Soalan 1:

Saya sedang hamil anak pertama dan dijangka melahirkan anak pada Mei depan. Pertama kali menjalani pemeriksaan antenatal di sebuah hospital swasta saya terkedu kerana diperiksa oleh doktor pakar ginekologi lelaki. Permintaan saya untuk menukar kepada doktor wanita tidak berjaya dengan alasan doktor tersebut sudah penuh senarai pesakitnya. Apa yang menjadi kemusykilan saya, apakah hukumnya saya membuat pemeriksaan kehamilan dan bakal melahirkan bayi dengan seorang doktor lelaki?

Yanz, Kulim, Kedah.

 

Jawapan:

Islam menegah lelaki memandang wanita dan wanita memandang lelaki. Allah s.w.t. berfirman: Katakanlah kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka… Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka.” [Sebahagian ayat 30 dan 31 surah al-Nur]

Maka tidak dibolehkan bagi seorang doktor lelaki memandang aurat pesakit wanita dan demikianlah sebaliknya. Ini kerana terdapat mudarat yang bakal muncul jika berlaku pemandangan yang melibatkan aurat di antara lelaki dan wanita, apatah lagi sentuhan dalam suasana rawatan.

Sungguh pun begitu, dalam Islam terdapat kaedah bahawa apabila bertembung dua mudarat, hendaklah dihindari kemudaratan yang lebih besar kesannya. Dalam kes ini, kemudaratan yang mungkin menimpa ibu yang hamil dan kandungannya adalah jauh lebih besar berbanding kemudaratan pemandangan dan sentuhan ketika rawatan. Berdasarkan kaedah di atas, dapat dirumuskan beberapa hukum, iaitu:

Bagi pemeriksaan berkala setiap bulan dan kelahiran mengikut jadual, hendaklah berusaha bersungguh-sungguh mencari doktor wanita. Jika tidak ada, maka boleh berjumpa doktor lelaki dengan syarat suami atau muslimat yang dipercayai turut hadir sepanjang masa ketika pemeriksaan dan kelahiran. Kehadiran jururawat wanita tidak mencukupi kerana kerap kali jururawat terpaksa meninggalkan ruang pemeriksaan dan bilik kelahiran atas tugasan lain.

Bagi kelahiran yang tidak dijadualkan, yakni secara tiba-tiba bayi akan lahir, maka kelahiran itu boleh disambut oleh sesiapa jua, termasuk doktor lelaki. Ini kerana kelahiran yang tiba-tiba merupakan satu keadaan darurat. Dalam hukum Islam, suasana darurat membolehkan sesuatu yang haram menjadi halal, mengikut kadar yang diperlukan.

 

 

Soalan 2:

Saya ada kemusykilan berhubung dengan cara pelaksanaan majlis cukur jambul yang biasa dilakukan oleh masyarakat Melayu Islam apabila mendapat anak. Ia seolah-olah satu kemestian dalam masyarakat. Apabila seseorang ibu baru melahirkan anak maka akan timbul soalan “bila nak buat kenduri cukur jambul anak?” Boleh huraikan apakah hukumnya membuat majlis cukur jambul anak yang baru lahir?

Noraini, Ampang, Selangor.

Jawapan:

Mencukur rambut bayi adalah sesuatu yang disunatkan oleh Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Setiap bayi tergadai dengan akikahnya, disembelih untuknya pada hari ketujuh, dicukur rambutnya dan diberi nama.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 2838] Tujuan mencukur rambut adalah untuk membersihkan selaput kepalanya dan agar rambut yang baru lagi sihat dapat tumbuh. Oleh kerana itulah dalam riwayat yang lain, mencukur rambut juga disebut sebagai “bersihkan kotoran”, yakni hadis: “Bersama seorang anak satu akikah, maka tumpahkan untuknya darah (yakni sembelihan akikah) dan bersihkan kotorannya (yakni mencukur rambut).” [Shahih al-Bukhari, no: 5472, Fath al-Bari, jld. 27, ms. 24]

Mencukur rambut disunatkan ke atas bayi lelaki dan perempuan, dan sunat dilakukan pada hari ketujuh selepas kelahirannya. Malang sekali, ramai ibubapa masa kini yang menyayangi bayi mereka dengan cara yang salah, mereka menyayangi rambut bayi mereka sehingga membelakangkan anugerah pahala dan rahmat daripada Allah s.w.t.. Justeru mereka menggantikan suruhan mencukur rambut bayi yang sunat hukumnya kepada majlis cukur jambul.

Mencukur jambul bayi hukumnya makruh, kerana ia sejenis “qaza” yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w. [Shahih al-Bukhari, no: 5920] “Qaza” ialah mencukur sebahagian rambut di mana-mana bahagian kepala sementara di bahagian lain rambut dibiarkan [Fath al-Bari, jld. 28, ms. 832]. “Qaza” dilarang kerana ia mencacatkan  kepala seseorang – termasuk kepala bayi – dan ia menyerupai fesyen sebahagian orang bukan Islam. Sekalipun hukumnya makruh, mana-mana ibubapa yang beriman kepada Allah lagi mengharapkan keredhaan-Nya akan berusaha menjauhi sesuatu yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w.. Selain itu ada juga ibubapa yang sekadar menggunting beberapa helai rambut bayi. Praktik ini tidak memiliki apa-apa manfaat sama ada dari sudut agama mahu pun selainnya.

Adapun melaksanakan majlis sempena cukur jambul, maka yang sepatutnya dilaksanakan ialah majlis akikah. Majlis akikah membuktikan kesyukuran kepada Allah atas bayi yang dianugerahkan-Nya, pengumuman kepada jiran-jiran akan kelahiran anak yang baru dan persediaan awal bahawa bayi itu akan dididik menjadi hamba yang berkorban untuk kebaikan agama dan umat. Majlis akikah dengan sendirinya adalah satu bentuk ibadah, maka ia tidak perlu diubah-suai dengan ibadah-ibadah lain seperti membaca surah Yasin, zikir-zikir, doa selamat dan sebagainya. Walaubagaimanapun majlis akikah hukumnya sunat, maka mana-mana ibubapa yang tidak mampu tidak dituntut melaksanakannya.