Soalan 1: Seks Menggunakan Jari.

Saya sudah tujuh bulan bernikah. Setakat ini saya menghadapi masalah apabila membuat hubungan seks dengan suami, yakni saya lewat atau sukar untuk klimaks. Bagi membantu saya, suami menggunakan jarinya di vagina untuk menaikkan berahi saya, kemudian baru memasukkan zakarnya. Apakah hukum perbuatan seperti ini, adakah ia dikira sebagai onani (masturbation)?

Suza, Kuala Lumpur.

 

Jawapan:

Setiap pasangan suami isteri memiliki kadar memperolehi klimaks yang berbeza-beza. Kadangkala suami lebih cepat dan mudah berbanding isteri, kadangkala isteri lebih cepat dan mudah berbanding suami. Bahkan untuk orang yang sama, kadar ini boleh berbeza-beza pada hari dan masa yang berbeza. Suami mungkin cepat dan mudah pada minggu lepas tetapi lewat dan sukar pada minggu ini. Semua ini merupakan kelaziman hubungan seksual, maka tiada apa-apa yang perlu dibimbangi.

Jika suami terlalu cepat dan mudah klimaks atau jika isteri lewat dan sukar untuk klimaks, suami boleh membantu dengan menggunakan jarinya untuk bermain-main di vagina isteri. Ada dua kawasan yang sepatutnya menjadi fokus, iaitu Clitoris dan G-spot. Sila rujuk ke mana-mana buku, doktor atau laman web untuk maklumat lanjut berkenaan dua kawasan ini.

 

Apabila suami bermain-main di vagina isteri atau isteri bermain-main di zakar suami, ia tidak dikira sebagai onani. Justeru ia tidak haram di sisi Islam, bahkan digalakkan kerana merupakan alat atau sarana ke arah bersuka-suka dan berhubungan seksual di antara suami isteri.

Onani yang dilarang ialah apabila seseorang itu bermain-main di kemaluannya sendiri lalu mencapai klimaks dengan sendirinya, berseorangan. 

 

 

 

Soalan 2: Suami Tiada Keinginan Seks.

Kami telah berumahtangga lebih setahun setengah namun hingga kini baru beberapa kali melakukan hubungan seks. Suami seperti tidak mengingininya dan mengaku memiliki masalah. Akan tetapi pada ketika yang lain suami berkata saya tidak cantik berbanding perempuan lain. Apa hukum hidup bersama suami dalam keadaan begini? Saya sudah mengajak suami berjumpa doktor tetapi dia melengah-lengahkannya.

Fai, Shah Alam.

 

Jawapan:

Suasana “kemarau” dalam hubungan seks merupakan salah satu cabaran yang lazim di kalangan kebanyakan pasangan suami isteri. Ramai yang menikah dengan anggapan seks adalah sesuatu yang fitrah atau automatik, padahal yang benar seks memerlukan ilmu, pengalaman dan latihan.

Dalam senario di atas, tidak boleh terus menyalahkan suami. Sikap yang benar ialah kedua-dua pihak berbincang, mencari asal-usul masalah dan mengusahakan solusinya. Sedikit yang dapat saya kongsikan di ruang yang sempit ini adalah, seks memiliki masalah-masalah dalaman (internal) dan luaran (external).

Antara masalah dalaman ialah suami isteri tidak tahu cara-cara melakukan hubungan seks yang betul. Suami isteri mungkin tidak tahu di mana untuk menyentuh dan bagaimana untuk meraba sehingga masing-masing tidak menjadi berahi. Mungkin juga isteri yang kaku atau suami yang bergerak laju sehingga masing-masing tidak dalam frekuensi yang sama untuk berhubungan seks.

Antara masalah luaran ialah kehidupan suami isteri yang sibuk lagi tertekan dengan kerjaya masing-masing hingga tidak sempat memikirkan hubungan seks. Ditambah dengan suasana ekonomi yang kian menghimpit, kesesakan lalu lintas, jiran yang bising, ibubapa mertua yang asyik bertanya bila mereka akan mendapat cucu, cuaca yang panas dan pelbagai faktor lain, semua ini akan memberi kesan kepada kualiti dan kuantiti hubungan seks suami isteri. Ingat bahawa hubungan seks hanya akan dapat dikecapi keindahannya jika ia dilakukan dalam keadaan tenang dan nyaman, bukan sebaliknya.

Setelah dikenal pasti masalah-masalah luaran dan dalaman, langkah-langkah bagi mencari solusi hendaklah diusahakan. Di sini hendaklah dipadam (delete) pemikiran kuno yang menyatakan seks bukanlah sesuatu yang boleh dibincang di luar bilik tidur. Seperti yang saya nyatakan di atas, seks memerlukan ilmu, pengalaman dan latihan. Oleh itu hendaklah memberanikan diri belajar tentang seks seperti membaca buku, bertanya kepada yang berpengalaman, melayari laman web yang bercirikan pengetahuan (knowledge based) dan merujuk kepada pakar-pakar hubungan seks. Tidak dilupakan, usah segan untuk berdoa kepada Allah agar diberikan ilmu dan bantuan dalam menghadapi cabaran ini.

Satu perkara yang jangan dilakukan ialah menyalahkan satu pihak sahaja. Seks yang berjaya merupakan kerjasama suami dan isteri, seks yang gagal merupakan kesalahan kedua-dua suami dan isteri. Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.

 

 

 

 

Soalan 3: Lafaz Cerai Tidak Jelas.

 Jika seorang isteri meminta cerai daripada suami ketika hamil dan suami mengiyakan agar perbalahan tamat tetapi tiada lafaz talak dari mulut suami, adakah talak akan jatuh atau tidak ke atas isteri?

Ingin tahu, Subang Jaya, Selangor.

 

Jawapan:

Ketika bernikah, suami perlu menyebut lafaz nikah secara jelas dan betul, barulah pernikahan menjadi sah. Demikianlah juga ketika penceraian, suami perlu menyebut lafaz talak secara jelas dan betul, barulah penceraian menjadi sah. Jika ragu-ragu, tidak jelas atau kiasan, maka ia tidak diambil kira. Justeru dalam kes soalan di atas, talak tidak jatuh ke atas isteri.

Apa yang lebih penting, isteri jangan mudah meminta cerai dan suami jangan mudah menjatuhkan talak. Kehidupan suami isteri tidak akan lepas dari perbalahan dan perselisihan, maka janganlah mudah melarikan diri dengan jalan penceraian. Motto “...and they lived happily ever after” hanyalah kisah kartun kanak-kanak yang tidak boleh diguna pakai oleh suami isteri yang sudah dewasa.

Ditambah lagi dalam suasana hamil di mana perbezaan hormon-hormon, kesukaran hamil, kebimbangan menjadi bakal ibu dan suami yang tidak faham apa yang sedang dilalui oleh isteri yang hamil, boleh mempengaruhi emosi sehingga mudah berbalah dan meminta cerai. Justeru perbanyakkan zikir kepada Allah, lazimkan diri belajar tentang alam rumahtangga dan kerapkan diri berhubungan dengan ibu-ibu yang sudah berpengalaman lagi berpengetahuan.