Soalan:

Saya perhatikan di beberapa negara, lelaki yang muslim menikahi wanita yang bukan muslim. Adakah ini dibolehkan dalam Islam? Juga, adakah dibolehkan wanita yang muslim menikahi lelaki yang bukan muslim? 

 

Jawapan.

Dalam Islam, lelaki yang muslim dibolehkan menikahi wanita yang bukan muslim dengan syarat wanita tersebut beragama ahli kitab, yakni Yahudi atau Kristian. Dalilnya ialah firman Allah: Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik. Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu halal pula bagi mereka. (Dan dihalalkan mengawini) wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi Kitab sebelum kamu, bila kamu telah membayar maskawin mereka dengan maksud menikahinya, tidak dengan maksud berzina dan tidak (pula) menjadikannya gundik-gundik. [al-Maidah 5:05]

Maksud orang-orang yang diberi Kitab dalam ayat di atas ialah orang Yahudi kerana mereka telah diberikan kitab Taurat dan orang Kristian kerana mereka telah diberikan kitab Injil. Justeru berdasarkan ayat ini, dibolehkan bagi seorang lelaki yang muslim jika dia ingin menikahi seorang wanita yang beragama Yahudi atau Kristian. Kebolehan ini hanya terhad kepada para wanita yang menganuti dua agama tersebut, bukan kepada semua wanita dari lain-lain agama. Sebaliknya, tidak dibolehkan isteri yang muslim menikahi lelaki yang beragama Yahudi atau Kristian.

Antara hikmah Islam membolehkan perkahwinan ini ialah sebagai satu rangka dakwah. Lazimnya, isteri akan cenderung untuk mengikuti agama suaminya manakala agama Yahudi dan Kristian memiliki banyak persamaan dengan agama Islam. Atas hikmah ini jugalah, Islam tidak membenarkan isteri yang muslim menikahi suami yang beragama Yahudi atau Kristian kerana ia akan menyebabkan isteri tersebut meninggalkan agama Islam ke arah agama suaminya.

Walau bagaimanapun, sesetengah negara seperti Malaysia melarang perkahwinan dengan wanita beragama Kristian. Ini kerana kebanyakan lelaki sekarang ini tidak mampu menjadi contoh muslim yang baik, apatah lagi untuk mendakwah isterinya kepada agama Islam. Justeru bagi mengelakkan kemudaratan, perkahwinan seperti ini dilarang oleh undang-undang agama.