Pengenalan Ringkas Kepada Ilmu Ushul al-Fiqh

al-Syaikh Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin

 

 

4- Al-Kalam (Percakapan)

 

 

 

Definisi

 

Dari sudut Bahasa Arab al-kalam ialah lafaz yang membawa makna. Dari sudut istilah al-kalam ialah:

 Lafaz yang memberi faedah.

 

Isi kandungan yang paling kurang untuk membentuk satu kalam ialah salah satu daripada berikut:

1.  Dua patah ism (kata nama) seperti “Muhammad Rasulullah”.

2. Satu fi‘l (kata kerja) dan satu ism (kata nama) seperti “Istaqama (telah berpegang teguh) Muhammad”.

 

Mufrad (singular) bagi kalam (percakapan) ialah kalimah (perkataan). Definisi Kalimah (perkataan) ialah:

 Apa yang membawa makna untuk satu perkara.

 

Kalimah terbahagi kepada tiga iaitu ism (kata nama), fi‘l (kata kerja) dan harf (penyambung):

 

1-   Al-Ism (kata nama) ialah:

 Apa yang menunjukkan kepada satu makna pada dirinya tanpa waktu.

 

Al-Ism (kata nama) terbahagi kepada tiga:

 

1.1.  Apa yang memberi erti umum seperti al-Ism al-Maushul (kata nama sambungan).

 

1.2.  Apa yang memberi erti tidak terhad seperti al-Nakirah fi siyaq al-ithbat (kata nama tidak spesifik dalam konteks pensabitan).

 

1.3.  Apa yang memberi erti khusus seperti al-‘Alam (kata nama khas).

 

2-   Al-Fi‘l (kata kerja) ialah:

 Apa yang menunjukkan kepada satu makna pada dirinya

dan bentuknya pula menunjukkan kepada salah satu daripada tiga waktu.

 

Tiga waktu ini ialah waktu silam contohnya fahima (telah faham), waktu semasa yafhamu (memahami) dan waktu perintah/akan datang ifham (fahamlah). Ketiga-tiga bahagian al-Fi‘l (kata kerja) ini membawa maksud yang itlaq (tidak terkait), justeru ianya tidak mempunyai sifat keumuman.

 

3-   Al-Harf (kata penyambung) ialah:

 Apa yang menunjukkan kepada satu makna pada perkataan lain.

 

Di antara kelompok al-Harf ini ialah:

 

Huruf al-wau (dan). Ianya sebagai penyambung kata-kata dan membawa erti dua benda berada dalam satu hukum. Ianya tidak menunjukkan tertib dan tidak pula menafikannya kecuali dengan dalil.

 

Huruf al-fa’ (maka). Ianya sebagai penyambung kata-kata dan membawa erti dua benda berada dalam satu hukum. Ianya menunjukkan tertib dan susulan. Ianya juga kadang-kala membawa erti sebab.

 

Huruf al-lam (untuk). Ianya membawa pelbagai erti, antara lain menyatakan sebab, menunjukkan hakmilik dan menunjukkan kebenaran.

 

Huraf ‘ala (atas). Di antara ertinya ialah kewajipan.

 

 

 

Bahagian-bahagian al-Kalam (Percakapan)

 

Melihat kepada kemungkinan disifatkan sebagai benar atau tidak, al-Kalam (percakapan) dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu al-Khabar (berita) dan al-Insya’ (tuntutan melakukan sesuatu).

 

1. Al-Khabar (berita) ialah:

 Apa yang boleh disifatkan dirinya sendiri sebagai benar atau salah.

 

Penjelasan lanjut tentang definisi di atas adalah seperti berikut:

 

Berdasarkan apa yang boleh disifatkan … sebagai benar atau salah maka terkeluarlah al-Insya’ (tuntutan melakukan sesuatu) kerana ianya tidak boleh disifatkan demikian. Ini kerana isinya bukan perkara yang telah berlaku di mana boleh disifatkan sebagai benar atau salah.

 

Berdasarkan dirinya sendiri maka terkeluarlah al-Khabar (berita) yang tiada syak lagi tentang kebenarannya atau kesalahannya berdasarkan kepada pembawa berita. Ini kerana al-Khabar (berita) itu sendiri dapat dibahagikan kepada tiga bahagian apabila merujuk kepada pembawa berita, iaitu seperti berikut:

 

Apa yang tidak boleh disifatkan sebagai salah seperti berita dari Allah

dan Rasulullah yang sabit.

 

 Apa yang tidak boleh disifatkan sebagai benar seperti berita tentang perkara yang mustahil baik dari sudut Syara' seperti berita orang yang mendakwa sebagai nabi selepas kewafatan Rasulullah s.a.w.; mahupun dari sudut akal seperti berita bahawa dua perkara yang berlawanan seperti diam dan bergerak telah berlaku pada satu objek dalam satu masa.

 

Apa yang boleh disifatkan sebagai benar atau salah samada dengan peratusan serupa mahupun salah satunya lebih berkemungkinan seperti berita seseorang tentang kepulangan orang yang berpergian.

