Soalan 1: Masa Sesuai Untuk Bersama Suami-Isteri

Disebabkan saya dan isteri bekerja, kami kerap kali tidak menemui masa yang sesuai untuk melakukan hubungan seks. Apabila waktu malam, kami berdua sudah agak letih sehingga terus tertidur. Kadangkala saya bertenaga, isteri pula keletihan. Kadangkala isteri bertenaga, saya pula keletihan. Pada hari cuti pula, kami sibuk melayan anak-anak kecil sehingga tidak menemui masa yang sesuai. Persoalan ini pernah menjadi punca perbalahan di antara kami berdua. Ada apa-apa cadangan yang dapat diberikan?

 

Jawapan:

Persoalan ini bukanlah sesuatu yang janggal. Ramai suami isteri yang menghadapinya, tetapi mereka tidak berani bertanya atau mencari solusi kerana menganggap ia sesuatu yang patut dirahsiakan.

Membaca situasi yang dihadapi oleh tuan, saya cadangkan waktu awal pagi. Iaitu suami isteri bangun pukul 5 pagi, segarkan diri dengan menggosok gigi atau berkumur-kumur, kemudian melakukan hubungan seks. Setelah itu mandi wajib, solat Subuh dan bersiap pergi kerja. Lebih baik, suami isteri bangun pukul 5 pagi, ambil wudhu’ dan solat tahajjud beberapa rakaat, kemudian melakukan hubungan seks. Setelah itu mandi wajib, solat Subuh dan bersiap pergi ke kerja. Pada masa ini, anak-anak kecil lazimnya sedang tidur.

Merujuk kepada situasi salah seorang pasangan tidak bersedia untuk melakukan hubungan seks kerana keletihan dan sebagainya, satu cara yang saya cadangkan ialah dengan membuat temujanji. Aneh tetapi benar, temujanji seperti ini diperlukan dalam suasana kedua-dua suami isteri sibuk dengan kerjaya masing-masing. Kesibukan sering menyebabkan keletihan atau fikiran tertumpu kepada sesuatu projek sehingga terlupa untuk meluangkan masa melakukan hubungan seks bersama.

Oleh itu seorang suami mungkin berkata kepada isterinya: “Sayang, pagi nanti kita bangun awal untuk solat tahajjud dan bermain-main, sebelum solat Subuh dan pergi bekerja, ya?” Atau isteri berkata kepada suaminya: “Abang, saya rindu hendak bermain-main dengan abang. Jom kita tidur awal malam ini dan bangun bersama pukul 5 pagi nanti!”

Demikian beberapa cadangan saya. Apapun, yang penting kedua-dua suami dan isteri hendaklah berusaha mencari jalan agar dapat melakukan hubungan seks bersama. Jangan dibiarkan sesuatu halangan berlanjutan kerana ia akan memberi kesan negatif kepada keharmonian kehidupan berumahtangga.

 

 

 


 

Soalan 2: Doa Sebelum Hubungan Seks

Saya terbaca bahawa sebelum melakukan hubungan seks suami isteri, ada doa yang patut dibaca. Apakah doa tersebut dan apakah ia sahih daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam?

 

Jawapan: 

Ini adalah satu sikap yang baik, yakni tidak menerima apa-apa hukum, anjuran atau amalan agama melainkan disemak sumbernya dan dipastikan kesahihannya. Pada masa kini, banyak hukum, anjuran, amalan dan petua-petua agama yang disebarkan tanpa berasal daripada petunjuk al-Qur’an mahupun al-Sunnah.

Ya, terdapat doa yang diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebelum suami dan isteri melakukan hubungan seks. Doa tersebut sahih, diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab Shahihnya, no: 4767/5165. Ia bermaksud: Dengan nama Allah; Ya Allah! Jauhilah kami daripada syaitan dan jauhilah syaitan daripada apa yang Engkau rezekikan kepada kami.

Izinkan saya menerangkan sedikit berkenaan doa ini. Ia dimulakan dengan menyebut Bismillah yang bererti Dengan nama Allah, menunjukkan hubungan seks sebenarnya adalah satu ibadah yang kita mulakan dengan nama Allah, agar dengan itu kita memperolehi keberkatan dan rahmat di dalamnya. Malah dalam sebuah hadis yang lain, diterangkan bahawa hubungan seks antara suami dan isteri dapat menjana pahala, umpama pahala sedekah (Shahih Muslim, no: 1674/1006). Oleh itu suami dan isteri janganlah memandang hubungan seks sebagai sesuatu yang menyelisihi nilai-nilai ibadah di dalam Islam.

Seterusnya kita berdoa: Ya Allah! Jauhilah kami daripada syaitan…, ertinya kita memohon perlindungan kepada Allah agar aktiviti seks dijauhi daripada apa-apa gangguan syaitan. Syaitan adalah musuh utama manusia, apatah lagi terhadap umat Islam. Syaitan sentiasa mencari ruang untuk mengganggu umat Islam, termasuklah ketika melakukan hubungan seks. Syaitan tahu jika ia dapat mengganggu kelancaran hubungan seks, lambat laun ia akan menimbulkan konflik dan perbalahan di antara suami dan isteri sehingga diakhiri dengan perceraian. 

Antara gangguan syaitan ketika suami dan isteri melakukan hubungan seks ialah ia menghasut suami untuk mengimaginasi wanita lain yang lebih seksi berbanding isterinya, mengganggu fokus suami daripada memperolehi ketegangan zakar atau mengganggu fokus isteri daripada memperolehi klimaks bersama suami. Oleh itu amatlah penting bagi orang-orang yang beriman agar memohon perlindungan Allah daripada gangguan syaitan ketika melakukan hubungan seks.

Setelah itu kita berdoa: dan jauhilah syaitan daripada apa yang Engkau rezekikan kepada kami. Maksudnya kita memohon kepada Allah agar melindungi anak yang mungkin diperolehi daripada diganggu oleh syaitan, baik ketika dalam kandungan ibu atau selepas dilahirkan. Ini diterangkan oleh Rasulullah setelah mengajarkan doa tersebut: Kemudian apabila mereka berdua ditakdirkan mendapat keturunan dari hasil pergaulan itu atau mereka dikurniakan anak, maka ia tidak akan diganggu oleh syaitan selama-lamanya [Shahih al-Bukhari, no: 4767/5165].