Pengenalan Ringkas Kepada Ilmu Ushul al-Fiqh

al-Syaikh Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin

 

 

12- Al-Naskh (Pemansuhan)

 

 

 

Definisi

 

Dari sudut Bahasa Arab al-Naskh ialah penghapusan dan pemindahan. Dari sudut istilah al-Naskh ialah:

Pemansuhan hukum satu dalil Syara' atau lafaznya dengan satu dalil dari al-Quran dan al-Sunnah.

 

Penjelasan lanjut tentang definisi di atas adalah seperti berikut:

 

Maksud pemansuhan hukum ialah pertukaran hukum dari wajib kepada mubah atau dari mubah kepada haram dan seumpamanya.

 

Berdasarkan definisi pemansuhan hukum maka terkeluarlah hukum yang gugur disebabkan ketiadaan syart (syarat) atau kewujudan mani' (penghalang). Contohnya ialah kewajipan zakat gugur apabila harta kurang daripada had tertentu. Kewajipan shalat gugur disebabkan kewujudan haid. Ini semua tidaklah dinamakan al-Naskh.

 

Maksud atau lafaznya ialah lafaz sesuatu dalil Syara' kerana al-Naskh itu boleh terlaksana kepada hukum sahaja atau lafaz sahaja atau kepada hukum serta lafaz sebagaimana yang akan diterangkan kelak.

 

Berdasarkan dengan satu dalil dari al-Quran dan al-Sunnah maka terkeluarlah dalil-dalil selain daripada al-Quran dan al-Sunnah seperti al-Ijma' dan al-Qiyas. Dalil Syara' tidak boleh dimansuhkan oleh al-Ijma' dan al-Qiyas.

 

 

al-Naskh (pemansuhan) diterima dari sudut akal dan benar-benar berlaku dari sudut Syara'.

 

- al-Naskh (pemansuhan) diterima dari sudut akal kerana pemerintahan dan hukum adalah di tangan Allah yang merupakan Tuhan pencipta dan pemilik. Allah berhak mensyariatkan untuk hamba-hambaNya apa sahaja menurut hikmat dan rahmatNya. Adakah akal menolak hak pemilik untuk memerintahkan hambanya menurut kehendaknya? Di samping itu, hikmah dan rahmat Allah menjurus ke arah pensyariatan perkara yang diketahui Allah akan memberi manfaat kepada agama dan dunia mereka. Manfaat-manfaat ini pula berbeza menurut keadaan dan masa. Pada sesuatu masa atau tempat, satu hukum adalah lebih bermanfaat untuk hamba dan pada masa atau tempat lain satu hukum lain adalah lebih bermanfaat. Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

 

- al-Naskh benar-benar berlaku dari sudut Syara' berdasarkan dalil-dalil seperti berikut:

 

Firman Allah Ta‘ala (al-Baqarah 2:106) - Maksudnya: Ayat mana saja yang Kami mansuhkan, atau Kami jadikan (manusia) lupa kepadanya,  Kami datangkan yang lebih baik daripadanya atau yang setanding dengannya.

 

Firman Allah Ta‘ala (al-Anfal 8:66) - Maksudnya: Sekarang Allah telah meringankan kepadamu.

 

Firman Allah Ta‘ala (al-Baqarah 2:187) - Maksudnya: Maka sekarang campurilah mereka

 

Ini semua merupakan nas penukaran hukum terdahulu.

 

 

Sabda Rasulullah s.a.w. :

 

نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا.[1]

 

Maksudnya: Aku pernah melarang kamu daripada menziarahi perkuburan. Sekarang pergilah menziarahinya.

 

Ini merupakan nas penukaran larangan menziarahi kubur.

 

 

 

Perkara yang tidak boleh dimansuhkan 

  1. Pengkhabaran. Ini kerana al-Naskh hanya berlaku pada hukum. Sekiranya salah satu daripada dua berita dimansuhkan, ini bermakna salah satu daripadanya adalah bohong sedangkan pembohongan adalah mustahil berlaku dalam berita-berita Allah dan RasulNya.

