FAHAMAN WAHABI MENULAR

SATU ANALISIS TERHADAP DAKWAAN YANG DITIMBULKAN OLEH

AKHBAR UTUSAN MALAYSIA

 

Penulis

Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

 
 

 

ARTIKEL 4

TIADA BIDAAH HASANAH DI DALAM ISLAM

 

Merujuk kepada artikel bertajuk ‘Menyanggah Wahabi’ tulisan Mohd Shauki Abdul Majid yang dipaparkan di dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 2 Disember 2005, saya merasa terpanggil untuk membetulkan beberapa kekeliruan yang wujud. Saya akur bahawa saya hanyalah seorang insan yang amat kerdil jika hendak dibandingkan dengan beliau yang menyandang jawatan Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Namun begitu Imam Malik bin Anas rahimahullah pernah berkata[1]: “Sesiapapun perkataanya boleh ditolak dan boleh diterima, kecuali hanya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sendiri.”

 

Maka saya beranggapan tidak salah sekiranya teguran diberikan kepada beliau demi untuk kebaikan bersama serta seluruh umat Islam di Malaysia.

Sebelum saya meneruskan penulisan ini ada baik sekiranya saya terlebih dahulu memperjelaskan maksud bidaah itu sendiri supaya ianya benar-benar difahami oleh semua pihak. Bidaah seperti yang didefinisikan oleh Imam al-Syathibi[2] adalah:

Jalan yang direka di dalam agama, yang menyerupai syariah, tujuan mengamalnya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.

 

Dari definisi ini dapat kita fahami bahawa medan operasi bidaah adalah dalam hal-hal yang bersangkutan dengan agama sahaja. Oleh itu apa jua bentuk rekaan terkini di dalam hal kehidupan duniawi maka ianya tidak termasuk di dalam ruang lingkup perbahasan bidaah secara syariah. Ini adalah kerana terdapat dalil-dalil yang menggalakkan umat Islam untuk terlibat di dalam usaha untuk mencipta rekaan-rekaan yang terkini demi kemajuan umat Islam. Di dalam hal ehwal dunia, manusia memiliki kebebasan untuk melakukan inovasi yang termoden asalkan sahaja tidak mendatangkan keburukan kepada orang ramai serta tidak bertentangan dengan syariah. Sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:

 

أَنْتُمْ أَعْلَمُ بِأَمْرِ دُنْيَاكُمْ.

 

Kamu lebih tahu hal ehwal dunia kamu.[3]

 

إِنْ كَانَ شَيْئًا مِنْ أَمْرِ دُنْيَاكُمْ فَشَأْنُكُمْ بِهِ وَإِنْ كَانَ مِنْ أُمُورِ دِينِكُمْ فَإِلَيَّ.

 

Jika sekiranya sesuatu itu urusan dunia kamu, maka uruskanlah dengannya, dan kalau sekiranya urusan agama kamu maka kembalikanlah kepada aku.[4]

 

Bidaah yang kita maksudkan di sini adalah mengada-adakan ritual-ritual agama baru yang tidak pernah diajar atau diamalkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Seluruh bidaah yang bersangkutan dengan agama ini adalah sesat dan pengamalannya adalah sia-sia kerana ianya tidak diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:

 

فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الْأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ.

 

Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah (al-Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (al-Sunnah), serta seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan (bidaah) dan setiap yang diada-adakan (bidaah) adalah sesat.[5]

 

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ.

 

Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia.[6]

 

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.

 

Barangsiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama), maka tertolaklah ia.[7]

 

Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi[8]:

Para ulamak berkata bahawa ada dua hadis yang saling melengkapi satu sama lain; pertama hadis yang amat penting kerana ia adalah timbangan bagi perkara yang batin iaitu hadis:

 

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ...

“Tiap-tiap amal perbuatan harus disertai dengan niat…”[9]

 

Kedua, hadis yang juga amat penting kerana ia adalah timbangan bagi perkara yang zahir, iaitu makna yang dikandung oleh hadis:

 

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ.

 

Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia.[10]

 

Agar amal ibadah seseorang diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala, ia harus dipenuhi dua hal ini:

  1. meniatkan amal perbuatannya semata-mata demi Allah Subhanahu wa Ta'ala dan

  2. amal ibadahnya itu dilakukan sesuai dengan tuntutan syariat (mengikuti sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam).

Sekiranya kedua syarat atau salah satu darinya tidak dipenuhi maka amal ibadah tersebut dianggap terbatal. Firman Allah 'Azza wa Jalla:

Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).[11]

 

Maksud ‘yang lebih baik amalannya’ di dalam firman Allah Subhanahu wa Ta'ala di atas adalah sebagaimana tafsiran Fudhail bin ‘Iyaadh rahimahullah iaitu:

Yang paling ikhlas dan yang paling benar. Mereka bertanya: “Wahai ‘Ali (nama gelaran untuk Fudhail bin ‘Iyaadh), apakah yang dimaksudkan dengan yang paling benar dan yang paling ikhlas? Jawab Fudhail bin ‘Iyaadh: “Sesungguhnya amal itu apabila dikerjakan dengan ikhlas akan tetapi tidak benar nescaya tidak akan diterima dan apabila amal itu dikerjakan dengan benar tetapi tidak ikhlas nescaya tidak akan diterima sehingga amal itu dikerjakan dengan ikhlas dan benar. Yang dimaksudkan dengan ikhlas ialah amal itu kerana Allah dan yang dimaksudkan dengan benar ialah amal itu di atas dasar sunnah.[12]

 

Inilah secara ringkasnya berkaitan dengan bidaah dan konsep ibadah di dalam Islam. Untuk memahami bidaah dengan lebih mendalam amat disarankan untuk membaca kitab al-I’tishom karya Imam Ibrahim bin Musa al-Syathibi rahimahullah.

Seterusnya mari kita lihat hujah-hujah yang telah dipergunakan oleh Penolong Pengarah Yadim dan izinkan saya dengan penuh rasa rendah diri untuk menyatakan bantahan saya.

  1. Beliau menyatakan bahawa amalan-amalan yang sering dikritik oleh golongan Wahabi itu termasuk di dalam kategori bidaah hasanah (bidaah yang baik) dan beliau menyatakan bahawa Imam al-Syafi’i telah memberi pembahagian bidaah kepada dua serta Imam al-Suyuti pula membahagikan bidaah kepada lima.

     

    Sesungguhnya pembahagian bidah kepada yang tercela dan yang baik ini bercanggah dengan hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam: ...وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ. dan setiap yang diada-adakan (bidaah) adalah sesat.[13] Perkataanكُلُّ (Kullu) yang bermaksud setiap atau semua menunjukkan segala perkara bidaah yang berkaitan dengan agama adalah tercela dan sesat. Imam Malik bin Anas rahimahullah juga telah menyanggah konsep bidaah hasanah ini. Menurut beliau:

Sesiapa yang membuat bidaah dalam Islam dan menganggapnya baik (hasanah) maka dia telah mendakwa Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman:

Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu.[14]

 

Apa yang pada hari tersebut bukan sebahagian dari agama, maka ia tidak menjadi sebahagian dari agama pada hari ini.[15] [16]

 

Tentang istilah bidaah mahmudah (terpuji) yang disebutkan oleh Imam al-Syafi’i rahimahullah, maka menurut Ibnu Rajab al-Hanbali rahimahullah ianya hanyalah bidaah dari sisi bahasa dan bukan bidaah dari segi syariah. Menurut Ibnu Rajab[17]:

Imam al-Syafi’i berkata bahawa bidaah ada dua jenis; bidaah mahmudah (terpuji) dan bidaah mazmumah (dikeji). Apa yang menepati sunnah maka ia dipuji. Apa yang menyanggahi sunnah maka ia di keji, berdalihkan dengan ucapan ‘Umar “ini adalah sebaik-baik bidaah”.[18] Maksud Imam al-Syafi’i adalah sesuatu perkara yang tidak bersandarkan kepada dalil syariah dianggap bidaah dikeji dan ini adalah bidaah menurut istilah syarak. Ada pun bidaah mahmudah ialah apa yang bertepatan dengan syarak. Bila ada suatu dalil atau kaidah agama yang biasa dibuat rujukan, maka termasuk bidaah yang dipuji dan pengertian bidaah disini adalah dari segi bahasa, bukannya dari segi syarak kerana ia menepati sunnah.

