Pengenalan Ringkas Kepada Ilmu Ushul al-Fiqh

al-Syaikh Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin

 

1- Ushul al-Fiqh

 

Definisi

 Ushul al-Fiqh boleh diberi pengertian daripada dua sudut:[1]

 

  1. Sudut Pertama: Daripada sudut erti setiap satu daripada perkataan “ushul” dan “al-fiqh” secara berasingan.

 - “Ushul” adalah jama‘ (plural/jamak) kepada perkataan “ashl” yang bermaksud dasar, asas atau punca yang dibina benda lain di atasnya.

 

Contohnya: “ashl” bagi dinding ialah dasarnya. Contoh lain: “ashl” pokok ialah akar yang keluar darinya dahan-dahan. Firman Allah Ta'ala (Ibrahim 14:24):

 

Maksudnya: Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya menjulang ke langit.

 

- “al-Fiqh” dari sudut pengertian Bahasa Arab ialah kefahaman.

 

Contohnya: Firman Allah Ta'ala (Taha 20:27-28):

 

Maksudnya: Dan leraikanlah simpulan dari lidahku supaya mereka memahami kata-kataku.

 

- “al-Fiqh” dari sudut pengertian istilah ialah:

 

Pengetahuan terhadap hukum-hukum Syara‘ yang bersangkutan dengan amalan,

diambil dari dalil-dalil yang terperinci.

 

Pejelasan lanjut tentang definisi di atas adalah seperti berikut:

 

Maksud pengetahuan ialah ilmu dan Zhan[2]. Ini kerana kefahaman terhadap hukum-hukum fiqh terhasil samada secara yakin atau secara zhan seperti yang terdapat pada kebanyakan permasalahan fiqh.

 

Maksud hukum-hukum Syara‘ ialah hukum-hukum yang diambil dari Syara‘ seperti kewajipan dan pengharaman.

 

Dengan itu dua hukum berikut tidak termasuk dalam definisi di atas:

  1. Hukum-hukum akal seperti pengetahuan bahawa sesuatu yang sempurna adalah lebih besar dari sebahagiannya.

  2. Hukum-hukum adat seperti pengetahuan bahawa hujan akan turun di waktu petang sekiranya cuaca di sebelah pagi cerah (dalam musim hujan).

Maksud yang bersangkutan dengan amalan ialah apa yang tidak bersangkutan dengan kepercayaan (iktiqad). Contoh amalan ialah seperti solat dan zakat. Dengan itu apa yang bersangkutan dengan iktiqad seperti tauhid kepada Allah Ta'ala dan pengetahuan terhadap nama-nama dan sifat-sifatNya tidak termasuk sama.

Maksud diambil dari dalil-dalil yang terperinci ialah dalil-dalil yang bersangkutan dengan permasalahan-permasalahan terperinci al-fiqh. Dengan itu subjek Ushul al-fiqh tidak termasuk sama kerana ia adalah subjek yang berdasarkan dalil-dalil umum.

 

 

  1. Sudut Kedua adalah apabila digabungkan kedua-dua perkataan menjadi Ushul al-Fiqh sebagai satu gelaran bagi ilmu yang tertentu. Ilmu ini didefinisikan sebagai :

Satu ilmu yang mengkaji dalil-dalil al-fiqh yang umum  dan cara mengeluarkan hukum darinya serta keadaan orang yang mengeluarkan hukum tersebut.

 

Penjelasan lanjut tentang definisi di atas adalah seperti berikut: 

 

Maksud umum ialah kaedah yang umum seperti ‘perintah menunjukkan kewajipan’, ‘larangan menunjukkan pengharaman’ dan ‘kesahihan menuntut perlaksanaan’. Dengan itu dalil-dalil terperinci tidak termasuk sama. Namun adakalanya ia akan disebut juga sebagai contoh bagi menerangkan sesuatu kaedah.

Maksud cara mengeluarkan hukum darinya ialah pengetahuan bagaimana mengeluarkan hukum dari dalil-dalilnya dengan mengkaji hukum-hakam sesuatu lafaz dan pengertiannya samada umum, khas, dibiarkan, ditentukan, memansuhkan, dimansuhkan dan lain-lain.[3] Kefahaman terhadap perkara ini membolehkan seseorang itu mengeluarkan hukum dari dalil-dalil fiqh.

Maksud keadaan orang yang mengeluarkan hukum tersebut ialah pengetahuan terhadap keadaan orang yang mengeluarkan hukum dari dalil-dalil iaitu seorang mujtahid. Orang ini digelar sebagai mujtahid kerana dia telah sampai ke peringkat mampu berijtihad di mana dengan usahanya sendiri dia dapat mengeluarkan hukum dari dalil-dalilnya. Jadi pengetahuan tentang mujtahid, syarat-syaratnya, hukumnya dan lain-lain dikaji di dalam ilmu Ushul al-Fiqh.

 

 

 

Faedah mempelajari ilmu Ushul al-Fiqh

 

Ilmu Ushul al-Fiqh merupakan ilmu yang tinggi nilainya, amat penting dan banyak faedah. Antara faedahnya ialah: kemampuan untuk mengeluarkan hukum-hukum Syara‘ daripada dalil-dalilnya berlandaskan kaedah-kaedah yang betul.

 

Orang pertama yang mengumpulkan ilmu Ushul al-Fiqh secara berasingan daripada ilmu-ilmu lain seperti Ilmu al-Hadith, ialah al-Imam al-Syafe‘i Muhammad bin Idris rahimahullah lalu diikuti oleh para ulamak lain yang telah menyusunnya dalam pelbagai bentuk penulisan (samada biasa, syair, ringkasan dan teperinci).

 

 

 

Kandungan
 


[1] Dalam disiplin ilmu-ilmu Islam, maksud sesuatu perkataan akan dikupas dari dua atau tiga sudut, yang pertama dari sudut bahasa dan kedua dari sudut syara’ dan ketiga dari sudut adat. Perkara ini akan dikupas dengan lebih lanjut dalam Bab Ke-4 (al-Kalam) (penyunting).

[2] Zhan ialah sangkaan yang kemungkinan ketepatannya lebih tinggi

[3] Maksud istilah-istilah “umum, khas, dibiarkan” dan sebagainya akan diterangkan dalam bab-bab yang akan datang insya-Allah.