Soalan 2:

Saya merujuk kepada Pengantin edisi Ogos 2012 ketika mengupas ayat 34 surah al-Nisa’, berkenaan rangkap: Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang nusyuz hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan yang bertujuan mengajarnya).

Melalui bacaan saya, perkataan dharaba memiliki beberapa erti lain dan ia tidak semestinya bererti “pukul”. Ia juga boleh bererti “pergi jauh”. Ini terbukti dalam sirah Rasulullah di mana baginda tidak pernah memukul isteri-isteri baginda. Pernah sekali baginda murka dengan tindakan sebahagian isteri, lalu baginda pergi meninggalkan mereka selama lebih kurang sebulan. Apa pandangan saudara berkenaan hal ini?

 

Jawapan:

Terima kasih kerana menganalisa dan mengkaji jawapan-jawapan saya. Apa fikiran kita tentang Islam dan sama ada ia zalim atau tidak hendaklah diukur berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah. Jangan mengukurnya berdasarkan tamadun manusia atau salah laku orang-orang tertentu.

Cara yang betul bagi menafsirkan sesuatu ayat al-Qur’an ialah mencari apakah penjelasan Rasulullah. Ini kerana, sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah dalam ayat 44 surah al-Nahl, salah satu peranan Rasulullah ialah menjelaskan ayat-ayat al-Qur’an. Firman Allah: Dan Kami turunkan kepadamu al-Qur’an, agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkan. [al-Nahl 16:44]

Di antara penjelasan atau penerangan Rasulullah berkenaan dharaba ialah khutbah baginda pada Hari Tasyik sempena Haji Wada’, di mana baginda bersabda: Maka jika kalian bimbang sikap nusyuz mereka (isteri-isteri), maka menasihati mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka dengan pukulan yang tidak menyakitkan. [Musnad Ahmad, no: 20695, sahih] 

Dalam hadis di atas, Rasulullah menerangkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh suami ke atas isteri yang dibimbangi nusyuz. Ia sama seperti ayat 34 surah al-Nisa’, hanya bagi menambah agar pukulan tersebut bukanlah pukulan yang menyakitkan.

Ada pun dakwaan bahawa perkataan dharaba bererti “pergi jauh”, ia merujuk kepada ayat berikut: Dan apabila kamu berpergian (dharaba) di muka bumi, maka tidaklah mengapa kamu menqasar solat(mu), jika kamu takut diserang orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang nyata bagimu. [al-Nisa’ 4:101]

Perkataan dharaba dalam ayat di atas tetap bermaksud pukul. Ia digunakan dalam ayat di atas bagi mengisyaratkan perjalanan yang jauh (musafir), di mana seseorang itu perlu melakukannya dengan kekuatan dan keteguhan sehingga seolah-olah “kakinya memukul muka bumi”. Seandainya berjalan santai atau bersiar-siar dalam jarak yang dekat, ia tidak memerlukan kekuatan dan keteguhan. Syaikh Mutawalli Sya’rawi menjelaskan: “Kalimat memukul di bumi maksudnya adalah seorang mukmin melakukan perjalanan di muka bumi dengan keteguhan dan kekuatan.” [Tafsir Sya’rawi, jld. 3, ms. 318]

Merujuk kepada kisah Rasulullah meninggalkan sebahagian isterinya selama sebulan, ia adalah kisah benar (Shahih Muslim, no: 2703) sehingga menyebabkan turunya ayat 28-29 surah al-Ahzab. Akan tetapi Rasulullah tidak “pergi jauh” meninggalkan isteri-isteri baginda. Apa yang baginda lakukan ialah memulaukan mereka (baginda tetap di Madinah) dan ini selari dengan langkah kedua terhadap isteri yang nusyuz. Perhatikan bahawa memulaukan isteri di tempat tidur secara minimum ialah tidur dengan berpaling ke arah yang lain. Namun ia boleh diluaskan kepada tidur di bilik yang lain atau tidak pulang ke rumah isteri, selari dengan kadar maslahat yang ingin dicapai di sebalik pemulauan tersebut.