 

Termasuk di dalam kategori bidaah dari segi bahasa ini adalah pengumpulan al-Qur’an dalam satu mushaf, membina sekolah-sekolah, membina badan kehakiman, menyeragamkan ilmu-ilmu agama kepada Ilmu Nahu, Ilmu Hadis, Ilmu Ushul Fikah dan lain-lain. Berbeza dengan bidaah dari segi syarak iaitu mencipta tatacara ibadah yang baru maka kesemuanya adalah bidaah mazmumah (yang dikeji). Ketika menghuraikan pembahagian bidaah oleh Imam al-Syafi’i, al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah telah berkata[19]:

Maka bidaah pada takrifan syarak adalah dikeji. Ini berbeza dengan (maksud bidaah dari segi) bahasa di mana setiap yang diada-adakan tanpa sebarang contoh dinamakan bidaah sama ada dipuji ataupun dikeji.

 

Tentang pembahagian bidaah kepada lima yang sebenarnya dipelopori oleh Imam ‘Izz bin ‘Abd al-Salam rahimahullah iaitu wajib, sunat, mubah, haram dan makruh maka menurut Dr. Ibrahim bin Amir al-Ruhaili:

Pembahagian di atas merupakan kebatilan dan di tentang oleh para ulamak, di antaranya Imam al-Syathibi yang menyatakan bahawa pembahagian seperti itu merupakan tindakan mengada-ngadakan yang tidak boleh dibuktikan dengan dalil bahkan terdapat percanggahan sebab hakikat bidaah adalah suatu yang tidak ada dalilnya secara syarak baik secara nash mahupun kaedah umum. Bila di sana ada dalil daripada syarak yang menunjukkan wajib, sunat, makruh, haram dan mubah, maka itu bukan bidaah.[20]

 

Apatah lagi jika diteliti perbahasan Imam ‘Izz bin ‘Abd al-Salam rahimahullah apabila memperjelaskan maksud bidaah yang wajib, sunat, makruh, haram dan mubah ternyata maksud sebenar beliau adalah bidaah dari segi bahasa. Malah beliau juga pernah menyatakan: “Bidaah adalah perbuatan yang tidak ada pada zaman Rasulullah.”[21] Mari kita halusi definisi Imam ‘Izz bin ‘Abd al-Salam tentang bidaah wajib sebagai contoh:

Bidaah wajib itu beberapa contoh, salah satu daripadanya ialah menyibukkan diri dengan ilmu nahu yang dengannya difahami kalam Allah (al-Qur’an) dan kalam Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam (al-hadis).[22]

 

Kenyataan beliau di atas jelas menunjukkan pembahagian yang beliau lakukan hanya bersangkutan dengan bidaah dari segi bahasa sahaja.

 

Jelas pembahagian bidaah yang telah dibawakan oleh Penolong Pengarah Yadim ini gagal untuk meruntuhkan sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam: ...وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ. dan setiap yang diada-adakan (bidaah) adalah sesat.[23] Apatah lagi Imam al-Syafi’i rahimahullah pernah berkata:

 

مَنْ اِسْتَحْسَنَ فَقَدْ شَرَعَ وَمَنْ شَرَعَ فَقَدْ كَفَرَ.

 

Sesiapa yang menganggap baik (apa yang diciptakan dalam agama), dia telah mencipta syarak, sesiapa yang mencipta syarak, maka dia telah kafir.[24]

 

  1. Seterusnya Penolong Pengarah Yadim ini membawa sebuah hadis yang beliau nukil daripada kitab Tanbihul Ghafilin untuk mendokong konsep bidaah hasanah. Namun apa yang sepatutnya lebih wajar untuk beliau lakukan adalah merujuk kepada kitab-kitab hadis yang lebih masyhur di kalangan ulamak hadis. Apatah lagi hadis tersebut juga telah diriwayatkan oleh Imam Muslim, Imam al-Nasa’i, Imam Ibnu Majah, dan Imam al-Tirmidzi rahimahumullah. Kenapa beliau tidak membuka kitab-kitab yang lebih tinggi autoritinya dan memilih pula kitab Tanbihul Ghafilin yang di dalamnya terdapat banyak hadis-hadis yang lemah dan palsu.[25] Hadis yang beliau jadikan hujah adalah seperti berikut:

     

مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ

 

مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ. وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ

 

مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ.

 

“Barangsiapa yang membiasakan (memulai atau menghidupkan) suatu perbuatan baik dalam Islam lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikitpun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu, dituliskan untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun.”[26]

 

Pada sangkaan beliau hadis ini adalah hujah yang membenarkan amalan bidaah hasanah namun sangkaan beliau sebenarnya adalah batil. Jika kita melihatkan kepada sababul wurud atau keadaan yang menyebabkan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda sedemikian rupa kita dapat melihat bahawa ianya tidak ada kena mengena langsung dengan bidaah hasanah. Ketika itu datang sekumpulan Arab Badawi yang ditimpa kesusahan, maka Rasulullah menganjurkan para sahabat radhiallahu 'anhum untuk menghulurkan sedekah bagi meringankan beban mereka. Namun para sahabat agak lambat untuk menghulurkan sedekah tersebut dan baginda agak kecewa dengan situasi tersebut. Setelah itu seorang lelaki dari kalangan Anshar telah memberi sebekas perak sebagai sedekah dan sesudah itu berbondong-bondong orang ramai memberikan sedekah. Lalu baginda bersabda sebagaimana hadis di atas. Sababul wurud ini sebenarnya boleh dirujuk melalui hadis ini sendiri dalam bentuk yang lengkap. Sekiranya Penolongan Pengarah Yadim merujuk terus kepada kitab Shahih Muslim hadis bernombor 1017[27] tentu beliau tidak akan terkeliru sedemikian rupa. Berkaitan dengan hadis ini Syaikh ‘Ali Mahfuz rahimahullah berkata:

Jawapan terhadap kekeliruan ini ialah, bukanlah maksud memulakan sunnah itu membuat rekaan (baru). Namun maksudnya (ialah memulakan) amalan yang telah sabit daripada sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam… Sesungguhnya sebab yang kerananya terbit hadis ini (sababul wurud) ialah sedekah yang disyariahkan…hadis ini menunjukkan bahawa yang dikatakan sunnah di sini seperti apa yang dilakukan sahabat tersebut yang membawa sebekas perak. Dengan sebabnya terbukalah pintu sedekah dengan cara yang lebih nyata sedangkan sedekah memang disyariahkan dengan kesepakatan ulamak.[28]

 

  1. Seterusnya Penolong Pengarah Yadim menyatakan bahawa tindakan ‘Umar al-Khaththab radhiallahu 'anh melakukan solat Tarawih sebanyak 20 rakaat membuktikan adanya bidaah hasanah kerana Nabi shallallahu 'alaihi wasallam hanya melakukan solat tarawih bersama witir sebanyak 11 dan 13 rakaat. Untuk pengetahuan Penolong Pengarah Yadim hadis-hadis yang menunjukkan ‘Umar melakukan solat Tarawih sebanyak 20 rakaat itu terdapat perbincangan di kalangan ulamak hadis tentang kesahihannya.[29] Jika ianya sahih sekalipun hadis tersebut hanya menunjukkan orang pada zaman ‘Umar melakukan solat Tarawih sebanyak 20 rakaat. Sedangkan ‘Umar sendiri tetap mengarahkan Imam-Imam rasminya untuk melakukan 11 rakaat sesuai dengan amalan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.[30] Al-Saib bin Yazid radhiallahu 'anh telah berkata:

     

أَمَرَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ أُبَيَّ بْنَ كَعْبٍ وَتَمِيمًا الدَّارِيَّ أَنْ يَقُومَا لِلنَّاسِ بِإِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً.

 

‘Umar bin al-Khatthab telah memerintahkan Ubay bin Ka’ab dan Tamim al-Dari untuk mengimami manusia (dalam solat) sebanyak sebelas rakaat.[31]

 

Namun begitu melakukan solat Tarawih dan Witir sebanyak 11, 13, 23, 39 atau 43 rakaat tidak boleh dikategorikan sebagai bidaah kerana hukum solat Tarawih atau Qiyam al-Ramadhan ini adalah sama dengan solat Qiyam al-Lail yang mana ianya boleh dilakukan dua rakaat-dua rakaat tanpa batasan jumlah tertentu ataupun dengan hanya 1 rakaat witir.

 

إِنَّ رَجُلًا قَالَ: "يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ صَلاَةُ اللَّيْلِ." قَالَ مَثْنَى مَثْنَى فَإِذَا خِفْتَ الصُّبْحَ فَأَوْتِرْ بِوَاحِدَةٍ."

