Terdapat beberapa hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang merupakan wasiat baginda kepada umatnya sehingga akhir zaman. Salah satu di antaranya yang masyhur ialah hadis berikut:

Aku wasiatkan kepada kalian untuk bertakwa kepada Allah, senantiasa taat dan dengar meskipun yang memerintah adalah seorang budak Habsyi yang hitam. 

Sesungguhnya orang-orang yang hidup setelahku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kalian berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khalifah yang lurus dan mendapat petunjuk, berpegang teguhlah dengannya dan gigitlah dengan gigi geraham. 

Jauhilah oleh kalian perkara-perkara baru (dalam urusan agama), kerana setiap perkara yang baru adalah bid’ah dan setiap bid’ah adalah sesat.” 

 

tight.jpg 

Hadis ini merupakan sebahagian daripada Hadis 40 Imam al-Nawawi, no: 28. Secara lengkap ia dikeluarkan oleh Imam Abu Daud dalam kitab Sunannya. Sila rujuk Shahih Sunan Abu Daud, no: 3991/4607.

Apa yang ingin saya ajak para pembaca fokuskan pada ruangan ini ialah wasiat baginda: Sesungguhnya orang-orang yang hidup setelahku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kalian berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khalifah yang lurus dan mendapat petunjuk, berpegang teguhlah dengannya dan gigitlah dengan gigi geraham. 

 

Ramalan Masa Hadapan

Di antara kemukjizatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ialah baginda – berdasarkan petunjuk wahyu – dapat meramalkan sesuatu yang akan datang. Rasulullah sebagai seorang manusia tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib. Apa yang baginda khabarkan berkenaan perkara ghaib, seperti ramalan di atas, adalah berdasarkan petunjuk wahyu yang Allah Subhanahu waTa'ala berikan kepada baginda. Allah menyatakan hakikat ini: 

Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun; melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhai-Nya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya).  [al-Jin 72:26-27]

Jika direnungi ramalan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam hadis di atas, ternyata ia amat benar. Sepeninggalan baginda, berlaku banyak perselisihan pendapat di kalangan umatnya sehinggalah ke hari ini. Bahkan dijangka perselisihan ini akan terus bertambah sehinggalah ke Hari Kiamat kelak. Ini kerana semakin bertambah ilmu dan daya fikir manusia, semakin bertambah mereka yang mengemukakan pendapat-pendapat yang menyelisihi petunjuk Allah dan Rasul-Nya.

Kesilapan bukanlah kerana bertambahnya ilmu dan daya fikir, tetapi kerana tidak tahu meletakkan ilmu dan daya fikir tersebut di tempat yang betul. Di kalangan orang-orang yang menyelisihi petunjuk Allah dan Rasul-Nya adalah mereka yang solat lima kali sehari. Namun sayang sekali apabila mereka rukuk dan sujud, hanya anggota fizikal yang rukuk dan sujud sementara hati dan pemikiran mereka tidak ikut serta rukuk dan sujud kepada Allah.

Berbeza dengan orang yang meletakkan ilmu dan daya fikir di tempat yang betul. Mereka beriman bahawa tidak ada yang lebih bijak dan pintar daripada petunjuk Allah dan Rasul-Nya. Lalu mereka menggunakan ilmu dan daya fikir mereka untuk beriman dan memahami nas-nas al-Qur’an dan hadis, kemudian berusaha untuk menerapkannya dalam kehidupan masa kini. Mereka inilah yang sebenar-benarnya rukuk dan sujud kepada Allah.

 

Wasiat Tatkala Menghadapi Perselisihan Yang Banyak

Apakah wasiat atau jalan penyelesaian yang dikhabarkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tatkala melihat perselisihan yang banyak ini? Baginda berpesan: Maka hendaklah kalian berpegang dengan sunnahku…

Sunnah bermaksud semua jalan hidup, pemikiran, amalan dan tunjuk ajar seseorang. Sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bermaksud semua jalan hidup, pemikiran, amalan dan tunjuk ajar baginda sejak dilahirkan hinggalah wafat. 

Dalam suasana banyaknya perselisihan di kalangan umat Islam, hendaklah kita tetap menjadikan jalan hidup, pemikiran, amalan dan tunjuk ajar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagai pegangan. Jangan berpegang kepada pandangan si fulan, jangan terpengaruh dengan pemikiran si fulan, jangan mengikuti amalan si fulan. Sebaliknya peganglah kepada pandangan, pemikiran dan amalan Rasulullah.

