FAHAMAN WAHABI MENULAR

SATU ANALISIS TERHADAP DAKWAAN YANG DITIMBULKAN OLEH

AKHBAR UTUSAN MALAYSIA

 

Penulis

Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

 

 

 

Kata Pengantar[1]

 
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

 

 

إِنْ الْحَمْدُ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا

 

وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا مَنْ يَهْدِهِ اللَّهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ

 

وَأَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.

 

Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam, kami memujiNya, memohon ampunanNya, memohon pertolonganNya dan berlindung kepadaNya dari kejahatan diri kami sendiri dan keburukan perbuatan kami. Orang yang mendapatkan hidayah dari Allah tidak ada sesuatu pun yang dapat menyesatkannya dan orang yang disesatkanNya sekali-kali tidak akan mendapat petunjuk. Kami bersaksi bahawa tidak ada tuhan selain Allah dan kami bersaksi Muhammad adalah hambaNya dan RasulNya.

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat - benar (dalam segala perkara), Supaya Dia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya dia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.[2]

 

 

إِنَّ أَصْدَقَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَأَحْسَنَ الْهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍ

 

وَشَرُّ الْأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَكُلُّ ضَلاَلَةٍ فِي النَّارِ.

 

Sesungguhnya, sebaik-baik perkataan adalah firman Allah di dalam KitabNya dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Nabi Muhammad )shallallahu 'alaihi wasallam(. Seburuk-buruk perkara adalah hal-hal yang baru, dan segala yang baru adalah bidaah, setiap bidaah adalah kesesatan dan setiap kesesatan itu di dalam neraka.

Baru-baru ini umat Islam Malaysia telah dikejutkan dengan sebuah kenyataan oleh seorang tokoh agama tanah air berkenaan menularnya sebuah fahaman baru yang dikenali sebagai aliran ‘Wahabi’. Kenyataan-kenyataan yang bernada serius yang disertai beberapa tuduhan buruk terhadap aliran ini pastinya menimbulkan berbagai tanda-tanya kepada orang ramai. Soalan pokok yang timbul, apakah sebenarnya aliran ‘Wahabi’ itu? Apakah Wahabi itu? Siapakah golongan yang menggelar diri mereka Wahabi? Sejauh manakah kebenaran apa yang didakwa?

Di sini kami nukilkan pengenalan ringkas mengenai dakwah Wahabiyah oleh Ustaz Abu Ubaidah Al Atsari dan Abu Usamah (Majalah As Sunnah Edisi 12/Th.IV/1421 – 2000):

Perlu ditegaskan bahwa penamaan dakwah ini dengan dakwah Wahabiyah dan para pengikutnya dengan Wahabi adalah merupakan kesalahan kalau ditinjau dari segi lafaz dan maknanya. Dari segi lafaz, penamaan Wahabiyah ini dinisbahkan kepada Abdul Wahab yang tidak mempunyai sangkut paut dengan dakwah ini, dan tidak dinisbahkan kepada Muhammad bin Abdul Wahab (yang menurut mereka, beliau adalah pendirinya). Kalaulah mereka jujur, tentu dinamakannya dengan Dakwah Muhammadiyyah kerana nama beliau adalah Muhammad. Namun kerana mereka menganggap bahwa jika menamakan dakwah ini dengan Dakwah Muhammadiyyah tidak akan menjauhkan manusia, maka mereka menggantinya dengan Dakwah Wahabiyah.

Adapun dari segi makna, maka mereka juga keliru di dalamnya, sebab dakwah ini mengikuti manhaj dakwah al-Salafussoleh dari kalangan para sahabat, tabi'in, dan tabi'ut tabi'in. Kalaulah mereka jujur, tentulah dinamai dakwah ini dengan dakwah Salafiyyah (namun mereka tidak menggunakan istilah tersebut kerana ianya juga tidak akan menjauhkan manusia dari dakwah ini -penyunting).

Jadi apakah sebenarnya Wahabiyah itu? Dalam Kitab Fatwa Al Lajnah Ad Da'imah Juz 2, hal 174 diterangkan:

Wahabiyah adalah sebuah lafaz yang dilontarkan oleh musuh-musuh Syaikh Muhammad bin Abdul Wahab disebabkan dakwah beliau di dalam memurnikan tauhid, memberantas syirik, dan membendung seluruh tata-cara ibadah yang tidak dicontohkan Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam. Tujuan mereka dalam menggunakan lafaz ini ialah menjauhkan manusia dari dakwah beliau dan menghalangi mereka agar tidak mahu mendengarkan perkataan beliau.

Sungguh amat menghairankan percakapan kebanyakan manusia, ketika mereka melihat seorang yang mengagungkan tauhid, menyeru, dan membelanya, mereka menyebutnya sebagai Wahabi. Yang lebih lucu lagi, ketika mereka menyatakan bahwa Ibnu Taimiyyah dan Ibnul Qayyim keduanya juga adalah Wahabi. Subhanallah! Apakah Muhammad  bin Abdul Wahab melahirkan orang yang hidup awal beberapa abad dari dirinya?

Syaikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani berkata: “Mungkin sebahagian orang-orang bodoh akan menuduh Imam As-Suyuti itu dengan Wahabi sebagaimana adat mereka. Padahal jarak wafat antara keduanya hampir 300 tahun. Aku teringat cerita menarik sekali, terjadi di salah sebuah sekolah di Damaskus, Syria ketika seorang guru sejarahnya beragama Kristian menceritakan tentang sejarah Syaikh Muhammad bin Abdul Wahab dan dakwahnya dalam memerangi syirik, kurafat dan kebidaahan. Seolah-olah guru Kristian itu memuji dan kagum kepadanya. Maka berkatalah salah seorang muridnya, 'Wah guru kita menjadi Wahabi!' Demikianlah kebencian mereka terhadap Muhammad bin Abdul Wahab dan orang-orang yang mengikuti dakwahnya, bahkan kepada orang Nasrani pun (yang nyata-nyata bukan Muslimin) mereka tuduh Wahabi.”

