Soalan:
Saya sering terjaga malam kerana mimpi yang menakutkan. Adakalanya ia berlaku berulang-kali. Ada kawan mengatakan mimpi buruk adalah petanda sesuatu yang buruk yang bakal terjadi. Adakah ini benar, apakah tafsiran mimpi buruk dan bagaimana mengelakkanya?

Putri Adina, Tanjung Malim, Perak.
 
Jawapan:
Kenyataan kawan tersebut adalah salah. Berkenaan mimpi, Rasulullah menerangkan: Mimpi yang baik adalah daripada Allah, maka apabila seseorang kalian bermimpi apa yang dia sukai maka janganlah menceritakannya melainkan kepada orang yang dikasihinya. Sementara jika bermimpi apa yang dibenci maka ludahlah ke sebelah kiri tiga kali dan mohonlah perlindungan Allah dari keburukan syaitan dan (dari) keburukan mimpi itu. Jangan diceritakan kepada seorang jua. (Jika dilakukan semua ini) maka ia tidak akan memudaratkan. [Shahih Muslim, no: 2261-2]
Justeru apabila bermimpi sesuatu yang buruk, menakutkan atau tidak disukai, maka apabila terjaga ludahlah ke kiri. Ini adalah ludahan yang ringan, tanpa mengeluarkan air liur. Seterusnya bacalah “A’uzubillahi minash syaitan nirrajim” atau berdoa kepada Allah: “Ya Allah! Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan syaitan dan dari keburukan mimpi yang aku alami ini”. Kemudian jangan diceritakan mimpi itu kepada sesiapa jua.
Mimpi yang buruk tidak memiliki apa-apa tafsiran kerana ia berasal daripada syaitan dan apa yang berasal daripada syaitan tidak memiliki nilai untuk ditafsirkan. Ia juga bukan petanda tentang apa yang bakal berlaku, maka segeralah berjumpa dengan rakan yang berkata sedemikian agar aqidahnya dapat diluruskan.
Bagi mengelakkannya dari berulang, jangan diceritakan mimpi buruk itu kepada sesiapa. Menceritakannya bererti memberi perhatian kepada permainan syaitan dan ini memberi semangat kepada syaitan untuk terus mengganggu anda. Ingat! Syaitan hanya melayan orang yang memberi perhatian kepadanya.