Pendahuluan:
Dr ‘Abd. al-Razzaq bin ‘Abd. al-Muhsin al-Badr
Secara hakiki jawapan terhadap golongan pembuat bid’ah serta penyeru
kepada hawa nafsu, membasmi kebatilan, kekeliruan serta kesesatan,
menyatakan keaiban perbuatan dan menjelaskan bahawa tindakan mereka
ini menyalahi kebenaran merupakan tanggungjawab penting para ilmuan
serta penuntutnya. Ini supaya golongan ini berhati-hati terhadap
kejahatan serta kesesatan mereka. Perkara ini merupakan sebahagian
dari melakukan kebaikan serta mencegah kemungkaran yang diperintah
hukum syariat. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah
berkata:
Kaum muslimin bersepakat menghukum penyeru kepada perbuatan bid’ah.
Hukuman ke atas pelakunya sama ada dibunuh atau tindakan yang lebih
ringan daripadanya. Ini sebagaimana hukuman bunuh yang dilaksanakan
oleh golongan salaf terhadap Jahm bin Safwan, Ja’d bin Dirham,
Ghailan al-Qadri serta selainnya. Sekiranya hukuman sebegini tidak
mampu dilaksanakan maka semestinya dinyatakan perbuatan bid’ah
(mereka kepada orang awam) dan (pembid’ah itu) diberikan amaran
serta ancaman. Ini merupakan sebahagian dari melakukan kebaikan
serta mencegah kemungkaran yang diperintah Allah serta rasul-Nya.
Beliau menambah:
Antara contoh golongan pembuat bid’ah ialah para penulis yang (hasil
penulisannya) menyalahi al-Qur’an dan al-Sunnah serta mereka yang
melakukan tatacara peribadatan yang menyalahi al-Qur’an dan
al-Sunnah. Kaum muslimin bersepakat menyatakan kedudukan serta
memberikan amaran terhadap sikap mereka. Ini sehinggakan dikatakan
kepada Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah:
“Seorang lelaki yang berpuasa, mendirikan solat serta menyendiri
lebih engkau kasihi atau seorang lelaki yang menyatakan perbuatan
golongan pembuat bid’ah?” Beliau menjawab: “Sekiranya dia berpuasa,
mendirikan solat serta menyendiri maka itu untuk dirinya. Adapun
menyatakan perbuatan golongan pembuat bid’ah ia untuk kaum muslimin,
maka ia lebih terutama dilakukan.”
Menyatakan perbuatan bid’ah dari aspek keagamaan kepada kaum
muslimin merupakan sebahagian dari jihad pada jalan Allah. Ia bagi
mempersucikan jalan Allah serta al-Din, manhaj serta
syariat-Nya dan menyatakan penolakan terhadap kesalahan golongan
pembuat bid’ah. Kaum muslimin bersepakat hukumnya adalah fardhu
kifayah. Sekiranya Allah tidak mewujudkan golongan yang berperanan
menolak marabahaya yang dilakukan golongan ini maka rosaklah
al-Din.
Di mana kerosakan ke atas al-Din lebih besar dari kerosakan
disebabkan penguasaan musuh ketika peperangan. Ini disebabkan
penguasaan musuh tidak merosakkan hati serta memberi pengaruh kecil
terhadap al-Din. Sebaliknya golongan pembuat bid’ah melakukan
kerosakan besar terhadap al-Din serta hati.
Walaupun perkara ini jelas namun wujud di zaman mutakhir
sebahagian individu serta kumpulan yang mendiamkan diri, tidak
mengambil berat dan memberikan amaran terhadap perbuatan yang
dilakukan golongan pembuat bid’ah serta menuruti hawa nafsu. Mereka
menyangka ia merupakan tanggungjawab yang dilakukan para penguasa.
Malahan sebahagian mereka menyatakan: “Kita semestinya melakukan
perdamaian serta bersatu padu”.
Tidak syak bahawa ini merupakan sikap yang merosakkan
serta memberi kesan besar terhadap Islam dan al-Sunnah. Ia memberi
kekuatan kepada golongan bid’ah serta menuruti hawa nafsu dalam
menyebarkan kesesatan mereka. Sikap ini menyalahi serta bercanggah
dengan al-Qur’an dan al-Sunnah. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah ketika
mengulas sekumpulan pembuat bid’ah yang berpegang dengan akidah
sesat namun melihatnya sebagai kebenaran lantas mengkufurkan sesiapa
yang menyalahi pegangan mereka berkata:
Golongan yang mengkufurkan orang lain secara batil ini tidak
memahami pegangan ahl al-Sunnah wa al-Jamaah sebagaimana
semestinya atau mengetahui sebahagian serta jahil sebahagian lain.
