Pengenalan Ringkas Kepada Ilmu Ushul al-Fiqh

al-Syaikh Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin

 

 

3-Al-'Ilm (Ilmu pengetahuan)

 

 

 

Definisi

 

Dari sudut istilah al-'Ilm ialah:

 

Pengetahuan tentang sesuatu perkara dalam bentuk yang sebenar dan pasti.

 

Contohnya ialah pengetahuan bahawa sesuatu benda yang menyeluruh adalah lebih besar daripada satu bahagiannya. Contoh lain ialah pengetahuan bahawa niat adalah syarat sah sesuatu amalan.

 

Penjelasan lanjut tentang definisi di atas adalah seperti berikut:

 

Berdasarkan pengetahuan tentang sesuatu maka terkeluarlah apa yang tidak diketahui secara menyeluruh. Ini dinamakan dengan jahl basit (kejahilan yang mudah).

 

Contohnya ialah apabila seseorang itu ditanya tentang waktu perang Badar, dia menjawab, “Saya tidak tahu.”

 

Berdasarkan dalam bentuk yang sebenar maka terkeluarlah pengetahuan tentang sesuatu perkara dalam bentuk yang tidak tepat. Ini dinamakan dengan jahl murakkab (kejahilan yang bertindih).

 

Contohnya ialah apabila seseorang itu ditanya tentang waktu perang Badar, dia menjawab, “Pada tahun ketiga hijrah.”

 

Berdasarkan dan pasti maka terkeluarlah pengetahuan tentang sesuatu dalam bentuk yang tidak pasti. Apabila wujud kemungkinan terhadap kebenaran sesuatu perkara, ia tidak dinamakan ilmu. Kemungkinan yang mirip kepada pendapat yang lebih kuat dinamakan zhan. Kemungkinan yang mirip kepada pendapat yang lemah dinamakan wahm. Manakala kemungkinan yang seimbang di antara dua pendapat dinamakan syak.

 

Dengan penjelasan ini, dapat dirumuskan bahawa pengetahuan terhadap sesuatu perkara terbahagi kepada 6 bahagian;

 

1- Al-'Ilm (ilmu pengetahuan) iaitu pengetahuan tentang sesuatu dalam bentuk yang sebenar dan pasti.

 

2- Al-Jahl al-basit (kejahilan yang mudah) iaitu tidak mempunyai pengetahuan sama sekali.

 

3- Al-Jahl al-murakkab (kejahilan yang bertindih) iaitu pengetahuan tentang sesuatu dalam bentuk yang tidak benar.

 

4- Al-Zhan (sangkaan) iaitu pengetahuan tentang sesuatu di mana peratus kemungkinan lebih kepada pendapat yang lebih kuat.

 

5- Al-Wahm (keraguan) iaitu pengetahuan tentang sesuatu di mana peratus kemungkinan lebih kepada pendapat yang lebih lemah.

 

6- Al-Syak (ketidak pastian) iaitu pengetahuan tentang sesuatu di mana peratus kemungkinan sama rata antara dua pendapat.

 

 

Pembahagian al-'Ilm (Ilmu pengetahuan)

 

Al-'Ilm (ilmu pengetahuan) boleh dibahagikan kepada dua bahagian:

 

1- Al-'Ilm al-Dharuri (pasti) iaitu pengetahuan yang jelas terhadap sesuatu perkara di mana ia dapat diketahui tanpa perlu kepada kajian dan hujah.

Contohnya ialah pengetahuan bahawa sesuatu perkara yang menyeluruh itu lebih besar daripada satu bahagiannya. Contoh lain ialah pengetahuan bahawa Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam adalah pesuruh Allah Ta'ala.

 

2- Al-'Ilm al-Nazari (kajian) iaitu pengetahuan yang memerlukan kepada kajian dan hujah.

 

Contohnya ialah pengetahuan bahawa niat adalah wajib untuk sah solat.

 

 

Kandungan