Soalan:

Apakah hukumnya terhadap orang Islam yang tidak bertegur sapa padahal mereka sering berjumpa dan berjemaah bersama-sama di masjid yang sama? Krisis ini berpunca daripada berbeza fahaman politik.

Rafidah Bakar, Masai, Johor.

 

Jawapan:

Berpecah-pecah kepada parti-parti politik dan jamaah-jamaah, dengan setiap penyokong menganggap parti atau jamaahnya adalah yang terbaik, merupakan salah satu perkara yang diharamkan oleh Islam. Berpecah-pecah seperti ini merupakan ciri orang-orang musyrikin yang dilarang oleh Allah dalam ayat berikut: Dan janganlah kamu menjadi dari kalangan orang-orang musyrikin, iaitu orang-orang yang memecah-belah agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada diri mereka. [al-Rum 30:31-32]

Orang-orang Islam sepatutnya bersatu dengan menjadikan Allah sebagai satu-satunya paksi persatuan mereka. Apabila orang-orang Islam saling berpecah kepada parti atau jamaah masing-masing, mereka berpaksi kepada parti dan jamaah tersebut. Mereka mensyirikkan Allah (menyekutukan Allah) kerana telah mengambil sesuatu selain Allah sebagai paksi kesatuan. Ini adalah dosa besar yang melibatkan urusan tauhid dan aqidah yang tidak disedari ramai. Bersama dosa ini datang dosa lain seperti memutuskan silaturahim sebagaimana dalam soalan di atas.

Allah mengingatkan dalam sebuah ayat yang lain: Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai berai [Ali Imran 3:103] Tali Allah hanya satu dan hendaklah semua umat Islam bergantung, berjanji taat setia (bai’ah) dan fokus kepada tali yang satu ini, bukan kepada tali-tali yang lain. Moga semua umat Islam menyedari hakikat ini dan kembali bersatu.