Bulan September tahun ini bersamaan dengan bulan Syawal tahun hijrah, bulan Hari Raya Aidil Fitri bagi kita umat Islam. Meskipun Hari Raya Aidil Fitri hanyalah sehari, iaitu pada 1 Syawal, kebiasaan umat Islam tanah air ialah menyambutnya selama sebulan penuh. Dalam kegembiraan kita menyambut hari perayaan ini, janganlah sehingga kita terlupa untuk melakukan satu amal ibadah yang khusus dengan bulan Syawal, iaitu berpuasa sunat selama enam hari.

kids_iftar.jpg

Puasa-puasa sunat, sama ada enam hari di bulan Syawal atau yang selainnya amat dianjurkan dalam Islam dan memiliki ganjaran yang besar di sebaliknya. Rasulullah bersabda bahawa Allah berfirman: Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu). (Rasulullah melanjutkan): Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi.  [Shahih Muslim, no: 1151] 

Hanya sebelum melaksanakan puasa sunat tersebut, hendaklah dipastikan ia benar-benar dan dianjurkan dalam Islam berdasarkan rujukan kepada hadis-hadis yang sahih. Puasa enam hari dalam bulan Syawal misalnya, dianjurkan oleh hadis sahih berikut di mana Rasulullah bersabda: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun. [Shahih Muslim, no: 1164]

Bilakah Ia Dimulakan?

Puasa sunat enam hari bulan Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah Hari Raya Aidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu 'anh berkata: Nabi melarang puasa pada hari (Aidil) Fitri dan (Aidil) Adha. [Shahih al-Bukhari, no: 1991]

Syarat dan adab bagi sunat enam hari bulan Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan. Adapun perbezaannya, maka ia boleh dilakukan secara rambang asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Justeru puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah bulan Syawal. 

Walau bagaimanapun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan sunat enam hari bulan Syawal berdasarkan keumuman firman Allah: Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa. [Ali Imran 3:133]

 

Tidak Ada Hari Raya Selepas Puasa Sunat Enam Hari Bulan Syawal.

Sebahagian orang ada yang menyambut Hari Raya pada 1 Syawal dengan perasaan hambar dan kekosongan. Bagi mereka, Hari Raya yang memiliki erti sambutan dan kegembiraan sepenuhnya ialah pada hari selepas mereka menggenapkan puasa sunat enam hari bulan Syawal.

Ini adalah satu bid‘ah yang mungkar. Hari perayaan keagamaan dalam Islam hanya dua, iaitu Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha. Dua hari ini bukanlah sesuatu yang dibuat-buat manusia tetapi disyari‘at oleh tuhan yang mencipta manusia, yakni Allah. Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Allah telah mengantikan untuk kalian dua perayaan yang lebih baik dari perayaan (zaman jahiliyah), iaitu (perayaan Aidil) Adha dan (perayaan Aidil) Fitri. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 1134]

Oleh itu hari perayaan keagamaan dalam Islam hanya dua, iaitu Aidil Fitri dan Aidil Adha. Hanya pada dua hari inilah kita menyambut dengan penuh kegembiraan kerana ia disyari‘atkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Tidak ada hari perayaan sempena genapnya puasa sunat enam hari bulan Syawal.

 

Antara Puasa Sunat Dan Puasa Qadha.

Jika kita merenungi semula hadis berikut: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun. [Shahih Muslim, no: 1164], akan didapati bahawa Rasulullah menganjurkan puasa sunat enam hari bulan selepas puasa bulan Ramadhan di sempurnakan. Justeru bagi sesiapa yang ada meninggalkan puasa Ramadhan kerana sakit, haid, musafir, kerja berat dan lain-lain, hendaklah dia menggantikan (qadha) semula puasa-puasa yang ditinggalkan, kemudian diikuti dengan puasa sunat enam hari bulan Syawal. Ini juga merupakan sikap yang benar di mana hendaklah diutamakan membayar hutang yang wajib berbanding memberi sedekah yang sunat.

Ada sebahagian orang yang tetap berpuasa sunat enam hari bulan Syawal tanpa menggantikan puasa Ramadhan yang ditinggalnya berdasarkan kenyataan A’isyah, isteri Rasulullah: Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu menggantikannya (qadha) kecuali pada bulan Sya’ban kerana sibuk (melayani) Rasulullah. [Shahih Muslim, no: 1146]

Sebenarnya jika dihalusi kenyataan A’isyah di atas, beliau tidak menyatakan bahawa dirinya telah berpuasa sunat enam hari bulan Syawal sebelum menggantikan puasa Ramadhannya. Bahkan wujud kemungkinan bahawa beliau tidak melaksanakan puasa tersebut kerana sibuk membantu Rasulullah dalam urusan-urusan yang lebih besar dan penting seperti dakwah, jihad dan menghafal hadis.

 

Ibadah Puasa Bukan Syampu Rambut 2 Dalam 1.

Terdapat pandangan masyhur di Malaysia yang membolehkan puasa dua dalam satu, iaitu puasa qadha Ramadhan dan puasa sunat enam hari bulan Syawal dilaksanakan dalam satu hari. Ramai agamawan yang menyampaikan petua ini tanpa mengemukakan apa-apa dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Tidak kurang pula, ramai orang bukan agama yang menerima petua ini tanpa bertanya apakah dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih yang membolehkannya. Mereka menjadikan persoalan ini semudah syampu rambut 2 dalam 1.

Padahal sudah jelas bahawa Rasulullah menganjurkan puasa sunat enam hari bulan Syawal selepas disempurnakan puasa wajib bulan Ramadhan.