Soalan: 

Adakah wajib bagi seseorang itu menerangkan kekurangan atau kecacatan yang ada pada dirinya sebelum melangsungkan akad nikah? Saya menghadapi penyakit darah istihadhah, di mana pendarahan ini kerap kali berlaku di luar masa kitaran haid saya.

 

Jawapan:

Rasulullah pernah berjalan melintasi (sebuah kedai yang menjual) makanan. Maka baginda memasukkan tangannya ke dalam makanan tersebut, ternyata jari-jarinya terasa sesuatu yang basah (makanan yang sudah rosak). Maka baginda bertanya: “Apakah ini wahai pemilik makanan?” Dia menjawab: “Ia telah basah kerana terkena air hujan ya Rasulullah!” Rasulullah membalas: “Mengapa kamu tidak meletaknya di bahagian atas makanan supaya boleh dilihat oleh orang ramai (dan mereka mengetahui ia sudah rosak)? Sesiapa yang menipu maka dia bukan daripada golonganku.” [Shahih Muslim, no: 102]

Dalam hadis di atas, orang yang menyembunyikan makanan yang rosak telah diberi amaran keras oleh Rasulullah. Maka bagaimana pula dengan pasangan yang ingin menikah, lalu salah seorang atau kedua-duanya menyembunyikan kekurangan atau kecacatan yang ada pada diri mereka sendiri? Sudah tentu ia dilarang juga. 

Oleh itu hendaklah memberitahu semua kekurangan dan kecacatan yang ada pada diri sendiri ketika proses lamaran. Jika tidak pasti sama ada perkara itu adalah kekurangan atau tidak, kecacatan atau tidak, maka hendaklah tetap diberitahu sebagai langkah selamat dan jujur. Kemudian terpulang kepada bakal pasangan sama ada untuk menerima atau menolaknya.

Jika kekurangan dan kecacatan itu hanya diketahui selepas pernikahan, maka pasangannya berhak menuntut cerai dan berita penceraian yang berlaku segera selepas pernikahan sudah tentu akan menjadi buah mulut orang ramai. Maka bersikap jujurlah sejak awal bagi mengelakkan penyesalan di masa kemudian.