Soalan:

Seorang rakan saya memberitahu bahawa Islam membolehkan perjanjian pra-perkahwinan. Benarkah? Setahu saya ini hanya diamalkan oleh orang-orang di negara Barat.

Jawapan:

Benar, Islam membolehkan perjanjian pra-perkahwinan. Secara umumnya dua atau lebih umat Islam boleh membuat perjanjian di antara mereka berkenaan sesuatu perkara dan semua pihak terbabit hendaklah mematuhinya. Rasulullah bersabda: “Kaum muslimin berada di atas syarat-syarat (yang dipersetujui di antara mereka).” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 1352]

Di antara perjanjian tersebut, yang paling utama untuk dipatuhi ialah perjanjian pra-perkahwinan. Berkenaan hal ini Rasulullah bersabda: “Syarat (perjanjian) yang paling layak untuk kalian penuhi ialah apa yang menghalalkan faraj isteri kalian (pernikahan).” [Shahih al-Bukhari, no: 2520]

Berdasarkan hadis ini, para ilmuan menyatakan bahawa dibolehkan membuat perjanjian pra-perkahwinan. Akan tetapi sah atau tidak perjanjian itu terbahagi kepada tiga kategori:

  • Pertama: Kandungan perjanjian selari dengan syari’at Islam, seperti isteri mensyaratkan nafkah minima RM500 setiap bulan dan suami mensyaratkan isteri menyusu badan apabila dikurniakan anak kelak. Perjanjian yang mengandungi syarat-syarat yang selari dengan syari’at Islam adalah sah. Tujuan syarat-syarat ini, sekalipun ia pada asalnya sudah digariskan oleh syari’at Islam, adalah bagi memastikan kedua-dua pasangan melaksanakan tanggungjawab mereka di alam perkahwinan kelak. Ini penting kerana kerap kali seorang atau kedua-dua pasangan mengabaikan tanggungjawab masing-masing selepas beberapa tahun berkahwin.
  • Kedua: Kandungan perjanjian yang menyelisihi syari’at Islam, seperti isteri mensyaratkan bahawa dirinya tidak perlu mentaati suami dan suami mensyaratkan isterinya untuk tidak menutup aurat. Perjanjian yang mengandungi syarat-syarat yang menyelisihi syari’at Islam adalah tidak sah. Rasulullah menegaskan: “Setiap syarat yang tidak terdapat dalam Kitabullah (al-Qur’an dan al-Sunnah) maka ia batal, walaupun seratus syarat.” [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 2521]
  • Ketiga: Kandungan perjanjian terdiri dari perkara-perkara yang dibiarkan terbuka oleh syari’at Islam, seperti isteri mensyaratkan agar suami membenarkannya menyambung pengajian dan suami mensyaratkan isteri untuk duduk di daerah pilihannya. Perjanjian seperti ini adalah sah dan masing-masing pihak hendaklah memenuhinya.

Perkara penting yang perlu diperhatikan adalah, sekalipun Islam membolehkan perjanjian pra-perkahwinan, ia tidak bererti Islam menganjurkan perjanjian yang memberat-beratkan salah satu atau kedua-dua pasangan. Kehidupan pasangan suami isteri ialah berbincang dan membuat keputusan bersama secara harmoni. Keputusan itu pula boleh berubah apabila suasana dan keadaan berubah, bererti ia sentiasa dinamik. Oleh itu sekalipun perjanjian pra-perkahwinan dibolehkan, ia bukanlah sijil yang dapat menjamin kebahagiaan kedua-dua pasangan.