Dalam artikel yang lepas, saya menerangkan bahawa antara syarat kelayakan seseorang itu

nafkah.jpg

 menjadi suami ialahkesedaran dan kemampuan untuk memberi nafkah kepada isterinya. Dalam artikel ini, insya-Allah saya akan mengupas tajuk nafkah dengan lebih mendalam, agar kita sama-sama dapat mengetahui tentangnya dan mempraktikkannya sebaik mungkin.

Nafkah bererti belanja. Secara lebih terperinci ia bererti belanja yang dikeluarkan oleh suami bagi memenuhi keperluan asas ahli keluarganya, yakni isteri dan anak-anak. Keperluan asas yang dimaksudkan ialah tempat tinggal dan kelengkapannya, makanan, minuman, pakaian, pendidikan (anak-anak) dan perubatan apabila diuji dengan penyakit.

Hikmah nafkah ini ialah sebagai penghargaan dan timbal balik suami kepada isterinya yang bekerja keras melayan keperluan suami, menguruskan rumah dan membesar serta mendidik anak-anak.

 

 

Hukum dan Kadar Nafkah.

Hukum suami memberi nafkah kepada ahli keluarganya adalah wajib. Allah berfirman: Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. [al-Baqarah 2:233] Dalam ayat yang lain Allah berfirman juga: Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu. [al-Thalaq 65:06] Demikian juga pada ayat seterusnya: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. [al-Thalaq 65:07]

Firman Allah “Tempatkanlah…” dan “Hendaklah…” adalah kata kerja perintah, bererti ialah adalah satu perintah yang membawa hukum wajib ke atas suami. Berdasarkan ayat-ayat ini, para ilmuan Islam menyatakan bahawa hukum suami memberikan nafkah kepada ahli keluarganya adalah wajib.

Apa yang menarik untuk diperhatikan di sini adalah, sekalipun Islam mewajibkan tanggungjawab nafkah ke atas suami, Islam menyerahkan kadar nafkah tersebut kepada tahap kemampuan suami tersebut. Jika disemak semula ayat-ayat di atas, akan didapati Allah menyatakan kadar nafkah sebagai “…menurut cara yang sepatutnya…” dan “…sesuai dengan kemampuan kamu”. Ini dijelaskan lagi dalam ayat berikut:

Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan. [al-Thalaq 65:07]

 

 

Keadaan Isteri Yang Diberikan Nafkah.

Suami tetap wajib memberi nafkah kepada isteri sekalipun isteri tersebut seorang yang kaya atau memiliki pendapatan tersendiri. Hanya sahaja, kadar nafkah tetap diukur berdasarkan kemampuan suami dan bukannya permintaan isteri. Justeru seorang isteri yang berasal dari latarbelakang keluarga yang kaya atau berpendapatan tinggi tidak boleh mengharapkan atau meminta barang-barang yang mewah daripada suaminya.

Atas dasar ini, penting bagi seorang wanita untuk memerhatikan kadar kewangan dirinya dan kadar kewangan calon suaminya. Jika dia (wanita) seorang yang biasa dengan kehidupan selesa, berpendapatan tinggi atau menyukai benda-bennda yang mewah, tidak disyorkan memilih calon suami yang biasa dengan kehidupan serba minimum, berpendapatan rendah atau berkecukupan dengan apa yang sedia ada.

Alternatif lain, isteri yang kaya atau berpendapatan tinggi boleh menyumbang sama di atas apa yang dibelanjakan oleh suami. Alternatif ini adalah satu pilihan kepada isteri dan apa yang dia sumbangkan atau belanja menjadi sumber pahala kepadanya. Pahala kerana meringankan beban suami, pahala kerana merupakan sedekah untuk ahli keluarganya.

 

 

Nafkah Ialah Sedekah, Sedekah Ialah Pelaburan.

Dalam suasana ekonomi yang semakin menghimpit ini, subjek nafkah mungkin merupakan sesuatu yang agar berat. Bahkan agak ramai suami yang sangat berkira apabila mengeluarkan nafkah untuk ahli keluarganya.

Sebenarnya, nafkah ialah satu bentuk sedekah. Rasulullah bersabda: Apabila seseorang (suami) memberi nafkah untuk keluarganya dengan niat mengharap pahala, maka itu baginya adalah sedekah. [Shahih al-Bukhari, no: 53] Nafkah yang diberikan secara ikhlas, yakni semata-mata kerana mengharapkan keredhaan, pahala dan ganjaran daripada Allah, akan menjadi satu sumber pelaburan yang amat menguntungkan.

Allah menyatakan hal ini dalam firman-Nya: Bandingan orang-orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya. [al-Baqarah 2:261]

Jika orang yang menafkahkan harta pada jalan Allah mendapat pulangan pelaburan sebesar di atas, bagaimana pula dengan orang yang menafkahkan harta kepada keluarganya? Hadis berikut menjadi rujukan: Dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan Allah dan dinar yang kamu berikan kepada seorang budak wanita, dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu nafkahkan kepada keluargamu. Maka yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu nafkahkan kepada keluargamu. [Shahih Muslim, no: 1661]

Tiada had minima untuk modal pelaburan yang dijadikan sebagai nafkah untuk keluarga. Apa jua yang dinafkahkan merupakan modal pelaburan, sekalipun sekadar sesuap nasi. Rasulullah bersabda: Tidakkah Kamu menafkahkan suatu nafkah dengan tujuan untuk mencari redha Allah, melainkan kamu akan mendapatkan pahala karena pemberianmu itu, sehinggakan sesuap makanan yang kamu hulurkan ke mulut isterimu juga merupakan sedekah daripadamu. [Shahih Muslim, no: 3076]

Kesimpulannya, sama ada nafkah yang wajib diberikan oleh suami atau sumbangan yang ditambah oleh isteri, semuanya ada sedekah yang menjana pahala lagi menghasilkan pulangan yang tinggi. Oleh itu ayuh wahai suami dan isteri, sama-samalah mengeluarkan belanja untuk rumahtangga masing-masing, asalkan tidak ke tahap pembaziran.