Saimaikum Ramli! Apa macam pagi ini?”

“Hu hu, teruklah. Malam semalam balik jam teruk. Pagi ini pergi kerja jam teruk.”

“Trafik jam ringan atau teruk, engkau duduk berehat dalam kereta juga. Aku ni lagi haa…kena berdiri naik komuter.”

“Alaah! Kereta Persona aje.”

“Aku lagi kecil, Satria saja.”

“Ehh! Aku dengar isteri engkau dapat naik pangkat, tentu gaji naik juga.”

“Adalah sikit-sikit, tak banyak mana pun.”

Demikian sedikit coretan dua rakan yang hendak memulakan hari mereka di pejabat. Perhatikan bagaimana mereka berdua 

alhamdolillah.jpgmerungut akan hal-hal yang tidak disukai, saling bersaing merendahkan apa yang dimiliki dan menafikan kebaikan yang baru diperolehi.

Sedar atau tidak, kebanyakan kita dalam kehidupan sehari-harian memiliki kecenderungan untuk fokus kepada perkara-perkara yang tidak disukai, yang menyukarkan dan yang dianggap tidak bernilai. Kita merungut tentang pelbagai perkara, bahkan adakalanya membesar-besar dan menokok-tambah. Dalam keghairahan kita memfokus kepada perkara-perkara yang tidak disukai, kita lupa akan pelbagai perkara lain yang baik lagi disukai, meskipun yang baik lagi disukai itu jumlahnya amat banyak.

Ambil saja contoh kenderaan. Hari-hari kita memandu, kita mendiamkannya. Namun satu hari kereta tersebut rosak, kita merungut kepada keluarga dan rakan-rakan, marah kepada kereta itu dan rungsing memikirkan kos membaikinya. Ambil pula contoh kesihatan. Hari-hari kita sihat, kita mendiamkannya. Namun satu hari apabila sakit perut, kita mengeluh berpanjangan serta mengadu kepada rakan dan keluarga.

 

Menceritakan Nikmat-Nikmat Allah.

Satu etika atau adab yang dianjurkan oleh Islam, yang mungkin kebanyakan kita tidak tahu, ialah menceritakan nikmat-nikmat yang kita perolehi. Dalam surah al-Dhuha yang saya yakin ramai di antara kita sudah hafal dan sering membacanya, Allah berfirman: “Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan.” [al-Dhuha 93:11]

Ya, nikmat Allah bukan untuk dilupakan. Nikmat Allah bukan untuk dinafikan. Nikmat Allah bukan untuk diperkecilkan. Sebaliknya nikmat Allah hendaklah diceritakan, sebagai bukti bahawa kita mengiktiraf nikmat tersebut adalah daripada Allah dan kita mensyukurinya.

Menyentuh tentang nikmat, ia tidak semestinya dalam bentuk harta benda yang dapat diukur nilainya. Akan tetapi ia lebih luas mencakupi agama Islam, hidayah, iman, ilmu, kesihatan, ahli keluarga dan segala dalam kehidupan ini.

Jika diperhatikan kembali surah al-Dhuha, Allah menyuruh Rasulullah menyebut-nyebut nikmat yang diperolehinya dalam bentuk perlindungan sebagai anak yatim (ayat 6), pemberian hidayah (ayat 7) dan penganugerahan rezeki (ayat 8).

Selain dalam surah al-Dhuha, terdapat juga hadis berkenaan menceritakan nikmat-nikmat Allah. Diriwayatkan bahawa: “Sesiapa yang tidak mensyukuri yang sedikit, dia tidak akan mensyukuri yang banyak. Sesiapa yang tidak mensyukuri (berterima kasih) kepada manusia, dia tidak mensyukuri Allah. Menceritakan nikmat Allah adalah kesyukuran manakala meninggalkannya (mendiamkannya) adalah kekufuran. Berjamaah adalah rahmat sementara berpecah-pecah adalah azab.” [Musnad Ahmad, no: 18449 dengan sanad yang memiliki perbincangan di dalamnya. Ia dinilai hasan oleh Syaikh Salim bin Id al-Hilali).

Dalam sebuah hadis yang lain, baginda bersabda: “Sesiapa yang diberikan ujian lalu dia menyebut-nyebutnya, bererti dia mensyukurinya sementara jika dia menyembunyikannya bererti dia mengingkarinya. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 4814] Maksud diberikan ujian dalam hadis ini ialah diberikan nikmat, kerana nikmat itu sendiri pada hakikatnya satu ujian kepada manusia sama ada kita mensyukurinya atau mengingkarinya.

Menceritakan nikmat Allah bukan bererti ujub, riya’ atau menunjuk-nunjuk. Ini kerana menceritakan nikmat Allah bererti menyandarkan nikmat tersebut kepada yang memberinya, yakni Allah. Juga, menceritakan nikmat adalah melahirkan rasa gembira, sekaligus bersyukur atas apa yang Allah telah berikan kepada kita. Ujub, riya’ atau menunjuk-nunjuk adalah sikap yang menyandarkan sesuatu nikmat kepada dirinya sendiri, menjadi sombong dan mengenepikan Allah darinya.

 

Jangan Bertanya Apa Khabar?

Memandangkan ramai di antara kita masa kini mudah lupa kepada nikmat Allah, memandang remeh kepadanya atau menafikannya, saya sarankan kita ubah cara bertanya khabar kepada sesama rakan. Elakkan dari bertanya soalan umum “Apa khabar?” kerana keumuman tersebut akan digunakan oleh penjawab dengan menceritakan apa yang tidak baik.

Sebaliknya bertanyalah “Bagaimana dengan nikmat-nikmat Allah pagi ini?” Dengan memberi fokus kepada nikmat, penjawab akan segera mengingati nikmat-nikmat Allah yang sekian banyak dan dapat memberi jawapan umpama: “Alhamdulillah, dapat rehat yang baik di rumah. Pagi tadi jalan sesak namun masih selesa sampai ke pejabat. Oh ya, isteri saya baru dapat kenaikan pangat, semalam beliau belanja kami sekeluarga makan malam di restoran istimewa.”