Bercakap tentang sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, ia tidak terhad kepada amal ibadah sahaja. Akan tetapi ia meliputi juga soal politik sebagaimana pesan baginda: Diwajibkan mendengar dan taat (kepada pemerintah) ke atas setiap muslim sama ada dalam hal yang dia suka atau benci selagi mana dia tidak diperintah untuk melakukan maksiat. Jika dia diperintah melakukan maksiat maka tiada wajib mendengar dan tidak wajib taat. [Shahih al-Bukhari, no: 6611/7144]

Tidak wajib dengar dan taat bukanlah bererti menarik kesetiaan kepada pemerintah tersebut dan membuat jamaah baru dengan pemimpin yang baru. Dalam hadis yang lain baginda berpesan: Sesiapa yang melihat pada pemerintahnya sesuatu yang tidak disukainya, hendaklah dia bersabar kerana tidaklah seseorang itu meninggalkan jamaah walau sejengkal lantas dia meninggal dunia, melainkan dia mati dalam keadaan jahiliyah. [Shahih al-Bukhari, no: 6610/7143] 

Sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga merangkumi urusan keluarga. Para suami misalnya, hendaklah berpegang teguh dan mengamalkan sunnah berikut: Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya. Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik akhlaknya terhadap para isterinya. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 1082/1162] Sementara bagi para isteri pula, sunnah berikut patut menjadi pegangan: Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, seorang wanita tidak akan memenuhi hak Rabb-Nya (Allah) sehinggalah dia memenuhi hak suaminya. [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 1843/1853]

Berpegang teguh kepada sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memiliki satu manfaat khusus. Sama-sama kita ketahui dan alami bahawa dalam beragama, adakalanya bersemangat dan adakalanya lemah semangat, adakalanya bermotivasi dan adakalanya terasa malas. Maka beruntunglah seseorang itu apabila dia dalam keadaan lemah semangat dan malas, sedikit-sedikit yang diamalkannya adalah berasaskan sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan bukannya apa-apa amal bid’ah yang lain. Manfaat ini dikhabarkan oleh Rasulullah dalam hadis berikut:

Setiap amal memiliki masa-masa semangat dan setiap semangat memiliki masa-masa kelemahan (futur). Maka sesiapa yang masa-masa kelemahannya diarahkan kepada sunnahku, maka dia telah mendapat petunjuk. Sebaliknya sesiapa yang masa-masa kelemahannya diarahkan kepada selain itu maka dia telah binasa. [Riwayat Ibn Abi ‘Ashim, Shahih al-Targhib wa al-Tarhib, no: 56]

Oleh itu amat penting bagi kita mengetahui semua sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam agar di masa-masa kelemahan dan kemalasan, kita tetap dapat beramal dengan sunnah baginda yang kecil-kecilan, atau dalam jumlah yang sedikit.

 

Sunnah Dan Hukum-Hukum Fiqh

Diulangi bahawa sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ialah semua jalan hidup, pemikiran, amalan dan tunjuk ajar baginda sejak dilahirkan hinggalah wafat. Sunnah ini seterusnya terbahagi kepada lima hukum fiqh yang lazim iaitu wajib, sunat, harus (mubah), makruh dan haram. 

Contoh sunnah yang wajib ialah setia kepada pemerintah dan tidak berpisah menjadi jamaah-jamaah yang berbilang. Contoh sunnah yang sunat ialah suami yang berakhlak baik kepada isteri dan isteri yang menghormati suami. Contoh sunnah yang harus (mubah) ialah cara berpakaian, makan, minum dan tidur Rasulullah. Pun begitu, di sisi orang-orang yang mengharapkan reda Allah, keselamatan di Hari Akhirat dan banyak berzikir kepada Allah, sunnah-sunnah yang harus (mubah) hukumnya tetap utama untuk diteladani. Ini berdasarkan keumuman firman Allah Subhanahu waTa'ala:

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat serta dia pula mengingati Allah banyak-banyak. [al-Ahzab 33:21]

Di sini timbul persoalan, adakah sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang makruh dan haram untuk kita ikuti? Jawapannya ya, ada. Contoh sunnah yang makruh ialah menceraikan isteri atau menjatuhkan talak. ‘Umar bin al-Khattab menerangkan bahawa Rasulullah pernah mentalak Hafsah lalu merujukinya kembali. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 1943/2283] 

Ini adalah satu sunnah Rasulullah yang makruh hukumnya untuk kita ikuti, kerana perceraian bukanlah sesuatu yang disukai dalam Islam. Diriwayatkan bahawa: Tidaklah Allah menghalalkan sesuatu yang lebih Dia benci daripada perceraian. [Sunan Abu Daud, no: 1862/2177]. Dalam riwayat lain: Perkara halal yang paling Allah benci adalah perceraian. [Sunan Abu Daud, no: 1863/2178] Kedua-dua hadis ini dinilai lemah (dha’if) oleh Syaikh al-Albani, namun tidak mengapa dikemukakan dalam bab anjuran dan tegahan (al-Targhib wa al-Tarhib).

Sunnah yang makruh ini hanya boleh diikuti dalam suasana terpencil, yakni suami ingin memberi kesedaran dan keinsafan kepada isteri yang lazim menyebabkan dirinya marah setelah pelbagai nasihat dan teguran tidak memberi apa-apa manfaat. Dikhabarkan bahawa Hafshah binti ‘Umar al-Khattab adalah seorang isteri Rasulullah yang sering berbantahan dengan baginda sehingga menyebabkan baginda marah sepanjang hari. [Shahih al-Bukhari, no: 4532/4913] Kemungkinan inilah salah satu sebab baginda menceraikannya dengan talak satu.

