Soalan:

Benarkah tidur pada siang hari pada bulan Ramadan itu dikira sebagai ibadah? Jika benar, tidur yang bagaimanakah?

Faizah Abu Bakar, Pasir Mas, Kelantan.

 

Jawapan:

Ada sebuah riwayat yang bermaksud: “Tidurnya orang yang berpuasa adalah ibadah”. Akan tetapi riwayat ini telah dikenal pasti sebagai amat lemah atau palsu oleh para ahli hadis. Maka ia tidak boleh dijadikan sandaran hukum atau sumber amalan.

Apa yang benar, hukum tidur pada siang hari bergantung kepada niat, baik ketika sedang puasa atau tidak. Jika seseorang itu tidur sebentar kerana ingin merehatkan minda dan badan agar dengan itu dia dapat meneruskan harinya dengan cemerlang, maka itu dikira satu ibadah baginya. Jika sengaja tidur berjam-jam lamanya, maka ia bukan satu ibadah baginya. Bahkan menjadi kerugian kerana masa tersebut boleh dimanfaatkan untuk membaca al-Qur’an, menuntut ilmu dan berpesan-pesan kepada kebaikan serta kesabaran.