Bekerjaya sebagai seorang juruterbang, saya suka melihat para penumpang dalam penerbangan saya. Sama ada sebelum atau selepas penerbangan, saya memerhatikan pelbagai latar belakang, lapisan, gelagat dan fesyen para penumpang di balai berlepas (departure hall) atau balai ketibaan (arrival hall). Kepelbagaian mereka menarik perhatian saya.

Di antara semua kepelbagaian tersebut, sesuatu yang benar-benar menarik perhatian saya ialah penumpang suami isteri yang sudah berumur lanjut, yang terbang bersama untuk bercuti atau melancong. Saya suka melihat keharmonian dan keromantikan mereka bersama meski pun sudah di usia senja. Kerap kali saya akan cuba meneka, berapa tahunkah mereka sudah hidup bersama? Mungkin 40 tahun? Mungkin 50 tahun?

oldcoupleholdinghands.jpeg 

Ada yang isteri yang berjalan amat perlahan kerana umur lanjut, dia dipimpin oleh suaminya yang sudah bongkok. Ada suami yang berjalan dengan tongkat, isterinya berjalan seiring sambil memegang ringan tongkat tersebut. Ada yang duduk di atas kerusi roda ditolak oleh staf lapangan terbang, pasangannya meminta ditolak perlahan-lahan agar dia dapat ikut di sisinya. So sweet!

 

Apakah Rahsia Kalian?

Selain suka meneka berapa lamakah mereka sudah berkahwin dan hidup bersama, saya juga suka – bahkan amat teringin – untuk bertanya apakah rahsia mereka dapat hidup bersama sekian lama. Dalam suasana banyaknya pasangan-pasangan yang bercerai di usia pagi perkahwinan, mereka yang dapat bertahan hingga ke usia senja tentu memiliki satu keistimewaan. Apakah keistimewaan tersebut?

Di sini saya teringat sebuah lukisan kartun yang menunjukkan pasangan suami isteri yang sudah berumur, yang sudah lama berkahwin. Dalam kartun itu salah seorang pasangan berkata: “During our time, when something is broken, we fix it. We don’t throw it away and get something new” (Pada zaman kami, apabila sesuatu benda itu pecah, kami membaikinya. Kami tidak membuangnya dan mendapatkan yang baru). 

Diterjemah ke alam perkahwinan, ia bermaksud apabila berlaku perpecahan, perselisihan, pergaduhan atau tidak sefahaman di antara suami isteri, berusahalah untuk memperbaikinya. Jangan terus bercerai dengan masing-masing mencari pasangan hidup yang baru. 

Setiap pasangan hendaklah belajar cara-cara memperbaiki cabaran rumahtangga. Bercerai dan mencari pasangan baru tetap akan berakhir dengan perceraian juga kerana cabaran rumahtangga tetap akan wujud sementara cara-cara memperbaikinya masih tidak diketahui. 

 

Bercerai Satu Pilihan, Tetapi…

Saya yakin jika ditanya kepada pasangan-pasangan yang sudah sekian lama berkahwin: “Pernah kalian dalam tempoh kehidupan bersama ini terfikir untuk bercerai?”, nescaya mereka akan menjawab: “Ya”. Bahkan mungkin ada yang akan menambah: “Sudah beberapa kali kami di ambang perceraian”.

Saya sendiri di usia perkahwinan yang baru hendak mencecah 20 tahun, sudah beberapa kali berada di ambang perceraian. Demikian juga seingat saya, ibubapa, pakcik dan makcik di sebelah saya dan isteri pernah juga berkongsi pengalaman bahawa mereka juga beberapa kali berada di ambang perceraian. Namun dengan izin Allah dan kesungguhan di kedua-dua pihak suami dan isteri, hajat untuk bercerai itu dibatalkan. Sebaliknya kami berazam untuk terus memperbaiki kelemahan dan kesalahan masing-masing. Kami berazam untuk terus berjuang memelihara rumahtangga kami. Ini kerana perkahwinan bukan sekadar perjuangan, tetapi perjuangan yang berterusan.