 

 

2. Al-Insya’ (tuntutan melakukan sesuatu) ialah:

 Apa yang tidak boleh disifatkan sebagai benar atau salah.

 

Di antara yang tergolong dalam al-Insya’ ialah perintah dan larangan seperti yang terdapat dalam firman Allah (al-Nisaa 4:36) - Maksudnya:

Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatupun.

 

Sesuatu percakapan itu boleh bersifat al-Khabar dan al-Insya’ sekaligus berdasarkan kepada dua sudut yang ada padanya. Contohnya ialah lafaz-lafaz jual beli seperti “Aku beli” dan “Aku jual” yang bersifat al-Khabar dari sudut pemberitahuan apa yang di dalam hati penjual atau pembeli dan bersifat al-Insya’ dari sudut sah jual beli tersebut.

 

Sesuatu percakapan itu boleh berupa al-Khabar tetapi mengandungi maksud al-Insya’ untuk faedah tertentu. Contohnya firman Allah (al-Baqarah 2:228) - Maksudnya:

Wanita-wanita yang ditalak hendaklah menahan diri (menunggu) tiga kali quru'.

 

Perkataan (يتربصن) berupa al-Khabar tetapi membawa maksud perintah. Faedahnya ialah sebagai penekanan terhadap perbuatan yang diperintahkan sehingga menjadikannya seolah-olah satu perkara yang sedang berlaku yang dibincangkan sebagai salah satu sifat orang yang diperintah.

 

Sesuatu percakapan itu boleh berupa al-Insya’ tetapi mengandungi maksud al-Khabar untuk faedah tertentu. Contohnya firman Allah (al-Ankabut 29:12) - Maksudnya:

Dan berkatalah orang-orang  kafir kepada orang-orang yang beriman: "Ikutilah jalan kami, dan nanti kami akan memikul dosa-dosamu." Dan mereka (sendiri) sedikitpun tidak (sanggup) memikul dosa-dosa mereka.

 

Perkataan (ولنحمل) berupa perintah tetapi membawa maksud al-Khabar iaitu “dan kami akan memikul”. Faedahnya ialah menjadikan perkara yang diberitakan sebagai satu perkara yang mesti dan pasti.

 

 

 

 Al-Haqiqah (Erti tersurat) dan al-Majaz (Erti tersirat)

 

Melihat kepada penggunaan, al-Kalam (percakapan), ia dapat dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu al-Haqiqah (erti tersurat) Dan al-Majaz (erti tersirat):

 

1. Al-Haqiqah (erti tersurat) ialah:

 Lafaz yang digunakan untuk makna asal.

 

Contohnya lafaz singa digunakan untuk maksud seekor binatang yang bertaring.

 

Penjelasan lanjut tentang definisi di atas adalah seperti berikut:

 

Berdasarkan yang digunakan maka terkeluarlah lafaz yang tidak digunakan di mana ianya tidak dinamakan al-Haqiqah mahupun al-Majaz.

 

Berdasarkan untuk makna asal maka terkeluarlah al-Majaz.

 

Al-Haqiqah terbahagi kepada tiga bahagian iaitu:

 

1.1- Al-Haqiqah al-Lughawiyyah (erti tersurat dari sudut Bahasa Arab) iaitu:

Lafaz yang digunakan untuk makna asal dalam bahasa.

 

Berdasarkan definisi dalam bahasa maka terkeluarlah al-Haqiqah al-Syar'iyyah (erti tersurat dari sudut Syara') dan al-Haqiqah al-'Urfiyyah (erti tersurat dari sudut adat).

 

Contohnya ialah solat yang mana al-Haqiqah al-Lughawiyyahnya (erti tersuratnya dari sudut bahasa) ialah doa. Jadi solat difahami sebagai doa di sisi ahli bahasa.

 

1.2 - Al-Haqiqah al-Syar'iyyah (tersurat dari sudut Syara') iaitu:

 Lafaz yang digunakan untuk makna asal dalam Syara'.

 

Berdasarkan definisi dalam Syara' maka terkeluarlah al-Haqiqah al-Lughawiyyahnya (erti tersurat dari sudut bahasa) dan al-Haqiqah al-'Urfiyyah (erti tersurat dari sudut adat).

 

Contohnya ialah solat yang mana al-Haqiqah al-Syar'iyyahnya (erti tersuratnya dari sudut Syara') ialah kata-kata dan perbuatan-perbuatan yang sedia maklum yang bermula dengan takbir dan diakhiri dengan memberi salam. Jadi solat difahami sebagai perkara ini di sisi ahli Syara'.

 

1.3- Al-Haqiqah al-'Urfiyyah (erti tersurat dari sudut adat) iaitu:

 Lafaz yang digunakan untuk makna asal dalam adat.

 

Berdasarkan definisi dalam adat maka terkeluarlah al-Haqiqah al-Lughawiyyah (erti tersurat dari sudut bahasa) dan al-Haqiqah al-Syar'iyyah (erti tersurat dari sudut Syara').

