Soalan:

Seseorang yang telah sakit tenat dan telah sekian lama menggunakan mesin bantuan pernafasan, lalu kemudian meninggal dunia tanpa sempat mengqadha solatnya. Adakah dibolehkan waris atau sesiapa sahaja mengqadhakan solatnya yang tertinggal itu?

Ingin tahu, Perak.

Jawapan:

Bertanya soalan ialah tindakan yang mulia, maka tidak sepatutnya seseorang itu menyembunyikan namanya ketika bertanya. Hanya orang yang melakukan perkara mungkar yang akan menyembunyikan identitinya.


Merujuk kepada soalan di atas, Islam hanya membolehkan waris orang yang meninggal dunia mengqadha ibadah puasa dan haji orang yang meninggal dunia. Adapun solat, ia tidak dibolehkan. Apa yang boleh dilakukan ialah berdoa kepada Allah agar diampunkan dosa orang yang meninggal dunia itu.


Selain itu, kes di atas hendaklah dijadikan iktibar oleh para pembaca sekalian untuk mengkaji dan mempelajari cara-cara solat ketika sakit. Usah tunggu ketika sakit kerana penyakit datang tanpa diduga dan pada ketika itu suasana lazimnya tidak mengizinkan untuk kita mengkaji dan belajar.