Di sini saya bukan hendak menafikan hukum bercerai. Ia adalah satu hukum daripada Allah Subhanahu waTa'ala dan sudah tentu ia tetap dibolehkan. Namun jadikanlah perceraian itu alternatif terakhir setelah pelbagai usaha dilakukan bagi memelihara perkahwinan. Usah terlalu cepat hendak bercerai sebaik sahaja muncul satu dua cabaran rumahtangga. Sebesar mana cabaran rumahtangga, pasti ada solusinya selagi mana kedua-dua pihak mahu bekerja keras mencari solusi tersebut.

 

Ingatlah Kebaikan Masing-Masing

Apabila menghadapi satu konflik suami isteri, nescaya konflik tersebut akan bermain-main di fikiran. Tidak cukup dengan itu, konflik tersebut akan berkembang dan berganda hasil hasutan buruk yang dimasukkan oleh syaitan. Oleh kerana itulah sudah menjadi satu kelaziman apabila pasangan suami isteri berkonflik berkenaan satu perkara, ia akan berkembang biak kepada pelbagai perkara yang lain. Dari sini masing-masing akan beranggapan bahawa konflik lebih banyak atau lebih besar berbanding kesefahaman, kesengsaraan lebih dominan berbanding kebahagian, sehingga perceraianlah solusi yang sesuai. 

Oleh itu apabila menghadapi satu konflik, segeralah berusaha untuk menyelesaikannya sebelum ia berkembang biak. Jika satu konflik itu sukar dicari penyelesaiannya, berfikirlah kebaikan-kebaikan bersama yang ada. Nescaya kebaikan tersebut melebihi keburukan, kebahagian melebihi kesengsaraan. Seandainya keburukan melebihi kebaikan, nescaya kalian tidak akan berkahwin pada asalnya.

Di sini suka saya berkongsi sebuah nasihat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: Janganlah seorang mukmin (suami) membenci mukminat (isteri), jika dia membenci salah satu perangainya, nescaya dia akan redha dengan perangainya yang lain. [Shahih Muslim, no: 2672/1469]

Oleh itu wahai para suami, jika kalian membenci isteri kalian sehingga ingin menceraikannya, maka ingatlah kembali masa-masa manis bersama. Nescaya masa-masa manis tersebut jauh lebih banyak berbanding masa pahit. Wahai para isteri, jika kalian menyampah kepada suami sehingga ingin meminta cerai, maka ingatlah kebaikan-kebaikan bersama. Nescaya kebaikan-kebaikan tersebut jauh lebih banyak berbanding keburukan. 

 

Ingatlah Zaman Awal Masing-Masing

Ingatan ini hendaklah lebih khusus ditujukan pada zaman awal, zaman sebelum berkahwin ketika baru berkenalan dan cenderung kepada satu sama lain sehingga ke zaman baru nikah ketika cinta mula memutik. Sudah tentu ia dipenuhi dengan keindahan, kasih sayang dan kebahagiaan.

Jika zaman kini adalah hambar berbanding zaman awal yang romantik, maka kesalahannya terletak di bahu kedua-dua suami dan isteri. Ini kerana kalian telah menjadikan kehidupan bersama pada zaman kini satu dataran setelah sebelum itu pada zaman awal kalian berjuang untuk mendakinya. Ingatlah, jangan jadikan perkahwinan sebuah dataran kerana pasti di hujung dataran tersebut terdapat tebing yang menjunam ke bawah.

Sebaliknya jadikanlah perkahwinan itu satu pendakian yang berterusan, bukit demi bukit, gunung demi gunung. Nescaya kalian akan menemui keindahan demi keindahan di sebalik cabaran demi cabaran. Jadikanlah perkahwinan itu satu perjuangan yang berterusan kerana berhenti untuk berjuang bererti berhenti untuk hidup bersama.