 

Sesungguhnya seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah, bagaimanakah solat malam?” Baginda bersabda: “Dua-dua (rakaat), apabila engkau khuatir (masuk waktu subuh), maka laksanakan solat witir satu rakaat.”[32]

 

Maka melakukan solat Tarawih sebanyak 20 rakaat bukanlah bidaah hasanah seperti tanggapan Penolong Pengarah Yadim tetapi ianya adalah sebahagian dari sunnah.

 

  1. Seterusnya Penolong Pengarah Yadim membawa hadis tentang pengsyariahan puasa sunat 9 dan 10 Muharram bersandarkan kepada amalan golongan Yahudi sebagai bukti diperbolehkan untuk kita menambah-nambah ibadah baru di dalam Islam. Hadis yang beliau maksudkan adalah:

     

قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ وَالْيَهُودُ تَصُومُ عَاشُورَاءَ.

 

فَقَالُوا: "هَذَا يَوْمٌ ظَهَرَ فِيهِ مُوسَى عَلَى فِرْعَوْنَ."

 

فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ِلأَصْحَابِهِ: "أَنْتُمْ أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْهُمْ فَصُومُوا."

 

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam datang ke Madinah, dan dilihatnya orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura. Menurut mereka: “Ini hari baik di saat mana Allah membebaskan Nabi Musa dari Fir’aun.” Maka sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam: “Kamu lebih berhak terhadap Musa daripada mereka maka berpuasalah.”[33]

 

Dan di riwayat lain baginda bersabda:

 

فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ.

 

“Jika datang tahun hadapan insya-Allah kita berpuasa juga pada hari ke sembilan.”[34]

 

Amalan puasa sunat 9 dan 10 Muharram ini tidak boleh disamakan dengan amalan-amalan bidaah yang lain seperti membaca surah Yassin pada malam Jumaat atau menyambut Mawlid al-Nabi. Ini adalah kerana puasa sunat bulan Muharam ini telah sabit perintahnya yang datang daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melalui lisan baginda sendiri. Dalam erti kata lain Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah mengsyariahkan amalan ini ketika baginda masih hidup lagi. Sebelum baginda diwafatkan ternyata Allah Subhanahu wa Ta'ala telah menyempurnakan agama Islam ini sehingga tidak memerlukan apa-apa penambahan lagi. FirmanNya:

Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.[35]

 

Berbeza dengan amalan-amalan seperti membaca surah Yassin pada malam Jumaat atau menyambut Mawlid al-Nabi yang Penolong Pengarah Yadim perjuangkan bermati-matian, amalan-amalan tersebut tidak memiliki dalil yang mengsyariahkan dan tidak juga pernah diamalkan atau dipersetujui oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, para sahabat radhiallahu 'anhum serta mana-mana para Salaf al-Ummah. Sekiranya amalan ini baik tentu mereka akan mendahului kita untuk mengamalkannya. Oleh itu amalan-amalan tersebut tetap bidaah.

 

  1. Seterusnya Penolongan Pengarah Yadim telah mendakwa bahawa golongan Wahabi telah menolak secara total tawassul dan syafaat. Saya menasihatkan beliau untuk meneliti sendiri kitab-kitab yang ditulis oleh ulamak-ulamak Wahabiyah yang membahaskan perkara tersebut. Mereka sebenarnya membahagikan tawassul dan syafaat kepada yang bidaah serta sunnah. Sebagai contohnya Syaikh Muhammad Shalih al-‘Utsaimin rahimahullah telah berkata[36]:

Tawassul ada dua jenis. Pertama; tawassul yang benar, iaitu bertawassul dengan wasilah yang benar, wasilah yang berupaya untuk menghantar keinginannya (kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala).

 

Lalu beliau menurunkan contoh-contoh wasilah yang benar seperti bertawassul dengan nama-nama Allah yang indah, bertawassul dengan amal-amal soleh dan bertawassul dengan doa orang-orang soleh yang masih hidup yang mana kesemuanya memiliki dalil dari al-Qur’an dan al-Hadis yang mendokongnya.

 

Seterusnya beliau berkata[37]:

Kedua, tawassul yang tidak diperbolehkan iaitu bertawassul kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan sesuatu yang sebenarnya bukan wasilah. Maksudnya adalah, berwasilah dengan sesuatu yang tidak ditetapkan sebagai wasilah oleh syariah. Kerana bertawassul dengan hal-hal seperti ini termasuk kesia-siaan dan kebatilan yang tidak diterima oleh akal dan nash. Di antaranya adalah bertawassul kepada Allah dengan cara berdoa kepada orang mati dan meminta agar orang mati ini menyampaikan doanya kepada Allah…Wasilah ini adalah batil kerana bila seseorang setelah mati maka terputuslah amalnya, tidak mungkin boleh menyampaikan doa untuk orang lain meskipun Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Baginda tidak mungkin mendoakan seseorang setelah wafat. Oleh kerana itu para sahabat radhiallahu 'anhum tidak pernah bertawassul kepada Allah dengan meminta doa dari RasulNya setelah baginda wafat.

 

Ini dapat kita perhatikan ketika keadaan begitu genting kerana suasana kemarau pada zaman ‘Umar al-Khaththab radhiallahu 'anh, beliau tidak pergi ke kuburan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam untuk memohon pertolongan tetapi beliau bertawassul dengan doanya bapa saudara Nabi shallallahu 'alaihi wasallam iaitu Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anh. Hal ini dapat kita perhatikan di dalam doa ‘Umar ketika itu seperti yang termaktub dalam riwayat di bawah:

 

اللَّهُمَّ إِنَّا كُنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّنَا, فَتَسْقِينَا وَإِنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِعَمِّ نَبِيِّنَا فَاسْقِنَا.

 

Ya Allah, sesungguhnya kami dulu bertawassul kepadaMu melalui Nabi kami, lalu engkau menurunkan hujan kepada kami dan kami sekarang bertawassul kepadaMu melalui bapa saudara Nabi kami maka turunkanlah hujan kepada kami.[38] Maka Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anh pun berdiri dan berdoa kepada Allah.

 

Tawassul serta memohon syafaat yang ditentang adalah memohon pertolongan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala melalui perantaraan orang yang sudah mati termasuklah di kuburan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan ahlul baitnya, kuburan para sahabat dan kuburan para wali yang kebiasaanya diamalkan oleh kelompok Syi’ah dan Sufi. Berdoalah kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala secara terus kerana hal ini telah diperintahkan olehNya melalui firmanNya:

Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.[39]

 

Oleh itu berhati-hatilah wahai Penolong Pengarah Yadim ketika ingin menyebarkan sesuatu perkara kepada orang awam, takut-takut nanti anda termasuk pula dalam golongan yang menyebarkan fitnah.

 

  1. Seterusnya Penolong Pengarah Yadim telah menggunakan alasan bahawa perkara-perkara bidaah tersebut membawa kebaikan dan hanya bertujuan untuk beribadah kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Untuk membantah hujah ini, memadai saya membawa sebuah hadis yang di riwayatkan oleh Imam al-Darimi.

     

قَالَ سَمِعْتُ أَبِي يُحَدِّثُ عَنْ أَبِيهِ قَالَ: كُنَّا نَجْلِسُ عَلَى بَابِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ قَبْلَ صَلاَةِ الْغَدَاةِ.

 

فَإِذَا خَرَجَ مَشَيْنَا مَعَهُ إِلَى الْمَسْجِدِ.فَجَاءَنَا أَبُو مُوسَى الْأَشْعَرِيُّ فَقَالَ: "أَخَرَجَ إِلَيْكُمْ أَبُو عَبْدِ الرَّحْمَنِ"

 

بَعْدُ قُلْنَا: "لاَ." فَجَلَسَ مَعَنَا حَتَّى خَرَجَ. فَلَمَّا خَرَجَ قُمْنَا إِلَيْهِ جَمِيعًا

 

فَقَالَ لَهُ أَبُو مُوسَى: "يَا أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ إِنِّي رَأَيْتُ فِي الْمَسْجِدِ آنِفًا أَمْرًا أَنْكَرْتُهُ وَلَمْ أَرَ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ إَِّلا

 

خَيْرًاز" قَالَ: "فَمَا هُوَ." فَقَالَ: "إِنْ عِشْتَ فَسَتَرَاهُ قَالَ رَأَيْتُ فِي الْمَسْجِدِ قَوْمًا حِلَقًا جُلُوسًا يَنْتَظِرُونَ

 

الصَّلَاةَ فِي كُلِّ حَلْقَةٍ رَجُلٌ وَفِي أَيْدِيهِمْ حَصًى فَيَقُولُ كَبِّرُوا مِائَةً فَيُكَبِّرُونَ مِائَةً فَيَقُولُ هَلِّلُوا مِائَةً

 

فَيُهَلِّلُونَ مِائَةً وَيَقُولُ سَبِّحُوا مِائَةً فَيُسَبِّحُونَ مِائَةً."