     

    Dikecualikan daripada perkara ini apabila hukum itu datang dalam bentuk berita, di sini ianya boleh dimansuhkan. Contohnya firman Allah (al-Anfal 8:65) - Maksudnya: Jika ada dua puluh orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh dan jika ada seratus orang (yang sabar) di antaramu, mereka dapat mengalahkan seribu daripada orang-orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti.

     

    Ayat ini berupa berita dan mengandungi makna perintah. Oleh itu, ianya telah dimansuhkan oleh ayat berikut (al-Anfal 8:66) - Maksudnya: Sekarang Allah telah meringankan kepadamu dan Dia telah mengetahui bahawa padamu ada kelemahan. Maka jika ada di antaramu seratus orang yang sabar nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang, dan jika di antaramu ada seribu orang (yang sabar), nescaya mereka dapat mengalahkan dua ribu orang dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar..

     

  2. Hukum-hukum yang merupakan maslahah/manfaat pada setiap zaman dan tempat seperti Tauhid, dasar-dasar Iman, dasar-dasar ibadat, kemuliaan akhlak seperti benar, kehormatan diri, budiman, keberanian dan sebagainya. Perkara-perkara ini tidak boleh dimansuhkan. Begitu juga dengan larangan terhadap semua perkara keji pada setiap zaman dan tempat seperti syirik, kufur, kekejian akhlak seperti menipu, sombong, bakhil, penakut dan lain-lain. Ini kerana semua aspek Syariat adalah demi membawa manfaat kepada hamba dan menolak kefasadan daripada mereka.

 

Syarat-syarat al-Naskh

  1. Tidak dapat dijamak antara dua dalil. Jika dapat dijamak, naskh tidak dibenarkan kerana dengan jamak kedua-dua dalil dapat diamalkan.

     

  2. Dapat diketahui kelewatan tarikh dalil yang nasikh (yang memansuhkan) samada dengan nas, pemberitahuan sahabat atau tarikh.

     

    Contoh nas yang menjelaskan kelewatan dalil nasikh (yang memansuhkan) ialah sabda Rasulullah s.a.w.:

     

    يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي قَدْ كُنْتُ أَذِنْتُ لَكُمْ فِي الاِسْتِمْتَاعِ مِنْ النِّسَاءِ

     

    وَإِنَّ اللَّهَ قَدْ حَرَّمَ ذَلِكَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ.[2]

     

    Maksudnya: Wahai sekelian manusia, sesungguhnya aku pernah membenarkan kamu bermut‘ah dengan wanita. Maka sesungguhnya Allah telah mengharamkannya sehingga ke hari kiamat.

     

    Contoh pemberitahuan sahabat tentang kelewatan dalil nasikh (yang memansuhkan) ialah kata-kata Aisyah:[3]

     

    كَانَ فِيمَا أُنْزِلَ مِنْ الْقُرْآنِ عَشْرُ رَضَعَاتٍ مَعْلُومَاتٍ يُحَرِّمْنَ

     

    ثُمَّ نُسِخْنَ بِخَمْسٍ مَعْلُومَاتٍ.[4]

     

    Maksudnya: Dahulu, di antara yang turun daripada al-Quran ialah “Sepuluh kali susuan yang diketahui mengharamkan” kemudian ianya dimansuhkan dengan lima kali susuan yang diketahui.

     

    Contoh pengetahuan tarikh kelewatan dalil nasikh (yang memansuhkan) ialah firman Allah Ta’ala (al-Anfal 8:66) - Maksudnya: Sekarang Allah telah meringankan kepadamu.

     

    Dalam ayat ini perkataan al-aan (sekarang) menunjukkan hukum ini adalah yang terkemudian.

     

    Begitu juga sekiranya didapati Rasulullah s.a.w. telah mengeluarkan satu hukum sebelum hijrah kemudian mengeluarkan satu hukum lain selepas hijrah yang bertentangan, hukum yang kedua adalah nasikh (yang memansuhkan).

