Soalan: 

Bagaimana nak elakkan pembaziran pada bulan puasa? Sebab saya sendiri mudah tergoda dengan nafsu makanan di bazar Ramadan.Nafsu membeli bagaikan membuak-buak.

Hartikah Adli, Putrajaya.

 

Jawapan:

Ini adalah soalan yang baik kerana: Sesungguhnya orang-orang yang membazir adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. [al-Isra’ 17:27]

Apabila sedang lapar, baik ketika puasa atau tidak, nafsu membeli makanan dan minuman memang membuak-buak. Justeru jangan membeli makanan, minuman atau barang-barang runcit ketika sedang lapar bagi mengelak pembaziran.

Adapun ketika berpuasa, saya cadangkan memasak di rumah bagi mengurangkan pembaziran dan menjaga ekonomi keluarga. Selepas sahur dan solat subuh, terus masak menu berbuka puasa. Apabila pulang ke rumah dari kerja atau belajar, panaskan saja untuk berbuka puasa. Jika urusan memasak ditangguhkan sehingga pulang pada lewat petang, keletihan dan kesuntukan masa akan menjadi alasan untuk membeli juadah berbuka di bazar Ramadhan.