 

قَالَ: "فَمَاذَا قُلْتَ لَهُمْ؟" قَالَ: "مَا قُلْتُ لَهُمْ شَيْئًا انْتِظَارَ رَأْيِكَ وَانْتِظَارَ أَمْرِكَ."

 

قَالَ: "أَفَلاَ أَمَرْتَهُمْ أَنْ يَعُدُّوا سَيِّئَاتِهِمْ وَضَمِنْتَ لَهُمْ أَنْ لاَ يَضِيعَ مِنْ حَسَنَاتِهِمْ؟"

 

ثُمَّ مَضَى وَمَضَيْنَا مَعَهُ حَتَّى أَتَى حَلْقَةً مِنْ تِلْكَ الْحِلَقِ فَوَقَفَ عَلَيْهِمْ

 

فَقَالَ: "مَا هَذَا الَّذِي أَرَاكُمْ تَصْنَعُونَ؟"

 

قَالُوا: "يَا أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ حَصًى نَعُدُّ بِهِ التَّكْبِيرَ وَالتَّهْلِيلَ وَالتَّسْبِيحَ."

 

قَالَ: "فَعُدُّوا سَيِّئَاتِكُمْ فَأَنَا ضَامِنٌ أَنْ لاَ يَضِيعَ مِنْ حَسَنَاتِكُمْ شَيْءٌ وَيْحَكُمْ يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ

 

مَا أَسْرَعَ هَلَكَتَكُمْ هَؤُلاَءِ صَحَابَةُ نَبِيِّكُمْ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُتَوَافِرُونَ وَهَذِهِ ثِيَابُهُ لَمْ تَبْلَ

 

وَآنِيَتُهُ لَمْ تُكْسَرْ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنَّكُمْ لَعَلَى مِلَّةٍ هِيَ أَهْدَى مِنْ مِلَّةِ مُحَمَّدٍ أَوْ مُفْتَتِحُو بَابِ ضَلاَلَةٍ."

 

قَالُوا: "وَاللَّهِ يَا أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ مَا أَرَدْنَا إَِّلا الْخَيْرَ."

 

قَالَ: "وَكَمْ مِنْ مُرِيدٍ لِلْخَيْرِ لَنْ يُصِيبَهُ."

 

Daripada Amr bin Salamah katanya: Suatu ketika kami duduk di pintu ‘Abdullah bin Mas’ud sebelum sembahyang Subuh. Apabila dia keluar, kami akan berjalan bersamanya ke masjid. Tiba-tiba datang kepada kami Abu Musa al-Asy’ari, lalu bertanya: “Apakah Abu ‘Abdul Rahman (‘Abdullah bin Mas’ud) telah keluar kepada kamu.” Kami jawab: “Tidak.” Maka dia duduk bersama kami sehingga ‘Abdullah bin Mas’ud keluar.

Apabila dia keluar, kami semua bangun kepadanya.

Lalu Abu Musa al-Asy’ari berkata kepadanya: “Wahai Abu ‘Abdul Rahman (‘Abdullah bin Mas’ud), aku telah melihat di masjid tadi satu perkara yang aku tidak bersetuju, tetapi aku tidak lihat Alhamdulillah melainkan ia baik.”

Dia (‘Abdullah bin Mas’ud) bertanya: “Apakah ia.”

Kata Abu Musa: “Jika umur kamu panjang engkau akan melihatnya. Aku melihat satu puak, mereka duduk di dalam lingkungan (halaqah) menunggu waktu sembahyang. Bagi setiap lingkungan (halaqah) ada seorang lelaki (ketua kumpulan), sementara di tangan mereka yang lain ada anak-anak batu. Apabila lelaki (ketua kumpulan) itu berkata “Takbir (Allahu Akbar) 100 kali” maka mereka pun bertakbir 100 kali. Apabila dia (ketua kumpulan) berkata “Tahlil (Lailahaillallah) 100 kali maka mereka pun bertahlil 100 kali. Apabila dia (ketua kumpulan) berkata “Tasbih (Subhanallah) 100 kali maka mereka pun bertasbih 100 kali.”

Tanya ‘Abdullah bin Mas’ud: “Apa yang telah engkau perkatakan kepada mereka?”

Jawabnya (Abu Musa): “Aku tidak kata kepada mereka apa-apa kerana menanti pandangan dan perintahmu.”

Kata ‘Abdullah bin Mas’ud: “Mengapa engkau tidak menyuruh mereka mengira dosa mereka dan engkau jaminkan bahawa pahala mereka tidak akan hilang sedikitpun?”

Lalu dia (‘Abdullah bin Mas’ud) berjalan dan kami pun berjalan bersamanya. Sehinggalah dia (‘Abdullah bin Mas’ud) tiba kepada salah satu daripada lingkungan (halaqah) berkenaan.

Dia (‘Abdullah bin Mas’ud) berdiri lantas berkata: “Apa yang aku lihat kamu sedang lakukan ini?”

Jawab mereka: “Wahai Abu ‘Abdul Rahman (‘Abdullah bin Mas’ud)! Anak-anak batu yang dengannya kami menghitung Takbir, Tahlil dan Tasbih.”

Jawabnya (‘Abdullah bin Mas’ud): “Hitunglah dosa-dosa kamu, aku jamin pahala-pahala kamu tidak hilang sedikitpun. Celaka kamu wahai umat Muhammad! Alangkah cepat kemusnahan kamu. Para sahabat Nabi masih ramai lagi, baju baginda belum lagi buruk dan bekas makanan dan minuman baginda pun belum lagi pecah. Demi jiwaku berada di tangan-Nya, apakah kamu berada di atas agama yang lebih mendapat petunjuk dari agama Muhammad, atau sebenarnya kamu semua pembuka pintu kesesatan.”

Jawab mereka : “Demi Allah wahai wahai Abu ‘Abdul Rahman (‘Abdullah bin Mas’ud). Kami hanya bertujuan baik.

Jawabnya (‘Abdullah bin Mas’ud) : “Betapa ramai yang bertujuan baik, tetapi tidak mendapatinya.”[40]

 

Pasti akan ada yang tertanya-tanya kenapa ‘Abdullah Ibnu Mas’ud radhiallahu 'anh mengingkari mereka yang bertakbir, bertahlil dan bertasbih sebanyak 100 kali dengan menggunakan anak-anak batu (biji-biji tasbih) sedangkan perkara tersebut kelihatan seperti amalan yang baik. Insya-Allah akan saya perjelaskan secara ringkas di sini.

Telah sepakat seluruh ulamak Ahlus Sunnah wal Jamaah akan kesunnahan berzikir termasuk zikir bertakbir, bertahlil dan bertasbih. Namun begitu apa yang perlu diamati di sini adalah tatacara bacaan zikir tersebut. Allah Subhanahu wa Ta'ala telah menjelaskan kepada hambanya tentang tatacara berzikir yang sepatutnya kita persembahkan kepadaNya. Ini sebagaimana firmanNya:

Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu di dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya) dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.[41]

 

Daripada firman di atas ini dapat kita fahami bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala sendiri telah memerintahkan kita sebagai hambaNya untuk berzikir kepadaNya dengan suara yang perlahan atau secara lebih spesifik hanya diri sendiri yang mendengar zikir tersebut. Melalui tatacara yang sebegitu tidak mungkin zikir-zikir tersebut dilakukan secara berjemaah seperti yang digambarkan di dalam hadis tersebut. Oleh itu ianya harus dilakukan secara sendiri-sendiri dan dengan suara yang perlahan. Berpijak di atas dasar ini maka ‘Abdullah Ibnu Mas’ud radhiallahu 'anh menolak cara-cara berzikir yang bidaah sebagaimana yang digambarkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Darimi rahimahullah tersebut.

