Saya ingin memperkenalkan seseorang kepada para pembaca sekalian, iaitu Rafiq. Ejaan tepat dalam bahasa Arab ialah al-Rafiq, disebut sebagai ar-Rafiq. Pengenalan lebih lanjut kepada Rafiq dapat diperolehi melalui hadis berikut. Ayuh kita membacanya:

Abu Rimtsah berkata, aku bersama ayahku pergi menemui Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. (Ketika berjumpa, kami melihat) rambut baginda panjang hingga daun telinga dan diwarnai dengan inai serta baginda memakai dua kain yang berwarna hijau. 

Lalu ayahku berkata kepada baginda: “Tunjuklah apa yang ada di belakangmu kerana aku adalah seorang doktor (tabib).” 

Rasulullah menjawab: “Allah jualah doktor sementara kamu adalah seorang Rafiq. Allah jualah yang menyembuhkan apa yang dicipta-Nya (yakni penyakit).” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 3674/4206]

 

docpatient.jpg 

Dalam hadis di atas, orang yang datang menziarahi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ingin melihat bahagian belakang badan baginda. Meskipun tidak dinyatakan, mungkin di belakang Rasulullah saat itu ada sesuatu penyakit, seperti penyakit kulit. Orang tersebut memperkenalkan dirinya sebagai seorang doktor atau tabib.

Mendengar pengenalan tersebut, Rasulullah terus membetulkannya dengan menyatakan bahawa doktor yang sebenar ialah Allah sementara dia hanyalah seorang Rafiq. Rafiq dalam bahasa Arab bermaksud teman, dalam konteks ini bermaksud dia adalah teman kepada orang yang sakit.

 

Penyakit Dan Aqidah Seorang Muslim

Amat penting bagi seorang muslim untuk memiliki aqidah atau keyakinan yang murni bahawa Allah sahajalah penyempuh bagi penyakit. Allah jualah yang mencipta penyakit, mengenakan seseorang itu dengan sesuatu penyakit dan yang akan menyembuhkan orang tersebut daripada penyakit yang dikenakan-Nya itu.

Aqidah ini dijelaskan oleh hadis berikut: Allah tidak akan menurunkan penyakit melainkan menurunkan ubatnya (juga). [Shahih al-Bukhari, no: 5246/5678] Perhatikan awal hadis: Allah tidak akan menurunkan penyakit… menunjukkan bahawa Allah jualah yang mencipta dan mengenakan penyakit kepada manusia. 

Perhatikan pula hadis berikut: Setiap penyakit ada ubatnya. Apabila ditemukan ubat yang tepat untuk suatu penyakit, maka akan sembuhlah penyakit itu dengan izin Allah 'Azza wa Jalla. [Shahih Muslim, no: 4084/2204] Perhatikan akhir hadis: … maka akan sembuhlah penyakit itu dengan izin Allah… menunjukkan sembuh atau tidak bergantung kepada izin Allah meskipun telah ditemui ubat yang tepat.

Perhatikan juga penegasan-penegasan tauhid yang disebut oleh Nabi Ibrahim, sebagaimana yang dirakamkan dalam al-Qur’an: Tuhan yang menciptakan daku (dari tiada kepada ada), maka Dialah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku. Dan Tuhan, Dia-lah jua yang memberiku makan dan memberi minum. Dan apabila aku sakit, maka Dia-lah yang menyembuhkan penyakitku. Dan (Dialah) yang mematikan daku, kemudian Dia menghidupkan daku. [al-Syu’ara 26:78-81]

Oleh itu apa yang diusahakan oleh manusia seperti berjumpa doktor, memakan ubat dan menjalani rawatan serta pembedahan, semua itu hanyalah usaha-usaha ke arah kesembuhan dan ia dibolehkan sebagaimana hadis-hadis di atas. 

Akan tetapi penting untuk memiliki keyakinan bahawa jika Allah izinkan, dia akan sembuh. Jika Allah tangguhkan, maka dia tidak akan sembuh sehinggalah ke satu masa yang Allah izinkan baginya untuk sembuh. Jika Allah tidak izinkan, maka dia tidak akan sembuh sehingga meninggal dunia.

Oleh kerana itulah kita kerap menemui dua orang dengan satu penyakit yang sama, berjumpa dengan doktor yang sama dan mengambil ubat yang sama, mereka sembuh pada kadar yang berlainan. Apa yang lebih dahsyat, ada yang sembuh dalam suasana mentauhidkan Allah kerana dia berkata “Allah telah menyembuhkan aku.” Sementara seorang lagi sembuh dalam suasana mensyirikkan Allah kerana dia berkata “Doktor itu dan ubat ini telah menyembuhkan aku.”

Kaitan antara penyakit dan aqidah tidak tertumpu kepada penyakit-penyakit berat sahaja, tetapi meliputi semua penyakit termasuk yang ringan. Ambil saja contoh dua orang sahabat yang Allah uji dengan pening kepala lalu mereka memakan Panadol (paracetamol). Sahabat yang pertama mentauhidkan Allah dengan berkata: “Allah telah menghilangkan pening kepalaku” sementara sahabat yang kedua mensyirikkan Allah dengan berkata: “Panadol telah menghilangkan pening kepalaku.” 

 

Mengelakkan Syirik Ketika Berubat

Apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyebut: Allah-lah doktor sementara kamu adalah seorang Rafiq. Allah jualah yang menyembuhkan apa yang dicipta-Nya (yakni penyakit), baginda bukan sahaja ingin menegaskan hakikat tauhid tetapi memelihara umat daripada keyakinan syirik. Ini kerana ramai yang apabila sakit, menaruh harapan kepada doktor, rawatan dan ubat-ubatan, sehingga berkeyakinan kesembuhan terletak pada semua itu. Mereka merayu-rayu pada doktor, mengadu berulang-kali kepada doktor dan sangat-sangat berharap agar doktor dapat menyembuhkan mereka.

Apabila gelaran doktor diubah kepada Rafiq, maka pesakit akan sedar bahawa beliau hanyalah peneman ketika sakit sementara doktor yang sebenar ialah Allah. Dengan itu pesakit akan mengubah harapannya, rayuannya, aduannya kepada Allah sahaja.

Hadis ini juga memberi motivasi kepada para “doktor” agar jangan melihat atau menganggap diri sendiri sebagai doktor. Sebaliknya anggaplah diri sendiri sebagai peneman kepada pesakit, peneman terbaik yang memberi kata-kata nasihat dan motivasi serta memberikan ubat dan rawatan sebagai sarana ke arah kesembuhan. Lebih penting, peneman yang dapat menjaga aqidah pesakit agar berharap hanya kepada Allah, bukan kepada dirinya, rawatan atau ubat-ubatan.