Apa yang mereka ketahui daripadanya mereka sembunyikan dari umat
Islam. Mereka tidak mencegah perbuatan bid’ah yang menyalahi
al-Qur’an dan al-Sunnah serta tidak mengutuk dan menghukum
pelakunya.
Sebaliknya golongan ini mencela kenyataan yang berdasarkan kepada
al-Qur’an dan al-Sunnah serta Usul al-Din. Mereka tidak
membezakan kenyataan al-Qur’an dan al-Sunnah serta Ijma’ dengan
kenyataan golongan pembuat bid’ah. Hakikatnya pendekatan ini
menguasai majoriti golongan Murji’ah, sufi, falsafah, hawa nafsu
serta ahli kalam. Ia menyalahi ketetapan al-Qur’an dan al-Sunnah.
Kewajipan ialah dengan menyatakan apa yang dinyatakan Allah dan apa
yang disabdakan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam serta
setia berpegang teguh kepada perjanjian Allah yang
dipertanggungjawabkan kepada para ulama’. Dalam konteks ini
merupakan suatu kewajipan mengetahui apa yang dibawa oleh para rasul
‘alayhimussolatuwassalam, beriman, menyampaikan serta menyeru
dan berjihad kepadanya. Selain itu menjadi suatu kewajipan mengukur
perkara yang bersangkutan urusan manusia sama ada perkataan dan
pengamalan dalam perkara pokok (al-Usul) serta cabang (al-Furu’)
yang menyangkut perkara batin serta zahir dengan al-Qur’an dan
al-Sunnah.
Sehubungan ini hendaklah dijauhi mengikuti hawa nafsu serta sangkaan
dari hadith yang lemah (doif) dan qiyas yang rosak (Fasid)
atau bertaklid kepada sesiapa yang tidak dibolehkan mengikuti
perkataan mahupun pengamalannya. Allah Subhanahu Wa Ta’ala
mencela menerusi al-Qur’an golongan yang mengikuti sangkaan serta
hawa nafsu lantas meninggalkan ikutan terhadap petunjuk-Nya.
Berdasarkan kenyataan Syeikh al-Islam Ibn Taymiyyah, ternyata
kebenaran ialah dengan berpegang teguh kepada al-Qur’an dan
al-Sunnah serta mengikuti apa yang bersesuaian dengan keduanya.
Penolakan dilakukan terhadap apa sahaja yang menyalahi keduanya
seperti kebatilan dan kesesatan.
Dalam konteks ini ternyata menerusi hasil penulisan
golongan ahl al-Sunnah wa al-Jamaah penolakan terhadap
golongan pembuat bid’ah serta menuruti hawa nafsu. Selain itu
terkandung di dalamnya nasihat kepada mengikuti Allah serta
rasul-Nya dan para pemimpin Islam (al-Aimmah). Ia merupakan
penjagaan terhadap sekalian kaum muslimin dari terjebak ke dalam
kebatilan yang termaktub menerusi hasil penulisan golongan pembuat
bid’ah yang menyebarkan kesesatan. Seorang tokoh salafi kontempelori
pernah berkata:
Sebagaimana wujudnya tempat pengasingan (kuarantin) kepada golongan
yang menghidapi penyakit berjangkit, maka tidakkah terlebih utama
golongan pembuat bid’ah menerima pengasingan yang serupa? Ini kerana
golongan yang menghidapi penyakit berjangkit hanya merosakkan jasad
sedangkan golongan pembuat bid’ah merosakkan hati serta al-Din.
Antara individu mutakhir yang menyebarluaskan perbuatan
bid’ah, fitnah, kebatilan serta kesesatan kepada umat ialah seorang
yang bernama Hassan bin Ali al-Saqqaf. Ini jelas menerusi
penulisannya bertajuk: al-Tandid bi man ‘Addada al-Tauhid: Ibtal
Muhawalah al-Taslith fi al-Tauhid wa al-‘Aqidah al-Islamiyah.
Dia berani menghukum ke atas umat Islam yang mentauhidkan Allah dari
sudut Rububiyah, Uluhiyyah serta Asma’ wa al-Sifat
sebagai golongan yang menganuti akidah Triniti.
Umum mengetahui, Triniti merupakan akidah penganut
Kristian yang merosakkan. Allah Subhanahu Wa Ta’ala
menyatakan dalam al-Qur’an hukum kafir kepada golongan sebegini.