 

Contohnya ialah lafaz daabbah (binatang jelata) yang mana Al-Haqiqah al-'Urfiyyahnya (erti tersuratnya dari sudut adat) ialah binatang yang mempunyai empat kaki. Jadi daabbah difahami sebagai binatang ini di sisi ahli adat.

 

Tujuan mengetahui tiga bahagian ini ialah agar kita memahami lafaz-lafaz yang diutarakan mengikut apa yang dikehendaki oleh asal pengunaannya. Kita memahami lafaz yang diutarakan oleh ahli bahasa mengikut Al-Haqiqah al-Lughawiyyah (erti tersurat dari sudut bahasa), lafaz yang diutarakan oleh ahli Syara' mengikut Al-Haqiqah al-Syar'iyyah (erti tersurat dari sudut Syara') dan lafaz yang diutarakan oleh ahli adat mengikut Al-Haqiqah al-'Urfiyyah (erti tersurat dari sudut adat).

 

 

2. Al-Majaz (erti tersirat) ialah:

 Lafaz yang digunakan untuk bukan makna asal.

 

Contohnya ialah lafaz singa yang digunakan untuk orang yang berani.

 

Berdasarkan defnisi yang digunakan maka terkeluarlah lafaz yang tidak digunakan di mana ianya tidak dinamakan al-Haqiqah (erti tersurat) mahupun al-Majaz (erti tersirat).

 

Berdasarkan untuk bukan makna asal maka terkeluarlah al-Haqiqah (erti tersurat).

 

Sesuatu lafaz itu tidak boleh digunakan mengikut makna majaznya kecuali dengan dalil sahih yang melarang penggunaan makna al-Haqiqah. Ini dinamakan Qarinah (petunjuk) dalam 'Ilm al-Bayan (ilmu Sastera).

 

Untuk menggunakan makna al-Majaz, adalah disyaratkan wujudnya kaitan antara makna al-Haqiqah dengan makna al-Majaz. Ini dinamakan al-‘Alaqah (kaitan) dalam 'Ilm al-Bayan (ilmu Sastera). Al-Alaqah ini terbahagi kepada dua iaitu:

 

2.1. Majaz al-musyabahah (erti tersirat yang berdasarkan persamaan). Al-Majaz ini dinamakan isti‘arah (pinjaman). Contohnya ialah penggunaan lafaz singa untuk lelaki berani.

 

2.2. Majaz ghair al-musyabahah (erti tersirat yang tidak berdasarkan persamaan). Al-Majaz ini terbahagi dua:

 

2.2.1. Al-Majaz al-Mursal (erti tersirat yang bebas). Al-Majaz ini ialah yang digunakan terhadap perkataan-perkataan. Contohnya dengan berkata, “رعينا المطر” (Kami telah berladangkan hujan). Perkataan “المطر” (hujan) membawa maksud al-Majaz untuk tanaman dan al-Majaz di sini dibuat dengan satu perkataan. Di antara kelompok al-Majaz al-Mursal (erti tersirat yang bebas) ialah:

 

2.2.1.1. al-Majaz bi al-ziadah (erti tersirat dengan penambahan). Contohnya firman Allah (al-Syura 42:11) - Maksudnya: Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

 

Para ulamak mengatakan bahawa huruf al-kaf (seperti) adalah tambahan untuk memperkuatkan lagi penafian apa-apa yang menyerupai Allah.

 

2.2.1.2. al-Majaz bi al-hazf (erti tersirat dengan penyembunyian). Contohnya  firman Allah (Yusuf 12:82) - Maksudnya: Dan tanyalah (penduduk) negeri.

 

Erti ayat ini ialah “Tanyalah penduduk negeri,” dan kita dapati lafaz penduduk disembunyikan dari sudut al-Majaz.

 

2.2.2. al-Majaz al-‘Aqli (erti tersirat dari sudut akal). Al-Majaz ini ialah yang digunakan terhadap sandaran. Contohnya dengan berkata, “أنبت المطر العشب ” (Hujan telah menghidupkan tanaman). Di sini kesemua perkataan digunakan mengikut al-Haqiqah (erti tersurat) asalnya. Akan tetapi sandaran penghidupan kepada hujan adalah al-Majaz (erti tersirat) kerana pada hakikatnya yang menghidupkan ialah Allah. Dapat diketahui di sini bahawa al-Majaz dibuat pada sandaran.

 

Sebenarnya al-Majaz mempunyai pelbagai cabangan yang boleh didapati di dalam 'Ilm al-Bayan (ilmu Sastera). Tujuan dibincangkan sedikit sebanyak tentang ilmu al-Haqiqah (erti tersurat) dan al-Majaz (erti tersirat) ialah kerana petunjuk lafaz-lafaz terbahagi dua, samada al-Haqiqah (erti tersurat) atau al-Majaz (erti tersirat). Jadi adalah perlu untuk kita mengetahui setiap satu daripadanya beserta hukum-hukumnya.

 

 

 

 Kandungan