Soalan:

Apakah hukum saya memuji orang bukan Islam?

Mimi, Rawang, Selangor.

Jawapan:

Ia bergantung kepada apa yang dipuji. Jika kita memuji mereka dalam urusan agama mereka, maka ia dilarang. Umpama: “Mogan, kamu memang rajin pergi ke kuil”. Jika kita memuji mereka dalam urusan yang diharamkan oleh Islam, maka ia dilarang juga. Umpama: “Ah Chong, kamu pandailah berjudi. Setiap kali pergi kasino kamu mesti menang.”

Allah berfirman: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” [al-Maidah 5:02] Memuji mereka dalam urusan agama mereka atau dalam urusan yang diharamkan oleh Islam termasuk dalam kategori bertolong-tolongan melakukan dosa dan pencerobohan. Kita sepatutnya mengajak mereka kepada Islam dan apa yang dihalalkan oleh Islam, bukan menggalakkan mereka kepada yang sebaliknya.

Adapun ke atas sikap mereka yang bagus, seperti jujur, rajin, bijak dan sebagainya kita boleh memuji mereka. Allah pernah memuji sebahagian Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian) dengan sikap amanah mereka: “Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, dia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepadamu.” [Ali Imran 3:75]