Namun begitu apa yang ingin penulis tekankan di sini adalah jawapan mereka yang melakukan zikir dengan tatacara bidaah ini iaitu: “Demi Allah wahai wahai Abu ‘Abdul Rahman (‘Abdullah bin Mas’ud). Kami hanya bertujuan baik.” Tidakkah alasan ini juga sering diberikan oleh pengamal-pengamal amalan bidaah pada zaman ini termasuk Penolong Pengarah Yadim ketika menulis artikel “Menyanggah Wahabi” tersebut? Bila ditegur bahawa amalan mereka tersebut tidak ada contohnya dari Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam tentu mereka akan menjawab, mereka sebenarnya bertujuan baik dan beribadah ikhlas untuk mencapai keredhaan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ternyata hanya berbekalkan niat yang baik dan ikhlas masih belum memadai selagi amalan tersebut belum dibuktikan bahawa ianya pernah diajarkan oleh Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam. Jawapan seterusnya di dalam hadis ini dari Ibnu Mas’ud  radhiallahu 'anh iaitu: ““Betapa ramai yang bertujuan baik, tetapi tidak mendapatinya” seolah-olah petir yang menyambar muka mereka yang masih ingin mempertahankan amalan-amalan bidaah yang telah sebati di dalam jiwa mereka. Perhatikanlah perkara ini dengan penuh ketelitian dan berlapang dada. Semoga kita tidak termasuk golongan yang digambarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala melalui firmanNya:

 (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan.[42]

 

Saya merasakan sudah memadai 6 bantahan yang telah saya sampaikan. Saya yakin melalui bantahan ini seluruh hujah yang di pakai oleh Penolong Pengarah Yadim telah berjaya diruntuhkan sehinggakan artikel tersebut selayaknya untuk dinilai semula oleh beliau. Ternyata tuduhan-tuduhan Penolong Pengarah Yadim ini adalah tidak ilmiah sama sekali, lebih lemah dari sarang labah-labah.

Misal bandingan orang-orang yang menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai pelindung-pelindung (yang diharapkan pertolongannya) adalah seperti labah-labah yang membuat sarang (untuk menjadi tempat perlindungannya); padahal sesungguhnya sarang-sarang yang paling reput ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan.[43]

 

Semoga kalimat sederhana ini dapat membuka pandangan mata seluruh umat Islam di Malaysia terhadap dakwah yang mereka cemuh sebagai Wahabiyah ini dan agar binasa hujah rapuh mereka ini di atas keterangan yang nyata pula.

Kesimpulannya tidak ada istilah bidaah hasanah (bidaah yang baik atau terpuji) di dalam perkara bersangkutan dengan ibadah kerana Nabi shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:  ...وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ. “dan setiap yang diada-adakan (bidaah) adalah sesat”[44]. Allah Subhanahu wa Ta'ala telah menyempurnakan segala bentuk amal ibadah yang Dia inginkan hamba-hambaNya persembahkan kepadaNya sebelum Dia mewafatkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Ini sebagaimana firmanNya:

Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.[45]

 

Telah berkata Imam al-Syaukani rahimahullah:

Jika sekiranya Allah telah menyempurnakan agamaNya sebelum diambil (nyawa) NabiNya apa perlunya seseorang itu mengada-adakan lagi sesuatu amalan yang baru (amalan bidaah) sedangkan Allah telah menyempurnakan agamaNya? Jika yang diada-adakan itu bukan kerana agama, maka apa perlunya bersibuk-sibuk dengan amalan yang bukan urusan agama? [46]

 

Akhir kata penulis ingin peringatkan pesanan ‘Abdullah bin Umar radhiallahu 'anhuma:

 

كُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَاِنْ رآهَا النَّاسُ حَسَنَةٌ.

 

“Setiap bidaah itu sesat, walaupun manusia memandangnya (perbuatan bi’dah tersebut) hasanah (baik).”[47]


 

 

 

 


[1] Diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abdul Hadi di dalam kitabnya Irsyad al-Salik, Ibnu Abdul Barr di dalam kitabnya al-Jami’, Ibnu Hazm di dalam Ushul al-Ahkam, Taqiyuddin al-Subki di dalam al-Fatawa. Penulis nukil daripada buku Sifat Shalat Nabi, ms. 56.

[2] Dinukil daripada kitab Meluruskan Tafsir Bidaah karya Syaikh Alwi bin Abdul Qadir al-Seqaf yang merupakan ringkasan kepada kitab al-I’tishom karya Imam Abu Ishaq Al-Syathibi (edisi terjemahan oleh Farid Qurusy, Pustaka As-Sunnah, Surabaya, 2003), ms. 2.

[3] Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, Kitab al-Fadhail, hadis no: 2363.

[4] Hadis riwayat Imam Ibnu Majah di dalam Sunan Ibnu Majah, Kitab al-Ahkam, hadis no: 2462.

[5] Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, Kitab al-Jama’ah, hadis no: 867.

[6] Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Sulh, hadis no: 2697.

[7] Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, Kitab al-Aqdhiyah, hadis no: 1718.

[8] Dr. Yusuf Qaradawi, Sunnah & Bidaah, ms. 17-18.

[9] Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab Bada’ al-Wahyu, hadis no: 1.

[10] Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, kitab al-Sulh, hadis no: 2697.

[11] al-Mulk (67) : 2

[12] Dinukil daripada kitab al-Masaa-il (Masalah-Masalah Agama), karya Abdul Hakim bin Amir Abdat, Darul Qalam, Jakarta 2002, jilid 2, ms. 258.

[13] Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, Kitab al-Jama’ah, hadis no: 867.

[14] al-Maaidah (5) : 3

[15] Penulis nukil dari kitab Meluruskan Tafsir Bid’ah karya Alwi bin Abdul Qadir al-Seqaf, ms. 14.

[16] Kenyataan Imam Malik rahimahullah ini bukan sekadar memerangi bidaah di dalam hal bersangkutan aqidah seperti menyembah berhala, amalan puja pantai, mandi safar, sembah kubur dan lain-lain seperti sangkaan sesetengah pihak. Namun bidaah yang diperangi oleh beliau adalah segala bentuk penambahan baru yang dilakukan dalam perkara bersangkutan amal ibadah. Mari kita lihat sikap sebenar Imam Malik rahimahullah terhadap amalan bidaah.

Ibnu al-Arabi bercerita dari al-Zubair bin Bakkar dia menyatakan bahawa dia mendengar Malik bin Anas didatangi seseorang, lalu orang itu berkata: “Wahai Abu ‘Abdullah, dari mana aku harus melakukan ihram?”

Imam Malik menjawab: “Dari Dzil Hulaifah, sebagaimana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berihram.”

Lalu orang itu berkata: “Sesungguhnya aku ingin berihram dari masjid ini (Masjid Nabawi di Madinah).”

Imam Malik berkata: “Jangan anda lakukan sedemikian.”

Orang itu berkata: “Sesungguhnya aku ingin melakukan ihram dari masjid ini dari sisi kuburan (Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam).”

Imam Malik berkata: “Jangan lakukan seperti itu. Sesungguhnya aku khuatir fitnah yang bakal menimpa anda.”

Orang itu berkata: “Fitnah apa? Aku hanya menambahkan beberapa mil (batu) sahaja.”

Imam Malik berkata: Fitnah apa lagi yang lebih besar dari keyakinan anda mendapat keutamaan melebihi keutamaan yang ditetapkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Aku mendengar Allah berfirman:

Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya (Rasulullah), beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (al-Nuur (24) : 63) (Dinukil daripada kitab Manhaj Akidah Salaf : Akidah Imam Malik karya Syaikh Muhammad bin Abdurrahman al-Maghrawi, ms. 43)    

Inilah ucapan dari lidah Imam Malik rahimahullah yang seharusnya kita renungi bersama. Orang tersebut tidak melihat apa-apa keburukan dari amalan bidaahnya yang memindah tempat berihram dari Dzil Hulaifah ke sebelah kubur manusia yang paling mulia di atas muka bumi ini iaitu kuburnya Rasulullullah shallallahu 'alaihi wasallam. Namun menurut Imam Malik rahimahullah amalan bidaah boleh menimbulkan fitnah seolah-olah ibadah yang disyariahkan oleh baginda shallallahu 'alaihi wasallam itu memiliki kekurangan dari segi keutamaannya sehingga memerlukan penambahan terhadapnya. Sikap sebegini bukannya datang dari Imam Malik secara bersendirian tetapi inilah juga sikapnya para sahabat radhiallahu 'anhum.

Dari Ya’la ibnu Umaiyyah, dia berkata: “Aku bersama-sama dengan ‘Umar radhiallahu 'anh dalam tawaf, kemudian beliau mengusap rukun.”

