Judul buku : Hadis-Hadis Bermasalah
Judul asal : -
Penulis : Prof. KH Ali Mustafa Yaqub
Penerbit : Pustaka Firdaus
Harga : RM16.80
Tebal : 193 ms.
Di mana : Pustaka Indonesia (Depan Masjid India)

Hadis-hadis bermasalah ialah hadis yang sebenarnya cacat mengikut nilaian ulama’ hadis.
Tingkat-tingkat kecacatan hadis itu pula adalah berbeza-beza mengikut kategori. Buku-buku yang membicarakan ilmu-ilmu berkaitan dengan kategori-kategori dan tingkatan-tingkatan ini sudahpun banyak tetapi ilmu-ilmu ini adalah panduan dan alat yang dirumus oleh para muhadissin untuk para ulama’ hadis, namun untuk kita sendiri memeriksa status sesebuah hadis itu tidaklah semudah kita membaca dua tiga buah buku.

Buku ‘Hadis-Hadis Bermasalah’ ini adalah satu usaha yang baik oleh penulis dalam menjelaskan secara praktiknya bagaimana sesebuah hadis itu diperiksa (takhrij). Penulis menyusun 30 buah hadis yang agak biasa digunakan oleh orang awam dan juga pendakwah dan melakukan analisa kritis terhadap setiap satunya dalam setiap bab.

Dalam menghuraikan kelemahan setiap satu hadis, penulis sebenarnya me’reverse’kan proses penilaian hadis itu supaya ianya lebih jelas dan mudah untuk para pembaca awam. Apakah yang disongsangkan (reverse) itu?. Cara tradisi yang biasa digunakan dalam apa jua ilmu ialah diperkenalkan dahulu segala teori dan peralatan sebelum sebarang aktiviti amali atau praktikal dilakukan. Ini memang disiplin yang diterimapakai dalam majoriti bidang ilmu. Tetapi dalam buku ini hadis-hadis bermasalah disebutkan dahulu kemudian baru disusuli dengan penjelasan dan huraian terhadap kecacatan hadis-hadis tersebut. Secara tidak langsung sebenarnya apabila pembaca membaca huraian dan penjelasan penulis, mereka telahpun mengenali cabang-cabang ilmu hadis seperti musytala’ul hadis, al-jarh wa ta’dil dan sebagainya. Mungkin tidak pada nama tetapi pada penggunaannya. Dengan cara ini orang awam agak mudah menerima apa yang ingin disampaikan kerana para pembaca biasa mungkin kurang mahir atau faham selok-belok ilmu hadis.

Harus diakui bahawa ini adalah satu cara yang baik oleh seorang ahli hadis dalam menyampaikan ilmunya kepada masyarakat awam.*

Beberapa hadis yang dibincangkan oleh penulis adalah seperti hadis-hadis ‘mencari ilmu sampai ke China’, ‘Perbezaan pendapat itu rahmat’, ‘Kemiskinan itu menghampiri kekafiran’, ‘Solat Nisfu Sya’ban’, ‘Bekerja untuk dunia seperti akan hidup selamanya’ dan beberapa lagi hadis-hadis yang masyhur di kalangan masyarakat.

Terdapat juga situasi pada mana sesuatu kata-kata bukanlah ucapan Rasulullah (SAW) tetapi ucapan para sahabat atau tabi’in sahaja. Dalam situasi begini kalau kata-kata tersebut masih benar maka tiada sebab untuk kita menolaknya. Apa yang sepatutnya dilakukan ialah tidak lagi menisbahkannya kepada Rasulullah (SAW), tetapi terus mengamal atau menyebarkannya sambil menceritakan juga ucapan siapakah sebenarnya kata-kata itu.

Sebuah buku yang baik untuk dimiliki oleh para pendakwah dan juga para pembaca yang mahu berjinak-jinak dengan ilmu hadis. InsyaAllah.

Wassalam.