Soalan:

Zikir-zikir yang bagaimana yang disukai oleh baginda Rasulullah S.A.W? Ada tak zikir yang boleh menaikkan seri wajah? Harap ustaz dapat membantu.

Hashimah Ali, Ajil, Terengganu.

 

Jawapan:

Zikir bererti mengingati Allah dengan lafaz-lafaz yang Allah syari’atkan dalam al-Qur’an dan melalui tunjuk ajar Rasulullah. Zikir adalah satu amalan yang ringan di mulut tetapi berat di timbangan amal pada Hari Akhirat kelak.

Malangnya pada masa kini, sebahagian umat Islam mengambil mudah amalan zikir. Mereka membuat-buat lafaz zikir sendiri dan mengalunkannya mengikut irama tersendiri. Mereka bukan berzikir dengan lafaz dan cara yang disukai Allah, tetapi yang disukai oleh diri sendiri.

Tidak ada zikir khusus yang disukai oleh Rasulullah. Tidak ada zikir untuk tujuan tertentu seperti seri wajah, lulus peperiksaan, mendapat calon suami dan pelbagai lagi.

Oleh itu pelajarilah lafaz dan cara zikir yang benar melalui buku-buku yang ditulis oleh pengarang yang jujur lagi amanah. Di dalamnya, setiap zikir diberikan rujukannya daripada ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis yang dapat diterima.