Baked Pasta yang dipesan oleh Emilia terasa masin, seolah-olah ada ketulan-ketulan garam di dalamnya. Piza kecil yang dipesan oleh Ikram pula masih belum disentuh, rotinya semakin mengeras. Emilia bermain-main makanannya dengan garpunya, sementara Ikram pula merenung jauh melepasi dinding restoran di Sunway Piramid. Kedua-duanya diam seribu bahasa.

“Dah buat salah bukan nak mengaku. Memang dasar lelaki…ego!” Emilia merungut dalam hatinya.

merajuk.jpeg

“Alang-alang dah siap awal, membebel pula kat aku. Padahal 10 minit je aku dah siap!” Ikram pula merungut dalam hatinya, seolah-olah kedua-dua suami isteri ini berbicara dari hati ke hati. Akan tetapi dengan hati yang sedang marah, menanti dipujuk.

“Tak pernah pun nak minta maaf bila buat apa-apa kesilapan” Emilia merungut lagi.

“Kalau dia yang lewat, tidak pula aku membebel kepadanya” Ikram membalas pula. “Marah-marah pun, aku juga yang belanja makan malam ini.”

“Cepatlah makan piza tu. Aku nak balik tidur, melupakan semua yang berlaku malam ini” rungut Emilia sambil menjeling ke arah piza Ikram yang masih belum disentuhnya.

“Dia cucuk-cucuk pasta dengan garpu tu macam sedang cucuk-cucuk aku saja. Marahlah tu….humph!” balas Ikram pula sambil menjeling ke arah baked pasta Emilia. 

 

Teringat Zaman Kanak-Kanak?

Saya yakin para pembaca sekalian teringat zaman kanak-kanak atau memiliki ahli keluarga yang masih kecil. Kanak-kanak lazimnya suka merajuk bagi meraih perhatian ibubapa dan orang-orang dewasa di sekelilingnya. Kanak-kanak mudah merajuk kepada orang yang istimewa baginya kerana inginkan pujukan, belaian dan perhatian daripada orang istimewa tersebut.

Sebenarnya kes merajuk seperti ini berlaku juga di kalangan suami isteri. Bukan sahaja ketika di usia muda perkahwinan tetapi sehingga ke usia senja. Suami dan isteri merajuk atas sebab yang sama dengan kanak-kanak, yakni menginginkan pujukan, belaian dan perhatian daripada orang yang istimewa bagi dirinya. Tentu saja orang yang istimewa bagi isteri ialah suaminya, orang yang istimewa bagi suami ialah isterinya. Justeru amat jarang kita menemui suami yang merajuk kepada tukang masak atau isteri yang merajuk kepada pelayan restoran kerana individu-individu tersebut bukanlah seseorang yang istimewa di sisinya.

Atas kesedaran ini, janganlah isteri memandang ringan kepada suami yang merajuk dan jangan pula suami memandang remeh kepada isteri yang merajuk. Sebaliknya pandanglah ia secara positif kerana ia membuktikan anda sebagai orang yang istimewa di sisi pihak yang sedang merajuk. Jika dipandang ringan atau remeh, dibimbangi pihak yang merajuk akan mencari sumber lain untuk memujuknya. Sudah tentu kita tidak mahu ini berlaku kepada pasangan suami isteri!

Pun begitu, kes merajuk akan menjadi agak rumit apabila kedua-dua suami dan isteri merajuk pada waktu yang sama. Perhatikan senario Ikram dan Emilia di atas, masing-masing sedang merajuk dan mengharapkan orang yang istimewa untuk memujuknya. Justeru siapakah yang sepatutnya memulakan pujukan, belaian dan perhatian? Ikram akan mengharapkan pujukan Emilia sementara Emilia akan mengharapkan pujukan Ikram. Masing-masing berharap kepada pasangan masing-masing, masing-masing tidak mendapat pujukan yang diharap-harapkan.

Ini sesuatu yang lazim di alam perkahwinan.

 

Siapa Nak Pujuk Dulu?

Merujuk kepada soalan “Siapa nak pujuk dulu?” saya teringat kepada hadis-hadis Rasulullah berkenaan silaturahim. Secara tepat, silaturahim bererti menghubungkan semula talian persaudaraan yang telah terputus di antara ahli keluarga dan saudara mara. Namun dalam konteks yang lebih luas, silaturahim boleh juga merujuk kepada menghubungkan semula ikatan persaudaraan di antara sesama umat Islam yang telah terputus.

Dalam konteks suami isteri yang masing-masing sedang merajuk, silaturahim boleh juga bererti menghubungkan, mendamaikan dan meromantikkan kembali hubungan di antara suami dan isteri yang agak renggang pada saat itu.

Rasulullah pernah bersabda: “Bukanlah silaturahim itu orang yang meneruskan hubungan yang sedia terjalin, akan tetapi silaturahim itu adalah orang yang apabila terputus hubungan, dia menjalinkannya kembali.” [Riwayat al-Bukhari, Shahih al-Targhib, no: 2533]

Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah ditanya tentang amalan-amalan yang terbaik. Baginda menjawab: “Menjalinkan hubungan dengan orang yang memutuskan hubungan denganmu, engkau memberi kepada orang yang tidak memberi kepadamu dan memaafkan orang yang menzalimi kamu.” [Riwayat Ahmad, Shahih al-Targhib, no: 2536-b]

Rasulullah juga menegaskan: “Sesiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, hendaklah dia menjalin silaturahim.” [Riwayat al-Bukhari, Shahih al-Targhib, no: 2519]

Hadis-hadis di atas dapat memberi jawapan kepada soalan “Siapa nak pujuk dulu?” Jelas bahawa yang pertama memujuk adalah orang yang menjalinkan semula silaturahim di antara suami isteri dan orang ini mendapat ganjaran sebaik-baik amal, kelapangan rezeki dan dipanjangkan umur. Oleh itu berdasarkan hadis-hadis ini, hendaklah pasangan suami isteri yang sedang merajuk berlumba-lumba untuk menjadi yang pertama memujuk, bukan yang menunggu dipujuk.

 

Beberapa Nasihat Tambahan

Sekali sekala merajuk termasuk masam manis kehidupan berumahtangga. Akan tetapi jika terlalu kerap merajuk, ia akan menjadikan pasangan anda “naik meluat” dan tidak lagi melayan anda. Oleh itu nasihat saya kepada bakal-bakal suami dan isteri, jangan terlalu kerap merajuk sehingga ia menjadi agenda harian. 

Nasihat kedua, janganlah menjadikan kehidupan baru sebagai suami isteri sebagai alasan untuk merenggangkan hubungan sesama ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai. Hendaklah anda menjadi orang-orang yang menjalinkan silaturahim, bukan memutuskannya. Oleh itu luang-luangkanlah masa untuk berhubung dengan semua, sama ada melalui panggilan talifon atau ziarah menziarah.