahwasanya dia adalah isteri Tsabit bin Qais bin Syammas. Suatu kali Rasulullah keluar rumah hendak menunaikan solat subuh, lalu baginda mendapati Habibah binti Sahl berada di sisi pintu rumah baginda, sedangkan saat itu hari masih gelap. Rasulullah bertanya kepadanya: “Siapa itu?” Habibah menjawab: “Wahai Rasulullah, saya Habibah binti Sahl.” Baginda bertanya lagi: “Apa keperluanmu?” 

Habibah menjawab: “Bukan salahku juga bukan salah Tsabit bin Qais (suaminya).” Saat Tsabit bin Qais datang, Rasulullah lantas bertanya kepadanya: “Ini Habibah binti Sahl telah mengadukan permasalahannya, sesuai kehendak Allah apa yang dia sebutkan.” Habibah lalu berkata: “Wahai Rasulullah, semua yang diberikan (oleh Tsabit) kepadaku masih ada padaku.” Rasulullah kemudian berkata kepada Tsabit bin Qais: “Ambillah darinya.” Maka Tsabit bin Qais mengambil darinya, sehingga hari itu Habibah binti Sahl tinggal bersama keluarganya. [Muwattha’ Imam Malik, no: 1032, juga Shahih Sunan Abu Daud, no: 2227]

Jika dirujuk kepada hadis di atas sahaja, seolah-olah Habibah tidak menerangkan apa kesalahan Tsabit bin Qais sehingga dia ingin meminta cerai daripadanya. Namun jika dirujuk dalam hadis yang lain, kita akan menemui kesalahan Tsabit. Hadis yang dimaksudkan ialah: 

Daripada ‘Amrah, daripada A’isyah bahwa, Habibah binti Sahal pernah berada di di sisi Tsabit bin Qais bin Syammas, kemudian dia memukulnya (Habibah) dan mencederakan sebahagian tubuhnya. Lalu Habibah datang kepada Rasulullah setelah shalat Subuh dan mengadu kepadanya. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 2228]

Berdasarkan hadis di atas, dapat diketahui bahawa baik Habibah atau Jamilah, Tsabit bin Qais telah memukul isterinya sehingga cedera. Atas sebab inilah isterinya meminta cerai di hadapan Rasulullah.

Oleh itu sekali lagi diulangi, para ilmuan berbeza pendapat siapakah nama sebenar isteri Tsabit bin Qais. Ada yang berpendapat beliau ialah Jamilah binti Abdullah, ada yang berpendapat beliau ialah Habibah binti Sahal. Ada yang berpendapat Tsabit memiliki dua isteri – Jamilah dan Habibah – dan kedua-duanya meminta cerai. Apa yang penting, isteri (atau kedua-dua isteri) tersebut meminta cerai kerana Tsabit telah mengasari dan memudaratkan mereka.