Pengenalan Ringkas Kepada Ilmu Ushul al-Tafsir

 

al-Syaikh Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin

(Fadlan bin Mohd. Othman)

 

 

 

 

Ali Bin Abu Talib

 

Beliau ialah sepupu Rasulullah s.a.w. dan suami kepada Fatimah puteri Baginda s.a.w. Beliau adalah kerabat Baginda yang pertama beriman. Dia dikenali dengan nama Ali bin Abi Talib. Kuniahnya (gelaran) ialah Abu al-Hasan dan Abu Turab.

Beliau dilahirkan 20 tahun sebelum kenabian Rasulullah s.a.w.. Beliau dijaga oleh Nabi s.a.w.. Beliau turut serta bersama Nabi s.a.w.  dalam semua peperangan. Beliau merupakan pemegang bendera dalam kebanyakan peperangan. Hanya sekali sahaja beliau tidak turut serta iaitu dalam peperangan Tabuk. Pada peperangan itu, Rasulullah s.a.w. melantiknya supaya menjaga kebajikan keluarga Baginda s.a.w.  dengan bersabda kepadanya:

 

أما ترضى أن تكون مني بمنزلة هارون من موسى، إلا أنه لا نبي بعدي.[1]

 

Maksudnya:

 

“Tidakkah engkau redha mendapat kedudukan bersamaku seperti Harun dengan Musa.

Bezanya ialah tiada nabi selepasku.”

     

       Ali mempunyai pelbagai kepujian dan kelebihan yang tidak dimiliki oleh sahabat lain. Dua golongan telah sesat dalam berurusan dengan Ali iaitu:

 

  • al-Nawasib (musuh): iaitu mereka yang menegakkan permusuhan dengannya dan cuba untuk menyembunyikan kepujiannya.

  • al-Rawafid (penolak): iaitu mereka yang melampaui batas dalam mencintainya dan mereka-reka kepujian-kepujian yang tidak diperlukan oleh Ali, bahkan sekiranya diteliti ianya adalah celaan-celaan belaka.

 

Ali amat dikenali dengan keberanian dan kecerdikannya di samping ilmu dan kesucian. Amir al-mukminin, Umar bin al-Khattab seringkali meminta perlindungan Tuhan daripada musibah pada masa ketiadaan Abu al-Hasan (Ali). Umar telah berkata (ketika ketiadaan Ali):

 

قضية ولا أبا حسن لها.

 

Maksudnya:

 

“Satu urusan yang berlaku semasa ketiadaan Abu Hasan untuk menyelesaikannya.”

 

Ungkapan ini telah digunakan sebagai salah satu contoh ilmu 'nahu' oleh para ahli bahasa.

Ali pernah berkata:

 

سلوني سلوني وسلوني عن كتاب الله تعالى.

 

فوالله ما من آية إلا وأنا أعلم أنزلت بليل أو نهار.

 

Maksudnya:

 

“Tanyalah aku, tanyalah aku dan tanyalah aku tentang kitab Allah. Demi Allah, tidak ada satu ayatpun kecuali aku tahu waktu mana ianya turun, samada malam atau siang.”

          

        Ibnu Abbas berkata:

 

إذا جاءنا الثبت عن علي لم نعدل به.

 

Maksudnya:

 

“Sekiranya datang keterangan daripada Ali, kami tidak akan mencari yang lain.”

 

 

Ibnu Abbas berkata lagi:

 

ما أخذت من تفسير القرآن فعن علي بن أبي طالب.

 

Maksudnya:

 

“Ilmu tafsir yang aku kumpul adalah daripada Ali bin Abi Talib.”

 

            Ali merupakan salah seorang ahli syura (jawatankuasa pemilihan) yang dilantik Umar untuk memilih khalifah. Abdul Rahman bin Auf telah menawarkan pemerintahan kepadanya tetapi beliau telah mensyaratkan beberapa perkara yang tidak dapat dipenuhi semuanya. Abdul Rahman pun memberi bai‘ah kepada Uthman diikuti dengan Ali dan seluruh manusia. Selepas Uthman, Ali dilantik menjadi khalifah sehinggalah beliau dibunuh sebagai syahid di al-Kufah pada 17 Ramadhan, tahun 41 Hijrah.


 

[1]               Hadith riwayat al-Bukhari: “Kitab Peperangan, Bab Peperangan Tabuk,” No. 4416, dan Muslim: “Kitab Kelebihan para sahabat, Bab Kelebihan Ali bin Abi Talib,” No. 6218.