Ya’la berkata: “Pada saat ini aku berada di sebelah kaabah. Tatkala aku telah sampai pada rukun bahagian barat yang berada setelah Hajar al-Aswad, maka aku bersegera ke depan mengusapnya.”

‘Umar berkata: “Ada apa dengan engkau (kenapa buat begitu)?”

Akupun berkata: “Bukankah engkau telah mengusap keduanya.”

‘Umar berkata: “Apakah engkau belum pernah tawaf bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam?”

Aku berkata: “Benar.”

‘Umar berkata: “Apakah engkau melihat baginda mengusap kedua rukun tersebut, yakni kedua rukun yang di barat tersebut?”

Aku berkata: “Tidak.”

Maka ‘Umar pun berkata: “Tidak ada bagi mu (pada perkara ini) contoh yang baik.”

Aku berkata: “Benar.”

Umar berkata: “Kerjakanlah (apa yang sesuai petunjuknya).” (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya (4/222), al-Baihaqi di dalam Sunannya (5/77) dan Abdurazzak di dalam al-Mushannaf hadis bernombor 8945)

            Dari Khalid bin Arfajah al-Asyja’i dia berkata:

Pernah mereka berjalan bersama Salim bin Ubaid al-Asyja’i, lalu tiba-tiba seseorang bersin sambil berkata Assalamu’alaikum. Salim menjawab Wa’alaikassalam wa ‘ala ummika.”

Kemudian beliau berjalan sesaat dan menoleh, lalu berkata kepada lelaki yang bersin tadi: “Mungkin engkau tidak senang terhadap apa yang aku ucapkan tadi.”

Orang itupun berkata: “Aku sangat ingin engkau tidak menyebut-nyebut ibuku dengan kebaikan atau keburukan.”

Salim berkata: “Aku hanya menyebutkan kepadamu apa yang telah aku saksikan dari Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Seseorang pernah bersin di sisi beliau sambil berkata Assalamu’alaikum. Nabi menjawab  Wa’alaikassalam wa ‘ala ummika. Jika salah seorang di antara kalian bersin maka ucapkanlah Alhamdulillahi Rabbil ‘alamin atau Alhamdulillah ‘ala kulli haal. Kemudian saudaranya yang menyaksikan berkata kepadanya Yarhamukallah. Setelah itu dia harus menjawab Yaghfirullahu lii wa lakum.” (Hadis riwayat Imam Ahmad di dalam al-Musnad (3/447), dan al-Thayalisi di dalam Musnadnya hadis no: 1264)

Memadailah dengan contoh-contoh di atas untuk membuktikan sikap sebenar Ahlus Sunnah Wal Jamaah terhadap perkara bidaah. Mereka tidak berkompromi dengan amalan bidaah dengan alasan amalan tersebut nampak seperti baik atau tidak ada keburukan jika mengamalnya. Tetapi mereka tetap istiqamah berada di atas petunjuk Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Bagi mereka bersederhana dalam mengamalkan sunnah adalah lebih baik dari bersungguh-sungguh mengerjakan amalan bidaah. Abdullah Ibnu Mas’ud radhiallahu 'anh berkata:

الْقَصْدُ فِي السُّنَّةِ خَيْرٌ مِنْ الاِجْتِهَادِ فِي الْبِدْعَةِ.

Bersederhana di atas sunnah jauh lebih baik daripada bersungguh-sungguh di dalam bidaah. (Hadis riwayat Imam al-Darimi di dalam Sunan al-Darimi, Kitab al-Muqaddimah, hadis no: 217)

Oleh itu kita seharunya berusaha untuk menghindari segala amal ibadah yang tidak ada contohnya dari Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam atau amalan bidaah.

[17]          Ibnu Rajab al-Hanbali, Jami’ al-Ulum wa al-Hikam, ms. 328. Penulis nukil dari kitab Manhaj Ahli Sunnah Menghadapi Ahli Bidaah karya Dr. Ibrahim bin Amir al-Ruhaili, (edisi terjemahan oleh Abu Ahmad bin Syamsuddin, Pustaka Al-Kautsar, Jakarta, 2002), ms. 63.

[18]          Kata-kata ‘Umar radhiallahu 'anh ini diambil dari sebuah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Abdul Rahman bin ‘Abdul Qari yang berkata:

خَرَجْتُ مَعَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ لَيْلَةً فِي رَمَضَانَ إِلَى الْمَسْجِدِ. فَإِذَا النَّاسُ أَوْزَاعٌ مُتَفَرِّقُونَ يُصَلِّي الرَّجُلُ لِنَفْسِهِ وَيُصَلِّي الرَّجُلُ فَيُصَلِّي بِصَلاَتِهِ الرَّهْطُ. فَقَالَ عُمَرُ: "إِنِّي أَرَى لَوْ جَمَعْتُ هَؤُلاَءِ عَلَى قَارِئٍ وَاحِدٍ لَكَانَ أَمْثَلَ", ثُمَّ عَزَمَ فَجَمَعَهُمْ عَلَى أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ. ثُمَّ خَرَجْتُ مَعَهُ لَيْلَةً أُخْرَى وَالنَّاسُ يُصَلُّونَ بِصَلاَةِ قَارِئِهِمْ. قَالَ عُمَرُ: "نِعْمَ الْبِدْعَةُ هَذِهِ وَالَّتِي يَنَامُونَ عَنْهَا أَفْضَلُ مِنْ الَّتِي يَقُومُونَ يُرِيدُ آخِرَ اللَّيْلِ وَكَانَ النَّاسُ يَقُومُونَ أَوَّلَهُ."

            Pada satu malam di bulan Ramadan aku keluar bersama ‘Umar al-Khaththab radhiallahu 'anh ke masjid. Di dapati orang ramai berselerakan. Ada yang solat bersendirian, ada pula yang bersolat dan sekumpulan (datang) mengikutinya. ‘Umar berkata: “Jika aku himpunkan mereka pada seorang imam adalah lebih baik.” Kemudian beliau melaksanakannya maka dihimpunkan mereka dengan (diimamkan oleh) Ubai bin Ka’ab. Kemudian aku keluar pada malam lain, orang ramai bersolat dengan imam mereka (yakni Ubai bin Ka’ab). Berkata ‘Umar: “Sebaik-baik bidaah adalah perkara ini, sedangkan yang mereka tidur (solat pada akhir malam) lebih dari apa yang mereka bangun (awal malam).” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab Solat Tarawih, hadis no: 2010)

Kenyataan ‘Umar ini “Sebaik-baik bidaah adalah perkara ini…” membuktikan bahawa Imam al-Syafi’i hanya mengertikan bidaah mahmudah itu dari segi bahasa (lughah) sahaja dan bukan syarak. Ini adalah kerana amalan melakukan solat Tarawih atau Qiyam al-Ramadhan secara berjemaah itu bukan merupakan bidaah dari segi syarak disebabkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sendiri pernah melakukannya secara berjemaah sebagaimana riwayat di bawah.

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ مِنْ جَوْفِ اللَّيْلِ فَصَلَّى فِي الْمَسْجِدِ. فَصَلَّى رِجَالٌ بِصَلاَتِهِ. فَأَصْبَحَ النَّاسُ يَتَحَدَّثُونَ بِذَلِكَ فَاجْتَمَعَ أَكْثَرُ مِنْهُمْ. فَخَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي اللَّيْلَةِ الثَّانِيَةِ فَصَلُّوْا بِصَلاَتِهِ. فَأَصْبَحَ النَّاسُ يَذْكُرُونَ ذَلِكَ فَكَثُرَ أَهْلُ الْمَسْجِدِ مِنْ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ. فَخَرَجَ فَصَلُّوْا بِصَلاَتِهِ. فَلَمَّا كَانَتْ اللَّيْلَةُ الرَّابِعَةُ عَجَزَ الْمَسْجِدُ عَنْ أَهْلِهِ. فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْهِمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَطَفِقَ رِجَالٌ مِنْهُمْ يَقُولُونَ الصَّلاَةَ فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْهِمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى خَرَجَ لِصَلاَةِ الْفَجْرِ. فَلَمَّا قَضَى الْفَجْرَ أَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ ثُمَّ تَشَهَّدَ فَقَالَ: "أَمَّا بَعْدُ فَإِنَّهُ لَمْ يَخْفَ عَلَيَّ شَأْنُكُمْ اللَّيْلَةَ وَلَكِنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْرَضَ عَلَيْكُمْ صَلاَةُ اللَّيْلِ فَتَعْجِزُوا عَنْهَا."

Sesungguhnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam keluar pada suatu pertengahan malam (di bulan Ramadan). Baginda solat di masjid (Masjid Nabi). Beberapa orang mengikuti solat baginda (menjadi makmum). Pada pagi (esoknya) orang ramai bercerita mengenainya. Maka berkumpullah lebih ramai lagi orang (pada malam kedua). Baginda bersolat dan mereka ikut solat bersama. Pada pagi (esoknya) orang ramai bercerita mengenainya. Maka bertambah ramai ahli masjid pada malam ke tiga. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam keluar bersolat dan mereka ikut solat bersama. Apabila malam ke empat, masjid menjadi tidak muat dengan ahli. (Baginda tidak keluar) sehingga pada waktu solat Subuh. Selesai solat Subuh, baginda menghadap orang ramai, bersyahadah seraya bersabda: “Amma ba’d, sesungguhnya bukan aku tidak tahu penantian kalian (di masjid pada malam tadi) tetapi aku bimbang difardhukan (Solat Tarawih) ke atas kalian lalu kalian tidak mampu.” (Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, Kitab Sholat al-Musafirin wa Qasriha, hadis no: 761)

Oleh itu ucapan ‘Umar tersebut hanya menunjukkan pengertian bidaah dari segi bahasa sahaja kerana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak meneruskan solat tersebut secara berjemaah dan ianya juga tidak dilaksanakan secara berjemaah pada zaman Abu Bakar radhiallahu 'anh. Menurut Imam al-Syathibi rahimahullah:

Dinamakan bidaah kerana sesuai dengan keadaan pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang tidak meneruskan solat Tarawih secara berjemaah, demikian pula pada zaman Khalifah Abu Bakar radhiallahu 'anh, (ucapan ‘Umar tersebut) bukan dalam erti bidaah yang sebenarnya (bidaah dari segi takrifan syarak). Maka sesiapa sahaja yang menamakannya bidaah dengan konteks bahasa seperti ini tidak menjadi masalah, untuk itu tidak dibenar memakainya sebagai dalil bagi diperbolehkan bidaah dalam erti yang sebenarnya (yakni dari segi takrifan syarak). (Dinukil daripada kitab Meluruskan Tafsir Bidaah karya Syaikh Alwi bin Abdul Qadir al-Seqaf yang merupakan ringkasan kepada kitab al-I’tishom karya Imam Abu Ishaq Al-Syathibi, ms. 82)

Oleh itu jelas bagi kita bahawa tindakan sesetengah pihak untuk mengaitkan ucapan ‘Umar tersebut untuk dengan konsep bidaah hasanah merupakan tindakan yang keliru. Dengan itu juga penggunaan istilah bidaah mahmudah yang dipegunakan oleh Imam al-Syafi’i rahimahullah berdalihkan ucapan ‘Umar radhiallahu 'anh membuktikan beliau hanya mengertikannya dari segi bahasa sahaja dan bukan bidaah dari segi syarak. Menurut Dr. Muhammad A.W. al-‘Aqil:

Ucapan Imam al-Syafi’i ini sesuai dengan apa yang ditunjukkan oleh nas-nas, bahawa yang asal adalah mengikuti al-Kitab dan al-Sunnah dan bahawa hal itu adalah sunnah sedangkan yang bertentangan dengan al-Kitab dan al-Sunnah adalah bidaah. Dijadikan hadis ‘Umar radhiallahu 'anh di atas oleh Imam al-Syafi’i rahimahullah sebagai landasan, merupakan bukti terhadap apa yang diinginkan olehnya. Kerana sebagaimana yang kita ketahui solat Tarawih bukanlah bidaah dalam agama. Solat ini pernah dilakukan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersama para sahabat secara berjemaah. Kemudian, beliau tidak datang ke masjid (setelah melakukannya beberapa malam) kerana khuatir dianggap fardhu oleh mereka. Setelah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam wafat, dan ‘Umar pun melihat solat itu tidak dianggap wajib oleh orang ramai, maka beliau memerintahkan solat Tarawih dilakukan kembali seperti pada zaman Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Dan ini bukanlah bidaah dari segi syariah sekalipun disebut bidaah. Penyebutan bidaah terhadap perbuatan itu maksudnya adalah bidaah dari segi bahasa. (Dr. Muhammad A.W. al-‘Aqil, Manhaj Aqidah Imam Asy-Syafi’i, ms. 108)

[19] Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, jilid 15, ms. 179. Penulis nukil daripada kitab Bidaah Hasanah: Istilah Yang Disalah Fahami, karya Dr. Asri Zainul Abidin, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2004, ms. 25.

[20] Dr. Ibrahim bin Amir al-Ruhaili, Manhaj Ahli Sunnah Menghadapi Ahli Bidaah, ms. 56

[21] ‘Izz bin ‘Abd al-Salam, Qawa’id al-Ahkam fi Masalih al-Anam, jilid 2, ms. 133. Penulis nukil daripada kitab Bidaah Hasanah: Istilah Yang Disalah Fahami, karya Dr. Asri Zainul Abidin, ms. 31.

[22] ‘Izz bin ‘Abd al-Salam, Qawa’id al-Ahkam fi Masalih al-Anam, jilid 2, ms. 133. Penulis nukil daripada kitab Bidaah Hasanah: Istilah Yang Disalah Fahami, karya Dr. Asri Zainul Abidin, ms. 32.

[23] Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, Kitab al-Jama’ah, hadis no: 867.

[24] Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i, al-Risalah, ms. 507. Penulis nukil daripada kitab Bidaah dan Percanggahannya karya Ustaz Rasul Dahri, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 1998, ms. 75.

[25] Drs. Abdul Ghani Azmi bin Haji Idris, Himpunan Hadis Dha’if dan Maudhu’, al-Hidayah Publisher, Kuala Lumpur, 2001, jilid 1, ms. 24.

[26] Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, Kitab al-Zakah, hadis nombor 1017. Juga diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi di dalam Sunan Tirmidzi, Kitab al-‘Ilm, hadis no: 2599, al-Nasa’i di dalam Sunan al-Nasa’i, Kitab al-Zakah, hadis no: 2507, Imam Ibnu Majah di dalam Sunan Ibnu Majah, Kitab al-Muqaddimah, hadis no: 199.

[27] Matan penuh hadis tersebut adalah seperti berikut:

عَنْ جَرِيرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ: جَاءَ نَاسٌ مِنْ الْأَعْرَابِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَيْهِمْ الصُّوفُ. فَرَأَى سُوءَ حَالِهِمْ. قَدْ أَصَابَتْهُمْ حَاجَةٌ. فَحَثَّ النَّاسَ عَلَى الصَّدَقَةِ. فَأَبْطَئُوا عَنْهُ حَتَّى رُئِيَ ذَلِكَ فِي وَجْهِهِ. قَالَ: ثُمَّ إِنَّ رَجُلًا مِنْ الأَنْصَارِ جَاءَ بِصُرَّةٍ مِنْ وَرِقٍ. ثُمَّ جَاءَ آخَرُ ثُمَّ تَتَابَعُوا حَتَّى عُرِفَ السُّرُورُ فِي وَجْهِهِ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ. وَمَنْ سَنَّ فِي الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ."

            Daripada Jarir bin ‘Abdullah katanya: Datang sekumpulan Arab Badawi kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Mereka memakai pakaian bulu. Baginda melihat buruknya keadaan mereka. Mereka ditimpa kesusahan. Baginda menggesa orang ramai bersedekah. Namun mereka lambat melakukannya sehingga kelihatan kemarahan pada wajah baginda. (Kata Jarir) kemudian seorang lelaki daripada golongan Ansar datang dengan sebekas perak (dan mensedekahkannya). Kemudian datang seorang yang lain pula, kemudian orang ramai datang (bersedekah berturut-turut) sehingga terlihat kegembiraan pada wajah baginda lalu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa yang membiasakan (memulai atau menghidupkan) suatu perbuatan baik dalam Islam lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikitpun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu, dituliskan untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun.”

Ketika Forum Perdana Hal Ehwal Islam bertajuk Bid’ah yang berlangsung di Masjid al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan pada 29hb Disember 2005 kedua-dua ahli panel iaitu Dr. Uthman el-Muhammadi dan Ustaz Mahfuz telah sepakat bahawa hadis ini merupakan dalil yang menjadi tunjang bagi membenarkan konsep bidaah hasanah ini. Sebagaimana Ketua Penolong Pengarah Yadim, mereka juga tidak menurunkan sepenuhnya matan hadis ini. Sekiranya diturunkan sepenunhnya pasti orang ramai akan faham bahawa hadis ini tidak ada kena mengena langsung dengan konsep bidaah hasanah yang mereka jajakan.