Tidakku sangka Hassan bin Ali al-Saqqaf sanggup menyatakan sebegini
terhadap kaum muslimin.
Menerusi penulisannya tersingkap pelbagai jenis keganjilan
serta penyakit kronik sehingga mengeluarkan lelaki ini dari kategori
ilmuan serta orang yang berakal. Setelah melakukan penelitian maka
dapat disimpulkan kedudukan Hassan bin Ali al-Saqqaf seperti
berikut:
-
Dia seorang
Jahmiyyan tulin. Dia mengatakan Tuhan tidak
mensifati diri-Nya di luar atau di dalam alam. Dia menisbahkan
pandangan palsu ini kepada ahl a-Sunnah wa al-Jamaah.
-
Dia memalsukan serta mengubah kenyataan para ilmuan.
-
Dia banyak melakukan pembohongan serta putar belit.
-
Dia banyak mengeluarkan ungkapan tidak sopan serta kotor lagi
memalukan terhadap ilmuan ahl al-Sunnah. Antara kenyataannya
berbunyi: “al-Mutamaslifin (golongan yang mendakwa sebagai
salafi)”, hlm. 6, “yang memiliki pemikiran cetek lagi dungu”, hlm.
12, “ambilllah dengan kemegahan engkau mempertubuhkan Tuhan wahai
Ibn al-Qayyim!”, hlm. 17, “ia merupakan dalil pemutus di sisi
pembaca yang cerdik bahawa sesiapa yang menyeru kepada tauhid al-Asma’ wa al-Sifat maka dia adalah penyembah berhala (al-Wathaniyyah)”,
“si pembuat bid’ah lagi penipu (al-Mubtadi’ah al-Karrasun)”,
hlm. 23, “yang mempertubuhkan Tuhan (al-Mujassamah)”, hlm.
37, “yang mempertubuhkan lagi menyerupakan Tuhan dengan makhluk (al-Mujassamah
al-Musyabbihah)”, hlm. 40 dan “apa yang kami lihat dari golongan
al-mutamaslifin ini mereka menyeru kepada akidah
mempertubuhkan Tuhan serta akidah berhala yang diperangi Islam”,
hlm. 60
Tidak syak bahawa antara tanda golongan pembuat bid’ah ialah mereka
mengutuk golongan ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Ishaq bin
Rahawaih berkata:
Tanda bagi golongan
al-Jahmiyyah serta pengikutnya ialah
mereka secara dusta suka melabelkan golongan ahl al-Sunnah
sebagai golongan menyerupakan Tuhan dengan makhluk (al-Musyabbihah)
serta membatalkan sifat Tuhan (al-Mu’thillah). Majoriti
pemimpin salaf berkata: tanda bagi golongan al-Jahmiyyah
ialah mereka suka menggelarkan golongan ahl al-Sunnah sebagai
golongan menyerupakan Tuhan dengan makhluk (al-Musyabbihah).
-
Antara tokoh pembuat bid’ah mutakhir yang menjadi rujukannya ialah
Muhammad Zahid al-Kauthari. Sehubungan ini Hassan bin Ali al-Saqqaf
banyak mengambil kenyataan dia. Kadangkala dengan menyebut namanya (hlm.
38-39) atau tidak menyebutkan namanya (hlm. 11) atau menyatakannya
di bahagian notakaki (hlm. 27).
-
Dia memandang rendah kedudukan sebahagian hadith. Ini jelas menerusi
kenyataannya berbunyi: “Mereka amat berbangga dengan mengambil dalil
berdasarkan hadith jariah”. (hlm. 55)
Berdasarkan faktor di atas, menjadi kewajipan kepadaku memberi
amaran serta mengungkapkan kekeliruan, kebatilan dan kesesatan dia.
Ini bagi mempertahankan kebenaran dan al-Sunnah, para ulama serta
sekalian kaum muslimin. Dalam konteks ini penjelasan berdasarkan
kepada sebahagian isi kandungan penulisan sahaja. Ia berfungsi
sebagai penunjuk jalan serta mengelakkan huraian yang berjela-jela.
Sekiranya dia mendiamkan diri serta menyibukkan diri menghasilkan
penulisan yang berasaskan hukum syariat maka ini lebih baik baginya.
Kami memohon kepada Allah supaya memberi hidayah kepada Hasan bin
Ali al-Saqqaf serta golongan yang menyesatkan kaum muslimin supaya
kembali kepada kebenaran serta jalan yang lurus.
‘Abd. al-Razzaq bin ‘Abd. al-Muhsin al-Badr
|