|
||||
|
Antara Faedah Mengetahui Asbab Al-Nuzul (Sebab-Sebab Atau Punca-Punca Penurunan Al-Quran)
Mengetahui sebab-sebab (punca-punca) penurunan al-Quran amat penting kerana ia menghasilkan banyak faedah seperti:
1- Penjelasan bahawa al-Quran itu turun daripada Allah Ta‘ala. Kadang-kadang apabila Nabi s.a.w. ditanya tentang sesuatu, Baginda tidak menjawab. Sebaliknya, Baginda menunggu penurunan wahyu. Contohnya firman Allah Ta‘ala (al-Isra’ 17:85) - Maksudnya:
Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah “roh itu termasuk urusan Tuhanku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit.”
Abdullah bin Mas‘ud menerangkan bahawa:
أن رجلا من اليهود قال: يا أبا القاسم ما الروح؟
فسكت، وفي لفظ: فأمسك النبي صلى الله عليه وسلم، فلم يرد عليهم شيئا،
فعلمت أنه يوحى إليه، فقمت مقامي، فلما نزل الوحي قال
(وَيَسْأَلونَكَ عَنِ الرُّوحِ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُمْ مِنَ الْعِلْمِ إِلاَّ قَلِيلاً)[1]
Maksudnya:
Seorang Yahudi telah bertanya, “Wahai Abu al-Qasim, apa itu ruh?” Baginda diam dan tidak menjawab. Aku dapat tahu bahawa wahyu sedang turun lalu aku terus menunggu. Selepas selesai wahyu turun, Baginda membaca (yang bermaksud): “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah “Roh itu termasuk urusan Tuhanku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit.”
Ada masanya pula, Baginda tidak mengetahui sesuatu perkara yang berlaku, tetapi wahyu turun menerangkan perkara itu. Contohnya firman Allah Ta‘ala (al-Munafiqun 63:8) - Maksudnya: Mereka berkata “Sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah, benar-benar orang yang kuat akan mengusir orang-orang yang lemah daripadanya.”
Zaid bin Arqam menerangkan bahawa:
أنه سمع عبد الله ابن أبى رأس المنافقين يقول ذلك،
يريد أنه الأعز ورسوله الله صلى الله عليه وسلم وأصحابه الأزل،
فأخبر زيد عمه بذلك، فأخبر به النبي صلى الله عليه وسلم،
فدعا النبي صلى الله عليه وسلم زيدا فأخبره بما سمع
ثم أرسل إلى عبد الله ابن أبيه وأصحابه، فحلفوا ما قالوا،
فصدقهم رسول الله صلى الله عليه وسلم،
فأنزل الله تصديق زيد في هذه الآية ؛
فاستبان الأمر رسول الله صلى الله عليه وسلم.[2]
Maksudnya:
Beliau mendengar ketua golongan munafik iaitu Abdullah bin Ubai berkata demikian (seperti dalam ayat). Dia maksudkan dialah yang lebih mulia dan Rasulullah serta sahabatnya yang lebih hina. Zaid memberitahu pakciknya dan pakciknya memberitahu Rasulullah s.a.w.. Baginda memanggil Zaid dan Zaid telah menerangkan apa yang dia dengar. Baginda memanggil Abdullah bin Ubai dan pengikutnya dan mereka bersumpah bahawa mereka tidak mengatakan demikian dan Baginda percaya pengakuan mereka. Allah Ta‘ala menurunkan ayat ini sebagai membenarkan kata-kata Zaid. Dengan itu barulah jelas perkara sebenarnya kepada Rasulullah s.a.w..
2- Penjelasan bahawa Allah Ta‘ala mengambil berat tentang rasulNya dengan mempertahankannya. Contohnya firman Allah Ta‘ala (al-Furqan 25:32)- Maksudnya:
Berkatalah orang-orang yang kafir “Mengapa al-Quran itu tidak diturunkan kepadanya sekali turun sahaja?” Demikianlah supaya Kami perkuat hatimu dengannya dan Kami membacakannya secara tartil (teratur dan benar).
Begitu juga ayat-ayat al-Ifk (tuduhan) yang mempertahankan dan menyucikan orang rumah Baginda daripada usaha keji pembuat tuduhan.