Apatah lagi terdapat sebuah lagi hadis yang memperjelaskan bahawa yang disyariahkan adalah menghidupkan sunnah dan bukannya mengamalkan bidaah hasanah. Sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:

مَنْ أَحْيَا سُنَّةً مِنْ سُنَّتِي قَدْ أُمِيتَتْ بَعْدِي فَإِنَّ لَهُ مِنْ الأَجْرِ مِثْلَ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا. وَمَنْ ابْتَدَعَ بِدْعَةَ ضَلاَلَةٍ لاَ تُرْضِي اللَّهَ وَرَسُولَهُ كَانَ عَلَيْهِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ عَمِلَ بِهَا لاَ يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أَوْزَارِ النَّاسِ شَيْئًا.

Sesiapa yang menghidupkan satu sunnah dari sunnahku setelah ia dimatikan (ditinggalkan oleh manusia) selepas peninggalanku, maka baginya pahala sebagaimana pahala sesiapa yang mengerjakannya dari kalangan manusia yang tidak dikurangkan sedikitpun pahala tersebut sebagaimana pahala yang diberikan kepada manusia yang mengikutinya. Dan sesiapa yang melakukan satu bidaah yang tidak diredhai oleh Allah dan RasulNya maka baginya dosa sebagaimana dosa sesiapa yang (meniru) mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa tersebut walau sedikitpun. (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunan al-Tirmidzi, Kitab al-‘Ilm, hadis no: 2601)

Ternyata hadis yang menjadi tunjang bagi mereka yang menyokong konsep bidaah hasanah ini sebenarnya tidak memihak kepada mereka. Sebenarnya mereka tidak memiliki hujah yang kukuh namun mereka hanya mengambil apa sahaja hadis yang pada sangkaan mereka dapat mendokong pandangan mereka untuk mengelabui mata orang awam. Sikap terdesak mereka jelas kelihatan di Forum Hal Ehwal Islam tersebut di mana Ustaz Mahfuz membawa hadis tentang dhab (biawak padang pasir) untuk menyokong konsep bidaah hasanah yang dijajanya. Mari kita lihat hadis tersebut dan kita nilai bersama betapa tersepitnya Ustaz Mahfuz.

فَقَالَ لَهُ خَالِدُ بْنُ الْوَلِيدِ: "يَا رَسُولَ اللَّهِ أَحَرَامٌ الضَّبُّ؟" قَالَ: "لاَ وَلَكِنْ لَمْ يَكُنْ بِأَرْضِ قَوْمِي فَأَجِدُنِي أَعَافُهُ." فَأَهْوَى خَالِدٌ إِلَى الضَّبِّ فَأَكَلَ مِنْهُ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَنْظُرُ

Telah berkata Khalid bin Walid: “Ya Rasulullah adakah haram memakan dhab?”

Rasulullah bersabda: “Tidak, tetapi ia bukan makanan bagi kaumku, maka aku tidak memakannya.”

Makan dihidangkan dhab kepada Khalid lalu dia memakannya sedangkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melihat (Khalid memakannya). (Hadis riwayat Imam al-Nasa’i di dalam Sunan al-Nasa’i, hadis no: 4242)

Di manakah hujah yang menunjukkan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mengsyariahkan bidaah hasanah duhai Ustaz Mahfuz? Tidakkah kamu mengerti bahwa hal ini termasuk di dalam sunnah taqririyah (persetujuan) dan definisi sunnah itu merupakan apa yang diriwayatkan dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berupa ucapan, perbuatan atau persetujuan dari baginda. Tidakkah baginda telah memberi persetujuan untuk Khalid bin Walid radhiallahu 'anh untuk makan daging dhab tersebut walaupun baginda tidak menjamahnya?

 

[28] Syaikh ‘Ali Mahfuz, al-Ibda’ fi Madarr al-Ibtida’, ms. 128-129. Penulis nukil daripada kitab Bidaah Hasanah: Istilah Yang Disalah Fahami, karya Dr. Asri Zainul Abidin, ms. 59-60.

[29] Yang lebih tepat adalah bahawa semua hadis tentang solat Tarawih sebanyak 20 rakaat dizaman ‘Umar radhiallahu 'anh adalah dhai’f (lemah). Untuk melihat perbahasan tentang hadis-hadis tersebut sila rujuk kitab Solat Tarawikh: Satu Perbahasan Ke Atas Fatwa Yang Menetapnya Kepada 20 Rakaat karya Hafiz Firdaus Abdullah, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2000, ms. 94-97.

[30] Dalil yang menunjukkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak melebihkan solat Qiyam al-Ramadhan atau Solat Tarawih dari sebelas atau tiga belas rakaat adalah seperti berikut:

Dari ‘Aishah radhiallahu 'anha, dia berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي بِاللَّيْلِ إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً يُوتِرُ مِنْهَا بِوَاحِدَةٍ.

Bahawa Rasulullah solat malam di waktu setelah selesai Isyak sampai terbit fajar sebanyak sebelas rakaat dengan salam setiap selesai dua rakaat, lalu berwitir dengan satu rakaat. (Hadis riwayat Imam Muslim di dalam kitab Shahih Muslim, Kitab Shalatu al-Musafirin wa Qasriha, hadis no: 736)

Dari ‘Aishah radhiallahu 'anha, dia berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي مِنْ اللَّيْلِ ثَلَاثَ عَشْرَةَ رَكْعَةً مِنْهَا الْوِتْرُ وَرَكْعَتَا الْفَجْرِ.

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam biasa solat di malam hari tiga belas rakaat termasuk witir, dan dua rakaat solat fajar (sunat Qabliyah Subuh). (Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab at-Tahajjud, hadis no: 1140)

Abu Salamah radhiallahu 'anh pernah bertanya kepada ‘Aishah radhiallahu 'anha tentang solat malam Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di bulan Ramadan. Maka ‘Aishah menjawab:

مَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَزِيدُ فِي رَمَضَانَ وَلاَ فِي غَيْرِهِ عَلَى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلاَ تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ ثُمَّ يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلاَ تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ ثُمَّ يُصَلِّي ثَلَاثًا.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak menambah di bulan Ramadhan dan tidak pula di bulan-bulan lainnya, melebihi sebelas rakaat; baginda solat empat rakaat, jangan tanya akan kebagusan dan panjangnya. Kemudian baginda solat empat rakaat, jangan tanya akan kebagusan dan panjangnya. Kemudian baginda shalat tiga rakaat (witir). (Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab at-Tahajjud, hadis no: 1147)

[31] Hadis riwayat Imam Malik di dalam al-Muwatta’, Kitab al-Nida’ li al-shalah, hadis no: 232.

[32] Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab at-Tahajjud, hadis no: 1137.

[33] Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab Tafsir al-Qur’an, hadis no: 4680.

[34] Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, Kitab al-Shiyam, hadis no: 1134.

[35] al-Maaidah (5) : 3

[36] Syaikh Muhammad Shalih al-‘Utsaimin, Majmu’ Fatawa Solusi Problematika Umat Islam Seputar Aqidah dan Ibadah: Bab Aqidah, (edisi terjemahan oleh Furqan Syuhada, Qosdi Ridwanullah dan Irwan Raihan, Pustaka Arafah, Solo, 2002), ms. 188.

[37] Syaikh Muhammad Shalih al-‘Utsaimin, Majmu’ Fatawa Solusi Problematika Umat Islam Seputar Aqidah dan Ibadah: Bab Aqidah, ms. 189.

[38] Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Jamaah, hadis no: 1010.

[39] al-Ghaafir (40) : 60

[40] Hadis riwayat Imam al-Darimi di dalam Sunan al-Darimi, Kitab al-Muqaddimah, hadis no: 206.

[41] al-A'raaf (7) : 205

[42] al-Kahfi (18) : 104

[43] al-Angkabut  (29) : 41

[44] Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, Kitab al-Jama’ah, hadis no: 867.

[45] al-Maaidah (5) : 3

[46] Imam al-Syaukani, al-Qaul al-Mufid, ms. 38. Penulis nukil daripada kitab Bidaah  & Percanggahannya karya Ustaz Rasul Dahri ms. 53.

[47] Diriwayatkan oleh Imam al-Lalaka’i di dalam Syarah Usul I’tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, Ibnu Nashir di dalam al-Sunnah dan oleh Ibnu Baththah di dalam al-Ibanah.