Soalan:

Saya terdengar sebuah hadis yang menerangkan bahawa perkahwinan adalah separuh dari agama. Sahihkah hadis tersebut, dan apakah maksud “separuh dari agama”?

 

Jawapan:

Syabas atas pertanyaan ini. Setiap muslim perlu memiliki disiplin apabila menerima ilmu agama, yakni dengan memastikan dalil-dalil yang diterima memiliki rujukannya, lagi sahih darjatnya. Jangan sekadar menerima sesuatu ayat al-Qur’an melainkan diketahui nama surah dan nombor ayat, supaya kelak boleh merujuk kembali kepada ayat tersebut. Jangan sekadar menerima sesuatu hadis Rasulullah melainkan diketahui siapakah imam hadis yang meriwayatkannya dan apakah darjat hadis tersebut.

Merujuk kepada hadis perkahwinan ialah separuh agama, maka lafaznya adalah seperti berikut. Rasulullah bersabda: Apabila seorang hamba menikah, maka sungguh dia telah menyempurnakan separuh agamanya. Maka hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada separuh yang selebihnya. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dan dinilai hasan (baik) oleh Syaikh al-Albani dalam Shahih al-Targhib wa al-Tarhib, no: 1916-B.

Maksud menyempurnakan separuh agamanya ialah bagi menerangkan keutamaan tuntutan perkahwinan dalam Islam. Sebegitu utama sehingga ia dapat menyempurnakan separuh dari agama seseorang. 

Selain itu, ia juga bermaksud perkahwinan ialah jalan untuk masing-masing pasangan berkhidmat dan berbuat baik kepada satu sama lain sehingga ia menjadi ibadah yang menjana banyak pahala. Apabila suami keluar bekerja keras mencari nafkah untuk keluarga, maka ia adalah ibadah baginya. Apabila isteri sibuk mengurusi suami, anak-anak dan rumah, ia menjadi ibadah baginya. Apabila suami memberi didikan agama kepada keluarga, ia menjadi ibadah baginya. Apabila isteri menasihati suami dalam urusan agama, ia menjadi ibadah baginya. Oleh itu kehidupan di alam perkahwinan sangat banyak membuka jalan bagi suami dan isteri beribadah sehingga ia seolah-olah menyempurnakan separuh dari agama mereka.

Dalam hadis ini juga terdapat petunjuk bahawa perkahwinan bukan sekadar suka-suka sehingga ia dilakukan tanpa ilmu, pengorbanan dan niat yang betul. Seandainya perkahwinan itu dibiarkan begitu sahaja sehingga masing-masing suami dan isteri mengabaikan peranan dan tanggungjawab masing-masing, ia tidak lagi menjadi separuh dari agama. Bahkan ia menjadi separuh dari sebab yang mendekatkan mereka ke arah neraka.