Di sana sini Allah menguji umat Islam dengan musibah. Hampir setiap hari kita temui dalam media musibah yang menimpa dalam bentuk gempa bumi, gunung berapi, banjir, kemiskinan, penyakit dan penindasan pihak yang zalim. Di kalangan umat Islam ada yang tidak memberi perhatian kepada musibah-musibah ini. Mereka membaca atau mendengar tentangnya, namun ia tidak mendapat tempat di dalam hati dan fikiran mereka. Bagi mereka “Saya hal saya, mereka hal mereka.”
          Bagi kalangan ini yang saya harap tidak ramai orangnya, izinkan saya berkongsi sebuah ayat dari al-Qur’an: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” [al-Taubah 9:71]
          Perhatian kita ditujukan kepada permulaan ayat, di mana Allah menerangkan bahawa sebahagian kita menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Inilah antara ciri orang yang beriman sehingga jika seseorang sengaja membiarkan saudara muslimnya yang lain padahal dia mengetahui saudara itu amat memerlukan pertolongan, imannya adalah cacat, jauh dari kemanisan dan kesempurnaan.

          Ciri sebahagiannya menjadi penolong bagi sebahagian yang lain turut ditekankan oleh Rasulullah. Dalam sebuah hadisnya baginda membuat perumpamaan: “Seorang mukmin kepada mukmin yang lain adalah ibarat sebuah bangunan, sebahagiannya mengukuhkan sebahagian yang lain.”[Shahih al-Bukhari, no: 5567]helping_hand.jpg
          Dalam hadis yang lain baginda bersabda: “Orang-orang Islam seumpama satu tubuh, jika matanya sakit maka terasa sakit seluruh tubuhnya dan jika kepalanya sakit maka terasa sakit seluruh tubuhnya.” [Shahih Muslim, no: 4687]
          Oleh kerana itu diriwayatkan bahawa: “Sesiapa yang tidak memikirkan urusan umat Islam maka tidaklah dia termasuk golongan mereka.” [al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Ausath, no: 7473 dan sanadnya dinilai hasan oleh penyemaknya, Mahmud Hasan Ismail]
          Justeru tidaklah patut seorang muslim apatah lagi mukmin, apabila dia mengetahui saudara seagamanya dalam keadaan memerlukan pertolongan, bersikap tidak endah dan berpaling ke urusannya sendiri. Kita patut membantu sekadar yang boleh, sekadar yang mampu. Sekalipun kita sendiri menghadapi masalah, yakinilah masalah saudara kita lebih berat berbanding masalah kita.
 

Kenapa Palestin?
          Di antara umat Islam yang amat memerlukan bantuan kita ialah umat Islam di Palestin. Kezaliman Yahudi-Israil ke atas mereka merupakan sesuatu yang sudah dikenali oleh masyarakat dunia tanpa mengira agama. Mereka telah dizalimi sejak berpuluh tahun sekalipun tidak ramai di antara kita yang mengetahui bahawa umat Islam turut memiliki campur tangan dalam pencerobohan kaum Yahudi di bumi Palestin. [Untuk fakta ini rujuk buku Kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyyah: Suatu Analisis Ke Atas Peranan GerakanWahhabiyyah” oleh Ibnu Ahmadain al-Barlisi, terbitan Jahabersa]
          Alhamdulillah, banyak usaha di kalangan umat Islam untuk membantu saudara-saudara kita di Palestin. Ada kutipan dana dengan menggunakan pelbagai sarana, menampal stiker di kereta bagi menarik perhatian mereka yang leka dan misi-misi kemanusiaan terus di bumi Palestin.
          Hanya satu usaha masih belum dijalankan, iaitu menganjurkan umat Islam Palestin berhijrah ke daerah lain yang selamat. Berhijrah dari daerah penindasan ke daerah keamanan merupakan salah satu ajaran Islam. Ini sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah ketika umat Islam pada zaman baginda ditindas dengan hebat di Mekah, lalu mereka berhijrah ke Habsyah dan Madinah.
          Hukum berhijrah masih valid hingga Hari Kiamat. Selagi mana umat Islam memiliki musuh, selagi itu kita disuruh berhijrah untuk menyelamatkan agama, nyawa dan maruah serta menyusun strategi bagi membalas serangan apabila memiliki kekuatan. Rasulullah menerangkan hakikat ini: “Hijrah tidak akan terputus selagi mana masih ada musuh untuk diperangi.” [Musnad Ahmad, no: 22324 dan dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth]
          Apabila umat Islam Palestin ditindas dengan hebat sementara kita tidak memiliki kekuatan ketenteraan untuk menghentikan penindasan tersebut, maka salah satu tindakan yang patut dipertimbangkan ialah menganjurkan mereka berhijrah ke tempat yang aman dari penindasan. Jika umat Islam Palestin tidak memiliki kemampuan untuk berhijrah, maka kita dapat membantu mereka dengan menyediakan daerah yang sesuai lagi aman untuk mereka berhijrah.
          Sebaliknya apabila kita memaksa mereka tetap di bumi mereka, mereka terus ditindas dan ditindas sehingga timbul soalan baru yang patut kita bertanya kepada diri kita sendiri: Siapakah yang sebenarnya menindas umat Islam Palestin: Yahudi atau umat Islam?

 Kenapa Hanya Palestin?
          Soalan lain yang patut turut ditanya ialah: Kenapa hanya Palestin? Umat Islam yang ditimpa musibah terletak di pelbagai belahan dunia, malah di negara kita sendiri. Akan tetapi kelihatannya kempen kesedaran, usaha mengutip dana dan misi-misi kebajikan hanya tertumpu kepada umat Islam di Palestin. Ya, memang mereka memerlukan bantuan kita dan kita patut membantu mereka. Akan tetapi kenapa kita hanya fokus kepada mereka dan mengabaikan umat Islam lain yang turut ditimpa musibah? Justeru dalam rangka kita membantu umat Islam, bantulah secara adil. Jangan kita mengutamakan sebahagian dan menganak tirikan ramai yang lain.