Benar bahawa Rasulullah tidak memukul isteri-isterinya. Ini kerana mereka kembali taat selepas dipulaukan sehingga tidak memerlukan kepada tahap memukul.

Merujuk kepada kebimbangan suami yang menzalimi isteri, percayalah bahawa suami tersebut melakukannya bukan berdasarkan ayat 34 surah al-Nisa’. Bahkan jika ditanya kepada mana-mana suami yang pernah menzalimi isteri mereka, nescaya mereka tidak mengetahui langsung berkenaan ayat 34 surah al-Nisa’, apatah lagi tafsirannya yang sebenar.

 

Rujukan Lanjut (Shahih Muslim, no: 2703):

Dari Jabir bin Abdillah, dia berkata; Suatu ketika Abu Bakar pernah meminta izin kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk memasuki rumah beliau dan dia mendapati beberapa orang sedang duduk di depan pintu rumah beliau dan tidak satu pun dari mereka yang diizinkan masuk. Dia berkata: Lalu Abu Bakar pun diizinkan masuk, maka dia pun masuk ke rumah beliau. Setelah itu Umar datang dan meminta izin, dan dia pun diizinkan masuk. Di dalam rumah Umar mendapati Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sedang duduk, dan di sekeliling beliau nampak isteri-isteri beliau sedang terdiam dan bersedih. 

Ia berkata: Lalu Umar berkata; Sungguh saya akan mengucapkan satu perkataan yang dapat membuat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam tertawa. Dia berkata: Wahai Rasulullah, jika engkau melihat anak perempuan Khorijah meminta nafkah (berlebihan) kepadaku niscaya akan saya hadapi dia dan saya pukul tengkuknya. Maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pun tertawa seraya berkata: Mereka semua ada di sekelilingku, seperti yang kau lihat mereka semua sedang meminta nafkah (lebih) dariku. 

Maka Abu Bakar pun segera berdiri menghampiri 'Aisyah dan memukulnya. Demikian juga dengan Umar, dia berdiri menghampiri Hafshah dan memukulnya. Lantas keduanya berkata: Mengapa kalian meminta kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sesuatu yang tidak dimilikinya? Lalu keduanya menjawab: Demi Allah, kami tidak akan meminta kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sesuatu yang tidak dimilikinya. Lalu beliau ber'uzlah dari mereka selama sebulan atau selama dua puluh sembilan hari. 

Kemudian turunlah ayat: 

Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: “Jika kamu sekalian mengingini kehidupan dunia dan perhiasannya, maka marilah supaya kuberikan kepadamu mut`ah dan aku ceraikan kamu dengan cara yang baik. Dan jika kamu sekalian menghendaki (keridhaan) Allah dan Rasul-Nya serta (kesenangan) di negeri akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi siapa yang berbuat baik di antaramu pahala yang besar.” [al-Ahzab 33:28-29]

Dia berkata: Beliau memulainya dari 'Aisyah, beliau berkata kepadanya: "Wahai 'Aisyah, sesungguhnya saya hendak menawarkan suatu perkara kepadamu, dan saya harap kamu tidak tergesa-gesa dalam memutuskannya hingga kamu meminta persetujuan dari kedua orang tuamu." Aisyah berkata: Apa itu wahai Rasulullah? Maka beliau pun membacakan ayat tersebut di atas kepadanya. Aisyah berkata: Apakah terhadap anda, saya mesti meminta persetujuan kepada orang tuaku?! Tidak, bahkan saya lebih memilih Allah, Rasul-Nya dan Hari Akhir, dan saya mohon kepada anda untuk tidak memberitahukan pernyataanku ini kepada isteri-isterimu yang lain. 

Beliau menjawab: "Tidaklah salah seorang di antara mereka meminta hal itu kepadaku kecuali saya pasti memberitahukan hal ini kepadanya. Sesungguhnya Allah Ta'ala tidak mengutusku untuk memaksa orang atau menjerumuskannya, akan tetapi Dia mengutusku sebagai seorang pengajar dan orang memudahkan urusan".