Dan orang-orang kafir itu tidak menyiksa orang-orang mukmin, melainkan kerana mereka beriman kepada Allah Maha Perkasa Lagi Maha Terpuji.[3]

Sebagai seorang Islam kita harus memikirkan pesan Allah Subhanahu wa Ta'ala di atas supaya kita tidak tersilap lantaran kejahilan dan ketaksuban kita lantas mengambil peranan kaum kafir dalam memusuhi dakwah ke arah tauhid dan perkara yang haq.

Buku ini sengaja disusun untuk menghimpunkan semula semua risalah yang pernah ditulis dalam menjawab segala macam tuduhan yang dilemparkan kepada pendakwah Salafiyah dalam media cetak tempatan baru-baru ini.[4] Bukanlah tujuan buku ini ingin me’wahabi’kan para pembacanya kerana sudah maklum bahawa istilah Wahabi itu sendiri adalah istilah salah-faham, istilah buruk sangka dan istilah yang dimulakan oleh musuh-musuh Islam.

 Objektif utama buku ini adalah untuk meluruskan kembali kekeliruan yang ditimbulkan, agar jelas kepada masyarakat akan duduk perkara sebenar, insya-Allah. Pada era teknologi maklumat ini adalah amat rugi jika kita masih lagi terseret ke kancah polemik kaum tua dan kaum muda hanya kerana sikap taklid dan merasa cukup dengan apa sahaja yang disampaikan walaupun ianya jauh dari kebenaran. Mengapa tidak kita mengkaji sendiri, bukankah itu lebih adil dan selari dengan wahyu pertama Allah kepada Nabi kita Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya), Dengan sebab dia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. (Ingatlah) sesungguhnya kepada Tuhanmu lah tempat kembali (untuk menerima balasan).

Adakah engkau nampak (baiknya) orang yang melarang (dan menghalang) - Seorang hamba Allah apabila dia mengerjakan solat? Adakah engkau nampak (buruknya) jika dia berada di atas jalan yang betul? - Atau dia menyuruh orang bertaqwa (jangan melakukan syirik)? Adakah engkau nampak (terlepasnya dari azab) jika dia mendustakan (apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad kepadanya) serta dia berpaling ingkar?

Tidakkah dia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat (segala amal perbuatannya dan membalasnya)? Jangan sekali-kali berlaku derhaka! Demi sesungguhnya jika dia tidak berhenti (dari perbuatannya yang buruk itu), nescaya Kami akan menyentap ubun-ubunnya (dan menyeretnya ke dalam neraka), - Ubun-ubun (orang) yang berdusta, yang bersalah. Kemudian biarlah dia memanggil kumpulannya (untuk menyelamatkannya), Kami pula akan memanggil malaikat Zabaniyah (untuk menyeksanya)!

Ingatlah! Janganlah engkau (wahai Muhammad) menurut kehendaknya, dan (sebaliknya) sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh)![5]

 

Sebagai menutup kata-kata aluan ini, sekiranya dalam buku ini ada kebenaran maka hal ini adalah semata-mata kerana taufik dari Allah yang Maha Tinggi, dan jika ada sebarang kesalahan dan kekeliruan maka kami menerima pembetulan dan teguran, dan kepada Allah kami meminta ampun.

Semoga salawat dan salam dilimpahkan kepada junjungan besar Nabi kita Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam, keluarganya dan para sahabatnya, amin.


 

 


[1] Kata aluan ini telah dikarang oleh saudara Abu Adam Mohd Khairul Muhammed.

[2] al-Ahzab (33) : 70-71

[3] al-Buruj (85) : 8

[4] Risalah-risalah ini sebenarnya telah dihantar kepada pihak akhbar terbabit sebagai reaksi kepada tuduhan-tuduhan yang mereka paparkan di dalam akhbar tersebut. Namun mereka tidak menyiarkan risalah-risalah tersebut kecuali risalah yang bertajuk “Menghindari Metode Menilai Kebenaran Ala Jahiliyah’ yang hanya disiarkan secara tidak lengkap. Penulis kemudiannya mengumpul semula artikel-artikel tersebut di dalam sebuah buku dengan sedikit penambahan sebagai usaha untuk memberi penjelasan terhadap dakwaan-dakwaan tersebut. Sebaiknya pihak akhbar bersikap adil ketika memuatkan sesuatu laporan dan hendaklah mereka melakukan penyiasatan yang menyeluruh tentang sesuatu berita yang ingin dipaparkan kepada orang ramai. Pihak wartawan harus meningkatkan standard kewartawanan supaya berita yang mereka paparkan tidak berat sebelah dan terdapat unsur fitnah. Tan Sri Mazlan Nordin seorang tokong wartawan negara pernah berkata tentang standard kewartawanan masakini:

Rasa ingin tahu sudah tidak ada. Wartawan mesti ada rasa ingin tahu. Perkara-perkara yang nampak kecil perlu diselidik dan dibongkar. (Penulis nukil daripada akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 25hb Disember 2005, ms. 35)

Oleh itu pihak wartawan harus menyiasat secara terperinci tentang kebenaran tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepada golongan yang mereka gelar sebagai Wahabi itu sebelum mereka sebarkannya kepada orang ramai melalui akhbar-akhbar.

[5] al-‘Alaq (96) : 1-19