Pengenalan Ringkas Kepada Ilmu Ushul al-Fiqh

al-Syaikh Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin

 

 

11- Al-Zahir (Yang Jelas)

dan Al-Muawwal (Yang ditukar maksudnya)

 

 

 

Definisi al-Zahir (Yang Jelas)

 

Dari sudut bahasa Arab al-Zahir ialah perkara yang nyata dan jelas. Dari sudut istilah al-Zahir ialah:

Apa yang dengan sendirinya menunjukkan satu erti yang lebih kuat (rajih) bersama kemungkinan membawa erti lain.

 

Contohnya ialah sabda Rasulullah s.a.w. :

 

تَوَضَّئُوا مِنْ لُحُومِ الْإِبِلِ.[1]

 

Maksudnya: Ambillah wudhuk sembahyang selepas makan daging unta.

 

Erti yang zahir daripada hadith ini ialah berwudhuk (ambil air sembahyang) dengan membasuh empat anggota mengikut sifat yang dijelaskan Syara' dan hukumnya. Bukannya wudhuk yang bererti kebersihan.

 

Berdasarkan definisi apa yang dengan sendirinya menunjukkan satu erti maka terkeluarlah al-Mujmal (yang samar) kerana ianya tidak menunjukkan satu erti dengan sendirinya.

 

Berdasarkan definisi yang lebih kuat (rajih) maka terkeluarlah al-Muawwal (yang ditukar maksudnya) kerana ianya menunjukkan satu erti yang marjuh (lebih lemah) sekiranya ianya tidak mempunyai dalil.

 

Berdasarkan definisi bersama kemungkinan membawa erti lain  maka terkeluarlah nas sarih (yang terang) kerana ianya hanya membawa satu erti sahaja.

 

 

Beramal dengan al-Zahir (Yang Jelas)

Beramal dengan al-Zahir adalah wajib kecuali jika ada dalil yang mengalihnya dari zahirnya. Inilah cara para Salaf. Cara ini juga lebih berhati-hati, lebih melaksanakan tanggungjawab dan lebih kuat dalam peribadatan dan ikutan kepada sunnah.

 

 

Definisi al-Muawwal (Yang Ditukar Maksudnya)

 

Dari sudut bahasa Arab al-Muawwal membawa maksud kembali. Dari sudut istilah al-Muawwal ialah:

Apa yang dirujukkan lafaznya kepada erti yang lemah (marjuh)

 

Berdasarkan definisi kepada erti yang lemah (marjuh) maka terkeluarlah nas kerana ianya membawa satu erti dan al-Zahir kerana ianya membawa erti yang rajih (lebih kuat).

 

 

Jenis-jenis al-Ta'wil (Penukaran Maksud)

 

Al-Ta'wil (penukaran maksud) terbahagi dua:

 

Ta'wil yang sah dan diterima iaitu apa yang mempunyai dalil yang sahih seperti ta'wil firman Allah (Yusuf 12:82) - Maksudnya: Dan tanyalah 'negeri'. (ia ditakwil) kepada erti “tanyalah penduduk negeri” kerana negeri itu sendiri tidak boleh ditanya.

 

Ta'wil yang fasad dan ditolak iaitu apa yang tidak mempunyai dalil yang sahih seperti ta'wil golongan al-mu‘attilah (penolak sifat Allah) terhadap firman Allah (Taha 20:5) - Maksudnya: (Iaitu) Tuhan Yang Maha Pemurah, Yang berada tinggi di atas 'arasy.

 

(Golongan al-Mu‘attilah menakwilkannya) kepada erti “menguasai”. Sebenarnya erti “istiwa” ialah tinggi dan teguh tanpa perlu disoal cara mahupun dibuat persamaan.

 

 

 

Kandungan


 

[1] Musnad Ahmad, Awwal musnad al-kufiyin, Hadith Usaid bin al-Hudhair, No. 18309. Hadith sahih, lihat Sahih al-Jami' oleh al-Albani, No. 3006. (penterjemah