Soalan:

Saya ada terbaca, di antara orang yang disukai oleh Allah ialah orang miskin yang pemurah. Apa maksud kenyataan ini sedangkan orang miskin sudah tentu tidak mungkin membelanjakan orang lain?

Farah Asyikin Iskandar, Petaling Jaya, Selangor.

 

Jawapan:

Allah tidak melihat jumlah harta yang disedekahkan, tetapi melihat peratusan harta yang disedekahkan. Apabila orang miskin yang memiliki RM20 mensedekahkan RM10, bererti dia mensedekahkan 50% daripada hartanya. Apabila orang kaya yang memiliki RM1000 mensedekahkan RM100, bererti dia mensedekahkan 10% daripada hartanya. Justeru meski pun RM100 adalah lebih banyak berbanding RM10, sedekah orang miskin tersebut lebih disukai oleh Allah.

Perhatikan sabda Rasulullah berikut ini: “Satu dirham, pahalanya lebih besar daripada seratus ribu dirham.” Para sahabat bertanya: “Bagaimana (hal itu boleh terjadi)?” Rasulullah menjawab: “Seorang yang memiliki dua dirham lalu dia mensedekahkan satu dirham dan seorang (lain) yang pergi ke tempatnya (di mana disimpan) harta yang melimpah, diambilnya seratus ribu dirham lalu disedekahkannya.” [Shahih Sunan al-Nasa’e, no: 2480/2527]