Soalan:

Saya difahamkan apabila mencari pasangan hidup, hendaklah memberi keutamaan kepada orang yang baik agamanya. Kemudian barulah kecantikan, harta dan lain-lain. Benarkah? Siapakah orang yang baik agamanya itu? Adakah saya perlu mencari seorang ustaz sebagai calon suami saya dan adik lelaki saya mencari seorang ustazah sebagai calon isterinya?

 

Jawapan:

Benar. Rasulullah bersabda: “Wanita itu dinikahi karena empat hal, hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah karena agamanya, niscaya kamu akan beruntung.” [Shahih al-Bukhari, no: 4700]

Akan tetapi yang dimaksudkan “kerana agamanya” tidak semestinya seorang ustaz dan ustazah. Ini kerana “Ustaz” dan “Ustazah” adalah gelaran yang diberikan oleh masyarakat kita kepada sesiapa jua yang ada sijil pengajian agama atau memakai kopiah dan tudung labuh.

Apabila Rasulullah menganjurkan kita mengutamakan agama seseorang, yang baginda maksudkan adalah aqidahnya, ilmu pengetahuan agamanya, penghayatannya (mengamalkan ilmu) dan akhlaknya. Ciri-ciri ini boleh saja dimiliki oleh sesiapa jua, tanpa terhad kepada para ustaz dan ustazah. 

Oleh itu apabila mencari pasangan hidup, carilah orang yang memiliki ciri-ciri agama, bukan orang yang memiliki gelaran agama.