     

  3. Dalil yang nasikh mestilah sabit. Jumhur mensyaratkan dalil tersebut hendaklah lebih kuat daripada dalil yang mansukh (yang dimansuhkan). Di sisi mereka, walaupun hadith ahad sabit, ianya tidak boleh memansuhkan hadith mutawatir. (Walaubagaimanapun) pendapat yang rajih (lebih kuat) ialah tidak mensyaratkan dalil yang nasikh itu lebih kuat. Ini kerana perkara yang dimansuhkan ialah hukum dan kesabitan hukum tidak disyaratkan melalui jalan mutawatir.[5]

 

 

Bentuk-bentuk al-Naskh

 

Melihat kepada nas yang dimansuhkan, dapatlah dibahagikan al-Naskh kepada tiga bentuk:

 

Apa yang dimansuhkan hukumnya dan kekal lafaznya.

Bentuk ini banyak terdapat dalam al-Quran.

 

Contohnya: dua ayat al-Musabarah (sabar teguh dalam menentang musuh) iaitu firman Allah Ta’ala (al-Anfal 8:65) - Maksudnya: Jika ada dua puluh orang yang sabar di antara kamu nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh dan jika ada seratus orang (yang sabar) di antaramu, mereka dapat mengalahkan seribu daripada orang-orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti.

 

Ayat ini telah dimansuhkan hukumnya dengan firman Allah (al-Anfal 8:66) - Maksudnya: Sekarang Allah telah meringankan kepadamu dan Dia telah mengetahui bahawa padamu ada kelemahan. Maka jika ada di antaramu seratus orang yang sabar, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang, dan jika di antaramu ada seribu orang (yang sabar), nescaya mereka dapat mengalahkan dua ribu orang dengan izin Allah dan Allah berserta orang-orang sabar.

 

Hikmah naskh (pemansuhan) hukum tanpa lafaz ialah pengekalan pahala tilawah dan peringatan bagi umat ini akan hikmah naskh (pemansuhan).

 

Apa yang dimansuhkan lafaznya dan kekal hukumnya.

Contohnya: ayat rejam di mana telah sabit di dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim daripada hadith Ibnu Abbas r.a. bahawa Umar bin al-Khattab r.a. telah berkata:

 

فَكَانَ مِمَّا أُنْزِلَ عَلَيْهِ آيَةُ الرَّجْمِ قَرَأْنَاهَا وَوَعَيْنَاهَا وَعَقَلْنَاهَا

 

فَرَجَمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَجَمْنَا بَعْدَهُ

 

فَأَخْشَى إِنْ طَالَ بِالنَّاسِ زَمَانٌ أَنْ يَقُولَ قَائِلٌ مَا نَجِدُ الرَّجْمَ فِي كِتَابِ اللَّهِ

 

فَيَضِلُّوا بِتَرْكِ فَرِيضَةٍ أَنْزَلَهَا اللَّهُ وَإِنَّ الرَّجْمَ فِي كِتَابِ اللَّهِ حَقٌّ عَلَى مَنْ زَنَى

 

إِذَا أَحْصَنَ مِنْ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ إِذَا قَامَتْ الْبَيِّنَةُ أَوْ كَانَ الْحَبَلُ أَوْ الاِعْتِرَافُ.[6]

 

Maksudnya: “Di antara ayat yang diturunkan ialah ayat rejam. Kami telah membacanya, memahaminya dan menghafalnya. Rasulullah telah merejam dan kami telah merejam selepas Baginda wafat. Aku khuatir kelak apabila masa berpanjangan bagi manusia, akan timbul orang yang berkata, “Demi Allah kami tidak mendapati hukum rejam dalam kitab Allah.” Dengan itu mereka akan sesat kerana meninggalkan satu fardhu yang diturunkan oleh Allah. Sesungguhnya dalam kitab Allah rejam adalah benar/hak ke atas orang yang berzina sesudah berkahwin baik lelaki mahupun perempuan apabila wujud bukti, atau bunting atau pengakuan.”