Contoh sunnah lain yang makruh hukumnya ialah memiliki hamba. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah memiliki hamba. Pun begitu, baginda menganjurkan pembebasan hamba dan memerdekakan mereka. Salah satu hadis yang dimaksudkan: Sesiapa yang memerdekakan hamba, maka Allah akan membebaskan setiap anggota badannya dari api neraka dengan setiap anggota badan hamba yang dimerdekakan, sehinggalah kemaluannya dengan kemaluan (hamba yang dimerdekakan). [Shahih Muslim, no: 2776/1509 (dalam riwayat lain disebut hamba yang beriman)

Islam juga membuka jalan dan peluang untuk memerdekakan hamba, seperti melalui kaffarat penebus sumpah, nazar dan seks pada siang Ramadhan. Semua ini menunjukkan memiliki hamba bukanlah sesuatu yang disukai sehingga dapat dikategorikan sebagai sunnah yang makruh hukumnya.

Contoh sunnah yang haram hukumnya ialah berpoligami melebihi empat orang isteri. Ini adalah sunnah yang khusus bagi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sahaja sebagaimana firman Allah Subhanahu waTa'ala: Wahai Nabi, sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu isteri-isterimu yang engkau berikan mas kahwinnya dan hamba-hamba perempuan yang engkau miliki……perkahwinan yang demikian adalah khas bagimu semata-mata, bukan bagi orang-orang yang beriman umumnya. [al-Ahzab 33:50 secara berpisah]

Adapun bagi umat baginda, maka setiap suami hanya dibolehkan sehingga empat isteri, dengan syarat suami tersebut menepati syarat-syarat poligami yang lain. Syarat-syarat tersebut boleh dirujuk dalam buku saya 202 Pelajaran Berkenaan Poligami terbitan Jahabersa, Johor Bahru. 

 

Kekeliruan Antara Sunnah dan Sunat

Dalam rangka menolak poligami sebagai salah satu sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, ada yang menyatakan bahawa tidak ada apa yang disebut sebagai “sunnah Rasulullah”. Apa yang ada hanyalah hukum sunat, iaitu jika dibuat mendapat pahala dan jika tidak dibuat tidak mengapa.

Ini adalah kenyataan yang sangat mengelirukan. Berdasarkan penjelasan sejak awal penulisan ini, dapat difahami bahawa “sunnah Rasulullah” benar-benar wujud dan di dalam sunnah itu terdapat hukum-hukum fiqh wajib, sunat, harus (mubah), makruh dan haram. Bahkan menarik untuk diperhatikan bahawa terdapat banyak hadis yang menggunakan istilah sunnah dengan maksud semua jalan hidup, pemikiran, amalan dan tunjuk ajar Rasulullah sementara hanya ada satu hadis yang menggunakan istilah sunat dengan maksud jika dibuat mendapat pahala dan jika tidak dibuat tidak mengapa. Hadis yang dimaksudkan ialah:

Sesiapa dalam sehari semalam solat sunat dua belas rakaat maka Allah akan membangunkan baginya rumah di surga; empat rakaat sebelum Zuhur, dua rakaat setelahnya, dua rakaat setelah Maghrib, dua rakaat setelah Isyak dan dua rakaat sebelum Subuh. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 380/414]

Justeru poligami benar-benar merupakan sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Baginda mengamalkannya dan mengajar umatnya cara-cara yang betul mengamalkannya. Memang, hukum poligami diperselisihkan di kalangan para ulama’, namun perselisihan ini tidaklah menafikan kedudukan poligami sebagai salah satu sunnah Rasulullah yang wajar diperhatikan oleh sesiapa yang mengharapkan reda Allah, keselamatan di Hari Akhirat dan banyak berzikir kepada Allah.

 

Berpegang Teguhlah Dengannya Dan Gigitlah Dengan Gigi Geraham

Wasiat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk berpegang kepada sunnahnya diikuti dengan pesanan berpegang teguhlah dengannya dan gigitlah dengan gigi geraham. Pesanan ini menunjukkan bahawa berpegang kepada sunnah baginda di akhir zaman dalam suasana banyaknya perselisihan, adalah sesuatu yang sukar lagi mencabar. Orang yang berpegang kepada sunnah baginda akan diremehkan, dianggap kebelakangan, asing dan tidak faham keadaan semasa. 

Atas dasar inilah baginda menggunakan kiasan gigitlah dengan gigi geraham, menandakan pegangan yang kukuh lagi mantap. Jangan sekadar digigit dengan gigi kacip kerana ia akan mudah terlepas. Oleh itu ayuh, marilah kita berpegang sungguh-sungguh kepada sunnah Rasulullah di akhir zaman ini. Tentu saja sunnah yang dimaksudkan ialah semua jalan hidup, pemikiran, amalan dan tunjuk ajar Rasulullah tanpa difokuskan kepada poligami sahaja.