Teringat saya kepada sebuah riwayat, apabila ditanya kepada seorang tokoh Ahlus Sunnah generasi awal: “Jika anda hanya memiliki satu pilihan berdoa, apakah yang akan anda doakan?” Beliau menjawab: “Saya akan mendoakan kebaikan kepada pemimpin.” Beliau ditanya lagi: “Kenapa?” Beliau menjawab: “Jika pemimpin itu baik, maka baiklah keadaan rakyat. Jika pemimpin itu rosak, maka rosaklah keadaan rakyat.” Demikianlah perbezaan antara Ahlus Sunnah dengan aliran lain. Aliran lain memberi fokus kepada menukar dan mengkritik pemimpin, Ahlus Sunnah memberi fokus kepada membantu pemimpin dalam ketaatan dan kebaikan, serta mendoakannya.

          Ketika saya menulis artikel ini (28 Mac 2009), suasana kepimpinan negara sedang dalam fasa peralihan daripada Dato’ Seri Abdullah Badawi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak. Sebagaimana tokoh Ahlus Sunnah di atas, saya berdoa agar pemimpin baru negara kita dapat memimpin dengan amanah dan adil mengikut neraca syarak. Saya berdoa agar beliau memiliki para penasihat yang berilmu lagi berani disamping kesudian mempertimbangkan apa yang mereka nasihatkan.

          Menyebut tentang para penasihat, teringat saya kepada sebuah hadis riwayat al-Imam al-Nasa’e: “Sesungguhnya akan ada sesudah aku para pemimpin, sesiapa yang membenarkan pendustaan mereka dan membantu kezaliman mereka maka dia bukan dari golongan aku dan aku bukan dari golongan dia serta dia tidak akan mendatangi aku (pada Hari Akhirat nanti) di Telaga Haudh. Dan sesiapa yang tidak membenarkan pendustaan mereka dan tidak membantu kezaliman mereka, maka dia dari golongan aku dan aku dari golongan dia serta dia akan mendatangi aku (pada Hari Akhirat nanti) di Telaga Haudh.”

          Merenung kepada era kepimpinan Pak Lah, antara usaha beliau yang patut kita hargai ialah menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ia patut kita sambut baik, mengingatkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizi: “Rasulullah s.a.w. melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.” Kelihatannya SPRM memang bergerak aktif sehingga agak kerap kita membaca kes siasatan dan penangkapan dalam akhbar harian.

          Namun di sebalik keaktifan tersebut, muncul bisikan yang mendakwa SPRM hanya menjadikan mangsa orang yang tidak sehaluan dengan Pak Lah. Bisikan seperti ini memang dapat dijangkakan dalam subjek politik. Jika SPRM tidak aktif, maka didakwa rasuah dibiarkan saja dalam kepimpinan. Sebaliknya jika SPRM bergerak aktif, maka didakwa ia tertuju kepada orang yang tidak sehaluan dengan pemimpin. Adapun kita Ahlus Sunnah, kita mendoakan agar SPRM terus aktif agar kadar rasuah dalam negara dapat disifarkan.

          Kebetulan pada fasa peralihan ini juga, dunia sedang berusaha keras mempertahankan diri daripada ekonomi yang merudum. Di pelbagai negara maju, terbaca berita bagaimana pihak pemimpin menyuntik dana kewangan yang angkanya mencecah nilai bilion kepada institusi kewangan dan syarikat-syarikat besar. Suntikan ini, yang lebih dikenali sebagai bail out, mengingatkan saya kepada suasana negara kita kira-kira 10 tahun yang lepas.

          Ketika itu pemimpin kita ialah Tun Dr. Mahathir Mohamed. Apabila suasana ekonomi negara merudum, beliau membuat keputusan untuk menyuntik dana kepada beberapa syarikat besar. Tindakan beliau mendapat kecaman hebat daripada para pengkritik luar dan dalam negara. Menarik untuk diperhatikan, negara luar yang mengkritik sepuluh tahun kemudian mengambil tindakan sama yang diambil oleh Tun Dr. Mahathir. Tidak ketinggalan, para pengkritik dalam negara sepuluh tahun kemudian masih dapat hidup selesa, setidak-tidaknya sederhana, dalam suasana ekonomi yang tetap stabil.

          “Tetapi bukankah Dr. M anti Islam?” mungkin demikian yang terlintas di fikiran sebahagian pembaca. Saya berkata, orang yang mengkritik Islam tidak semestinya membenci Islam. Boleh jadi beliau mengkritik kerana menginginkan tajdid di dalam beragama di kalangan umat Islam. Boleh jadi yang mengkritik itu lebih tinggi penghayatan Islamnya daripada yang membalas kritikan. Terhadap poin terakhir di atas, saya teringat ketika menghadiri program RTM1 di Angkasapuri, Kuala Lumpur, beberapa bulan yang lepas. Setelah program, saya bersembang-sembang dengan beberapa staf senior RTM. Apabila masuk bab kerjaya saya sebagai juruterbang, keluarlah cerita daripada salah seorang mereka:

          “Dulu bila ikut Dr. M dalam penerbangan untuk membuat laporan sempena lawatannya ke sesebuah negara, lazimnya hanya beliau seorang yang berjaga, sama ada membaca atau mencatat sesuatu. Ahli rombongan yang lain sekadar tidur atau berbual kosong. Kemudian apabila masuk waktu, beliau akan solat di celah-celah kerusi penumpang.”

          Kembali kepada era kepimpinan Datuk Seri Najib, tentu banyak perkara yang kita harapkan daripada beliau. Bagi saya, yang paling saya harapkan ialah beliau dapat mempelopor langkah-langkah ke arah persatuan umat Islam bersama-sama pemimpin parti politik Islam yang lain. Suasana umat Islam yang berpecah kepada beberapa parti politik amatlah merugikan, bahkan bertentangan dengan dasar agama Islam itu sendiri.

          Amat menyedihkan apabila tokoh-tokoh Islam enggan berkompromi, sebaliknya hanya mementingkan kedudukan parti. Padahal Rasulullah s.a.w. sendiri telah berkompromi di hadapan kaum kafir Quraish dalam Perjanjian Hudaibiyah. Keputusan Rasulullah ini pada awalnya dianggap sebagai sikap mengalah, tetapi atas sikap mengalah inilah kejayaan diperolehi di masa kemudian. Marilah kita berdoa agar para pemimpin kita dapat mengalah dan berkompromi demi kesatuan umat Islam.