Baru-baru ini seorang sahabat saya menceritakan pengalamannya kehilangan sebuah komputer riba selama tempoh empat hari. Ia bermula pada hari Jumaat apabila tiba di rumah, disedari bahawa komputer ribanya tidak terkandung di dalam beg sandangnya. Beg tersebut terasa berat ketika dibawa sehingga disangkakan mengandungi komputer riba. Namun sebenarnya ia berat dengan pelbagai dokumen lain yang turut dibawanya.

“Owh! Aku terasa kehilangan sebahagian besar kehidupan!” keluh sahabat itu kepada saya.

berdoa_d_ofis.jpg

 “Macam-macam data kerja, emel-emel rundingan dengan client, foto-foto keluarga dan rakan-rakan...err…macam-macam lagi. Aku pun tak ingat. Penuh juga hard disk tu.” Beliau menambah lagi sementara saya hanya mengangguk-angguk.

“Sepanjang hujung minggu aku kesedihan, tertekan. Kena pula dah rancang awal-awal nak balik kampung. Maka rancangan diteruskan sekali pun fikiran aku masih rungsing berkenaan komputer riba yang hilang itu.”

“Hari Isnin ketika waktu rehat tengahari di pejabat, barulah aku teringat aku belum berdoa kepada Allah. Begitu sedih, tertekan dan rungsing, aku lupa kepada Allah. Maka sesudah solat Zohor, aku berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah agar mendapat kembali komputer riba tersebut.”

“Kuasa Allah…” beliau melanjutkan penuh semangat “…beberapa jam selepas itu talifon bimbit berbunyi dengan nombor yang tidak aku kenali. Iyya! Ada orang telah menemui komputer riba aku dan ingin mengembalikannya. Bahkan dia ingin kembalikan sejak hari Jumaat tetapi tidak tahu cara menghubungi aku. Hu hu silap aku sendiri tidak mencatat nama nombor talifon di belakang komputer riba itu.” Jelasnya kembali riang.

Demikian secara ringkas pengalaman sahabat saya. Apa yang beliau alami kerap kali dialami oleh kita juga termasuk saya, iaitu lupa untuk berdoa kepada Allah, lupa untuk berhubung dengan Allah. Urusan-urusan dirancang dan dilakukan tanpa memohon bantuan Allah, tanpa mengharap bimbingan Allah, tanpa menadah karunia Allah. 

Masalah dihadapi dengan penyesalan, rungutan, kesedihan dan tekanan tanpa mengadu kepada Allah, tanpa meminta pertolongan Allah, tanpa yakin kepada penyelesaian-Nya. Mujurlah masih ingat untuk berdoa meskipun lebih baik lagi utama jika ia dilakukan pada saat awal masalah melanda.

 

 

Doa Para Nabi dan Rasul.

Dalam konteks ini saya teringat beberapa sikap para Nabi dan Rasul yang tidak lupa untuk berhubung dengan Allah. Sebagai contoh perhatikan Nabi Musa ketika Allah mengutus beliau untuk berdakwah kepada Firaun yang terkenal zalim. Sebaik saja menerima arahan itu, Nabi Musa berdoa: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku, dan mudahkanlah bagiku tugasku, dan lepaskanlah simpulan dari lidahku supaya mereka faham perkataanku.” [Taha 20:24-28]

Inilah sikap terpuji yang mesti kita contohi. Apabila merancang untuk melakukan apa jua, berdoalah dengan doa di atas kerana ia bersifat umum tanpa khusus kepada “temujanji” dengan Firaun sahaja. 

Perhatikan pula Nabi Zakaria ketika beliau dan isterinya menghadapi masalah tidak memiliki zuriat. Mereka tidak mencari-cari ayat-ayat kitab suci untuk ditiup-tiupkan sebagaimana yang lazim diajar oleh agamawan selebriti masa kini. Sebaliknya beliau berdoa kepada Allah beberapa kali, salah satu daripadanya dirakamkan dalam ayat 89 surah al-Anbiya’: Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Zakaria, ketika dia merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat) dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi.”

Maka Allah mengabulkan doanya, bukan semata-mata kerana doa itu tetapi kerana beberapa ciri lain yang ada padanya. Ini diperincikan oleh Allah dalam ayat seterusnya: Maka Kami perkenankan doanya dan Kami kurniakan kepadanya (seorang anak bernama) Yahya, dan Kami perelokkan keadaan isterinya yang mandul (untuk melahirkan anak) baginya. 

Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta cemas dan mereka pula sentiasa khusyuk kepada Kami. [al-Anbiya’ 21:90]

 

 

Ciri-Ciri Doa Para Nabi dan Rasul.

Demikianlah Nabi Zakaria serta para Nabi dan Rasul yang lain, mereka tidak sekadar berdoa kepada Allah tetapi mendahuluinya dengan bersegera mengerjakan amal shalih. Kemudian apabila berdoa, mereka berdoa dengan penuh harapan agar dimakbulkan oleh Allah. Pada waktu yang sama mereka cemas serta bimbang seandainya Allah – dengan segala ilmu dan keadilan-Nya – tidak memakbulkan doa mereka. Semua ini mereka lakukan dengan fokus yang tidak teralih daripada Allah.

Wadus! Sangat jauh berbeza doa kita dan doa para Nabi dan Rasul. Kita meminta bermacam-macam sementara amal shalih amat minimum, bahkan mungkin dilambat-lambatkan. Apabila berdoa, kerap kali ia hanya sebutan di mulut tanpa getaran hati yang berharap mahupun cemas. Mungkin juga dengan fikiran yang tidak khusyuk kepada Allah.

Moga dengan sedikit coretan dan perkongsian ini, kita akan lebih kerap berhubung dengan Allah ketika memulakan urusan dan mengakhirinya, ketika dalam kesenangan dan kesusahan. Tidak sekadar hubungan yang biasa-biasa, tetapi hubungan yang penuh harapan bercampur cemas dengan kekhusyukan yang tidak berbelah bahagi kepada-Nya. Oh ya! Jangan lupa untuk berlumba-lumba mengerjakan amal shalih sebagai salah satu tiket ke arah doa yang makbul.