Di antara kemukjizatan al-Qur’an ialah ia memiliki gaya bahasa yang istimewa. Ia kaya dengan nilai sastera, tetapi mudah difahami oleh semua. Ia pendek dan panjang, tetapi memiliki nilai pengajaran yang tetap agung. Ia sekali imbas seperti ungkapan yang biasa, tetapi jika dihalusi ternyata memiliki banyak mutiara.

Di antaranya ialah gaya bahasa dalam firman Allah Iyya kana’ budu wa iyya kana’ sta’in. Ayat ini bermaksud Kepada Engkau sahajalah kami menyembah dan kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Perhatikan bahawa ayat ini dimulakan dengan satu bentuk penegasan dan pembatasan, iaitu Kepada Engkau sahajalah…. Ia bererti sejak awal kita menegaskan bahawa ibadah dan doa adalah kepada Allah. Sejak awal kita membataskan bahawa ibadah dan doa adakah kepada Allah sahaja. Dalam susun kata lain, sejak awal kita menyatakan bahawa ibadah dan doa tidak lain dan tidak bukan hanyalah kepada Allah.

iyyaka.jpg 

Kepada Engkau Sahajalah Kami Menyembah

Mungkin ada di antara pembaca yang bertanya, kenapa perlu menegaskan dan membataskan bahawa ibadah hanya kepada Allah? Bukankah kita umat Islam tidak menyembah pokok, batu, sungai dan apa-apa lain?

Sebenarnya secara bawah sedar, ada di antara umat Islam yang menyembah selain Allah, atau menyembah sesuatu lain bersama Allah. Salah satu sembahan yang lain ialah dengan menjadikan hawa nafsu sebagai tuhan. Allah bertanya dalam bentuk sindiran: Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya, tuhan yang dipatuhinya? [al-Jathiyah 45:23]

Antara bentuk sembahan kepada hawa nafsu ialah sengaja mengkuti kehendak nafsu dengan mengabaikan tunjuk ajar Islam atau menggunakan nafsu untuk menilai sama ada sesuatu perintah-larangan Islam sesuai atau tidak untuk dilaksanakan pada zaman moden kini.

Salah satu bentuk sembahan lain ialah menjadikan para agamawan seperti ustaz, ustazah dan tuan guru sebagai tuhan. Allah menyatakan sikap ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) berkenaan hal ini: Mereka menjadikan orang-orang alimnya, dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah. [al-Taubah 9:31] Rasulullah menjelaskan maksud ayat ini sebagai:

Mereka tidak menyembah orang-orang alim dan rahib-rahib, akan tetapi apabila orang-orang alim dan rahib-rahib menghalalkan sesuatu maka mereka ikut menghalalkannya. Apabila orang-orang alim dan rahib-rahib mengharamkan sesuatu maka mereka ikut mengharamkannya. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 3095]

Tidak menyembah para agamawan bukan bererti meremehkan atau mengabaikan mereka. Akan tetapi ia bererti kita tidak menerima agamawan yang suka bercakap berkenaan agama dengan sekian-sekian hukum, petua dan cerita tanpa rujukan daripada al-Qur’an dan hadis yang sahih. Pada masa kini terdapat sangat banyak agamawan yang bercakap mengenai agama Islam sesuka hati dan kita pula hanya mengikuti mereka, seolah-olah mereka adalah tuhan yang kita sembah. 

Sikap yang benar ialah menapis para agamawan dan hanya menerima mereka yang berperanan sebagai penyampai ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah. Kita tetap menyembah Allah sementara para agamawan berperanan sebagai penyampai syari’at Allah. 

Oleh itu apabila setiap kali kita membaca surah al-Fatihah dan sampai ke rangkap Kepada Engkau sahajalah kami menyembah, ia menjadi satu penetapan dan ulangkaji bagi diri kita untuk membetulkan diri sendiri, andai kita secara bawah sedar telah menyembah sesuatu selain Allah atau bersama Allah.

 

Kepada Engkau Sahajalah Kami Meminta Pertolongan

Rangkap ini pula menjadi penegasan dan peringatan kepada diri kita bahawa apabila memiliki apa-apa hajat atau kesukaran, maka tidak lain tidak bukan kepada Allah sahajalah kita berdoa meminta pertolongan.

Ini tidaklah bererti kita tidak boleh meminta pertolongan daripada sesama manusia. Hanya dalam kes ini, kita beriktikad (berkeyakinan) bahawa Allah jualah yang menolong kita melalui orang tersebut.

Sebagai contoh, apabila Mariam lemah dalam pelajarannya, pertama sekali dia berdoa kepada Allah agar diberikan kemudahan dan kecemerlangan dalam mata pelajaran terbabit. Seterusnya dia meminta pensyarahnya agar memberi tunjuk ajar yang lebih khusus, dengan keyakinan Allah akan menolongnya melalui pensyarah tersebut. Setelah itu dia berterima kasih kepada pensyarah itu berdasarkan pesanan Rasulullah: Tidaklah berterima kasih kepada Allah sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia. [Shahih al-Adab al-Mufrad, no: 160]

Justeru rangkap kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan menjadi penegasan dan ulangkaji bagi kita bahawa hanya kepada Allah kita meminta pertolongan dan mengharapkan pertolongan. Ini kerana kita kerap kali lupa kepada Allah apabila menghadapi sesuatu hajat atau masalah, lalu meminta pertolongan kepada sesama manusia dengan hati yang amat mengharapkan pertolongan daripada manusia itu semata-mata.