 

Hikmat naskh lafaz tanpa hukum ialah sebagai satu ujian terhadap umat ini di dalam beramal dengan sesuatu yang tidak mereka dapati lafaznya dalam al-Quran dan penekanan iman mereka terhadap apa yang Allah turunkan. Ini bercanggahan dengan keadaan Yahudi yang cuba menyembunyikan nas rejam dalam Taurat.

 

Apa yang dimansuhkan hukum dan lafaznya, seperti naskh (pemansuhan) sepuluh kali susuan yang terdapat dalam hadith 'Aisyah (yang telah dikemukakan di atas)

 

 

Jenis-jenis al-Naskh

 

Melihat kepada dalil yang memansuhkan, al-Naskh boleh dibahagikan kepada empat bentuk:

 

Naskh al-Quran dengan al-Quran. Contohnya dua ayat al-musabarah.

 

Naskh al-Quran dengan al-Sunnah. Saya belum dapat contoh yang sesuai baginya.

 

Naskh al-Sunnah dengan al-Quran. Contohnya naskh menghadap Baitul Maqdis yang sabit dengan sunnah dengan menghadap Ka‘bah yang sabit dengan firman Allah (al-Baqarah 2:144) - Maksudnya: Palingkanlah mukamu ke arah al-Masjid al-Haram dan di mana saja kamu berada, palingkahlah mukamu ke arahnya.

 

Naskh al-Sunnah dengan al-Sunnah. Contohnya hadith:

 

وَنَهَيْتُكُمْ عَنْ الأَشْرِبَةِ فِي الأَوْعِيَةِ فَاشْرَبُوا فِي أَيِّ وِعَاءٍ شِئْتُمْ وَلاَ تَشْرَبُوا مُسْكِرًا.[7]

       

Maksudnya: Dan aku pernah melarang kamu daripada minuman yang disimpan dalam bekas-bekas tertentu. Minumlah dalam apa sahaja bekas yang kamu suka, cuma jangan minum minuman yang memabukkan.

 

 

Hikmah al-Naskh 

 

Terdapat beberapa hikmat al-Naskh seperti berikut: 

  1. Memberi keutamaan kepada manfaat hamba-hamba dengan pensyariatan perkara yang lebih bermanfaat untuk mereka dalam agama dan dunia.

     

  2. Pengubahsuaian Syariat sehinggalah ke tahap sempurna.

     

  3. Menguji golongan mukallaf (yang bertanggungjawab) dalam kesanggupan dan keredhaan mereka menerima perubahan satu hukum kepada hukum lain.

     

  4. Menguji golongan mukallaf (yang bertanggungjawab) dalam perlaksanaan kesyukuran sekiranya al-Naskh itu kepada yang lebih ringan dan kesabaran sekiranya al-Naskh itu kepada yang lebih berat.


 

Kandungan

 

 


[1] Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz, Bab Isti'zan al-Nabi s.a.w. rabbah, No. 1623.

[2] Sahih Muslim, Kitab al-Nikah, Bab Nikah al-mut'ah… No. 2502.

[3] Sekalipun Aisyah radhiallahu 'anha ialah isteri Rasulullah s.a.w., beliau termasuk dalam keumuman definisi “Sahabat” iaitu orang yang pernah bertemu dengan Rasulullah s.a.w. dalam keadaan mereka beriman. (penyunting)

[4] Sahih Muslim, Kitab al-Ridha', Bab al-Tahrim bi khams radha'at, No. 2634.

[5] Maksud hadis ahad dan mutawatir akan diterangkan dalam Bab ke 13 (al-Akhbar – Hadith-hadith)

[6] Sahih Muslim, Kitab al-Hudud, Bab Rajm al-Tsaiyib fi al-zina, No. 3201.

[7] Sunan al-Nasa'i, Kitab al-Asyribah, Bab al-Idzn fi syai' minha, No. 5559. Hadis sahih, lihat Sahih Sunan al-Nasa'i oleh al-Albani, No. 5669. (penterjemah)