Soalan:

Apakah hukum pejam mata ketika solat? Bolehkah saya memejam mata jika ia dapat menambah kekhusyukan solat?

Marissa, Kangar, Perlis.

Jawapan:

Dalam hadis-hadis diterang bahawa apabila Rasulullah solat, baginda membuka matanya dengan memandang ke tempat sujud. Ketika duduk membaca tasyahud, baginda memandang ke jari telunjuk tangan kanannya. Baginda juga membuka mata sehingga dapat mengetahui apa yang berlaku di hadapannya. Oleh itu solat dengan membuka mata dan memandang tempat sujud serta jari telunjuk kanan ketika duduk membaca tasyahud merupakan sunnah yang utama untuk diikuti.

Apa yang dilarang ialah membuka mata untuk melihat-lihat ke atas dan sekeliling. Terhadap pandangan seperti ini Rasulullah memberi amaran: “Hendaklah suatu kaum berhenti mengangkat pandangan mereka ke langit dalam shalat atau (kalau tidak), nescaya pandangan tersebut tidak kembali kepada mereka (buta).” [Shahih Muslim, no: 649]

Adapun menutup mata, maka ia dianjurkan jika di arah tempat sujud penyolat terhadap benda-benda yang dapat mengganggu kekhusyukannya. Adapun selain itu, maka yang sunnah ialah solat dengan membuka mata dan mengarahkan pandangan ke tempat sujud. [Syaikh Masyurah bin Hasan – al-Qaul al-Mubin fi Akhta’ al-Mushollin, ms. 119]