3- Penjelasan bahawa Allah Ta‘ala mengambil berat tentang hamba-hambaNya dengan meleraikan musibah-musibah dan menghilangkan kesusahan mereka. Contohnya ialah ayat tayammum. Dalam sebuah hadis diterangkan:
أنه ضاع عقد لعائشة رضي الله عنها ، وهي مع النبي صلى الله عليه وسلم في بعض أسفاره
فأقام النبي صلى الله عليه وسلم لطلبه، وأقام الناس على غير ماء،
فشكوا ذلك إلى أبي بكر، فذكر الحديث وفيه:
فأنزل الله أية التيمم فتيمموا فقال أسيد بن حضير: ما هي بأول بركتكم يا آل أبي بكر.[3]
Maksudnya:
Rantai ‘Aisyah telah hilang semasa beliau bersama Rasulullah s.a.w. dalam satu pengembaraan. Bagindapun tidak berganjak kerana ingin mencari rantai itu. Orang ramai juga tidak berganjak dan bekalan air mereka sudah habis. Mereka mengadu kepada Abu Bakar … Maka Allah Ta‘ala menurunkan ayat tayammum lalu merekapun bertayammum. Seorang sahabat iaitu Usaid bin Hudair berkata, “Ini bukanlah keberkatan pertama bagi kamu semua wahai keluarga Abu Bakar.”
4- Kefahaman ayat dengan tepat. Contohnya firman Allah Ta‘ala (al-Baqarah 2:158) - Maksudnya: Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian dari syiar Allah. Maka barangsiapa yang beribadah haji ke baitullah atau berumrah, maka tidak ada dosa baginya mengerjakan sa‘i antara keduanya.
Zahir daripada perkataan فَلا جُنَاحَ عَلَيْهِ (yang bermaksud: Maka tiada dosa baginya) ialah hukum sa‘i antara Safa dan Marwah ialah mubah (harus).
‘Asim bin Sulaiman berkata:
سألت أنس بن مالك رضي الله عنه عن الصفا والمروة،
قال: كنا نرى أنهما من أمر الجاهلية، فلما كان الإسلام أمسكنا عنهما،
فأنزل الله تعالى: ( إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ ) إلى قوله: (أَنْ يَطَّوَّفَ بِهِمَا).[4]
Maksudnya:
Aku telah bertanya Anas bin Malik tentang Safa dan Marwah. Beliau menjawab, “Dahulu kami menganggapnya amalan Jahiliyah. Jadi apabila datang Islam, kami tidak bersa‘i antaranya. Maka Allah Ta‘ala turunkan (ayat yang bermaksud): “Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian dari syiar Allah.” …sehingga firmanNya (yang bermaksud): “Mengerjakan sa‘i antara keduanya.”
Dengan ini jelaslah bahawa yang dimaksudkan dengan “tiada keberatan” bukanlah penjelasan asal hukum sa‘i, akan tetapi yang dimaksudkan ialah penolakan rasa berat untuk melakukan sa‘i antara keduanya kerana menganggap sa‘i adalah amalan jahiliyah. Hukum sa‘i telah dijelaskan oleh Allah Ta‘ala dalam firmanNya (al-Baqarah 2:158) yang bermaksud: Sebahagian dari syiar Allah. [1] Hadith riwayat al-Bukhari: “Kitab Ilmu, Bab FirmanNya (Dan kamu tidak diberi ilmu kecuali sedikit),” No. 125, dan Muslim: “Kitab Sifat-sifat orang munafiq dan hukum-hukum mereka, Bab Soalan golongan Yahudi kepada Rasulullah s.a.w. berkenaan ruh,” No. 2794. [2] Hadith riwayat al-Bukhari: “Kitab al-Tafsir, Bab FirmanNya (Apabila datang kepada kamu orang-orang munafiq seraya berkata ‘Sesungguhnya engkau benar-benar pesuruh Allah’...),” No. 4900, dan Muslim: “Kitab Sifat-sifat orang munafiq dan hukum-hukum mereka, Bab Sifat-sifat orang munafiq dan hukum-hukum mereka,” No. 367. [3] Hadith riwayat al-Bukhari: “Kitab Tayammum, Bab FirmanNya (Maka kamu tidak menjumpai air maka bertayammumlah tanah yang suci maka sapulah muka dan tangan kamu dengannya),” No. 334, dan Muslim: “Kitab Haid, Bab Tayammum,” No. 367. [4] Hadith riwayat al-Bukhari: “Kitab Haji, Bab Apa yang berkenaan dengan sa’i antara Safa dan Marwah,” dan Muslim: “Kitab Haji, Bab Penerangan bahawa sa’i antara Safa dan Marwah adalah rukun yang tidak sah haji kecuali dengannya,” No. 1278.
|
||||