|
PANDUAN SOLAT SUNAT CARA NABI S.A.W.
Penulis: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
Disemak oleh: Ustaz Mohd Fikri Che Hussain |
|
PENUTUP
Demikianlah perbahasan mengenai solat-solat sunat dan hal-hal berkaitan dengannya. Terdapat beberapa solat sunat yang lazimnya diamalkan di Malaysia namun sengaja penulis tinggalkan perbahasannya di sini di atas faktor kelemahan atau kepalsuan dalil yang menyokongnya mahupun kerana tidak ada dalil langsung yang menunjangi solat tersebut. Di antara beberapa contoh solat-solat tersebut adalah:
1) Solat Tasbih. Walaubagaimanapun hukum mengerjakan solat Tasbih ini masih diperselisihkan di kalangan para ulamak. Ulamak hadis berbeza pendapat tentang darjat hadis yang menyokong solat ini. Menurut Imam al-Nawawi rahimahullah :
“Disunnahkannya solat Tasbih masih menjadi perselisihan kerana hadisnya lemah dan di dalamnya terdapat perubahan aturan tatacara solat yang telah baku, maka sebaiknya tidak dikerjakan kerana tidak ada hadis sahih yang boleh dijadikan dalil.” – al-Majmu’, jilid 3, ms. 548. Penulis nukil dari kitab Shahih Fiqh as-Sunnah karya Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim jilid 1, ms. 677.
2) Solat Ihram. Sebenarnya yang lebih tepat adalah untuk berniat ihram setelah melaksanakan solat fardu atau sunnah. Menurut Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah: “Apabila ada solat fardu yang harus dilaksanakan maka hendaklah melakukan ihram setelah solat tersebut. Apabila tiada, maka tiada ketetapan solat untuk ihram, ini adalah pendapat yang lebih kuat.” – Dinukil dari buku karya Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim bertajuk Shahih Fiqh as-Sunnah, jilid 2, ms. 320-321.
3) Solat Qiyam al-Lail sempena hari-hari perayaan dalam Islam seperti Hari Raya Aidiladha dan Aidilfitri, Nuzul Qur’an, Israk Mikraj, Nisfu Sya’ban, Mawlidurrasul, Hari ‘Asyura dan lain-lain.
4) Solat al-Raghaib yang dikerjakan pada malam Jumaat minggu pertama bulan Rejab.
5) Solat ketika hendak memulakan musafir.
6) Solat Awwabin di antara Maghrib dan Isyak.
7) Solat sunat pada hari Rabu minggu terakhir bulan Safar untuk menolak bala.
8) Solat Nikah yang dikerjakan oleh pasangan pengantin setelah selesai diakad-nikahkan. Apa yang lebih bertepatan dengan sunnah adalah mengerjakan sujud shukur. Apa itu sujud shukur? Ia adalah sujud yang dilakukan seseorang ketika mendapatkan limpahan nikmat, menerima sesuatu berita yang menggembirakan atau ketika terhindar dari sebarang bentuk malapetaka. Sujud shukur ini adalah berdasarkan riwayat daripada Abu Bakrah radhiallahu 'anh:
عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ كَانَ إِذَا جَاءَهُ أَمْرُ سُرُورٍ أَوْ بُشِّرَ بِهِ خَرَّ سَاجِدًا شَاكِرًا لِلَّهِ.
Daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam apabila sampai kepada baginda suatu berita yang menggembirakan atau diberi khabar gembira, baginda bersujud sebagai tanda bersyukur kepada Allah. – Hadis riwayat Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Jihaad, no: 2393.
Sifat sujud syukur secara ringkasnya adalah seperti berikut:
9) Solat Hadiah yang dikerjakan oleh ahli keluarga si mati pada malam pertama kematian.
Adalah harapan penulis yang menggunung tinggi agar buku ini akan dapat meningkatkan keazaman semua pihak untuk bersungguh-sungguh dalam mencontohi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam perkara-perakara yang telah penulis perbincangkan di sini dan juga seluruh amal ibadah yang lain. Mencontohi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah bukti yang jelas bagi menunjukkan kecintaan kita kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagaimana firman-Nya:
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” - ali ‘Imraan (3): 31
Semoga dengan kesungguhan kita dalam mencontohi atau berittiba’ kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam kita akan termasuk dalam golongan yang mendapat rahmat Allah dan segala dosa kita diampunkan oleh-Nya.
Apakah itu ittiba’? Ittiba’ dari segi bahasa bermaksud mengikuti atau mencontohi. Bila dikatakan Ittiba’ al-Rasul ianya bermakna mencontohi baginda shallallahu ‘alaihi wasallam, mengikuti jejaknya dan menjadikannya sebagai contoh teladan yang baik. Ittiba’ dari segi syariat bermaksud mencontohi Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hal-hal berkaitan akidah, ibadah, akhlak, dakwah, politik, syariat dan muamalah dengan beramal seperti amalannya menurut cara yang baginda lakukan baik dalam perkara yang diklasifikasikan sebagai wajib, sunat, harus, makruh mahupun haram dengan disertai niat dan kehendak di dalamnya untuk mencapai keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Untuk kita lebih memahami konsep ittiba’ mari kita melihat kaedah-kaedah yang membelakanginya:
a) Agama Islam adalah agama yang ilmiah. Ianya ditegakkan di atas dasar dalil-dalil dari al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Ianya bukan satu agama yang didirikan menurut rekaan akal manusia dengan sewenang-wenangnya.
b) Hendaklah kita pastikan kesahihan sesuatu perkara berkaitan dengan hukum-hukum Islam sebelum kita mengamalkannya. Oleh itu setiap amal ibadah yang tidak didirikan atas dalil-dalil yang sah maka ianya terbatal. Ini sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ
Maksudnya: Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada (petunjuk) padanya, maka perbuatan itu tertolak. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 2697.
مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ
Maksudnya: Barangsiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama), maka perbuatan itu tertolak. - Hadis riwayat Imam Muslim, no: 1718.
c) Ittiba’ al-Rasul ialah mengamalkan segala yang dibawa oleh baginda dan meninggalkan segala larangannya. Jika baginda shallallahu ‘alaihi wasallam telah menetapkan sesuatu hukum maka tidak boleh sesiapapun yang menentangnya atau mengutamakan pandangan orang lain melebihi perintah baginda tersebut.
d) Apa juga bentuk-bentuk peribadatan yang ditinggalkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan tidak pernah dikerjakan oleh baginda padahal ianya boleh diamalkan pada masa baginda masih hidup, maka mengerjakannya adalah bid’ah dan meninggalkannya adalah sunnah. Ini adalah kerana Islam telah sempurna sebelum baginda wafat. Sekiranya sesuatu ibadah itu tidak wujud pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan ianya dianggap bukan sebahagian dari agama semasa itu maka sehingga kini ibadah itu juga dianggap tidak termasuk sebahagian dari Islam. Imam Malik rahimahullah berkata:
Sesiapa yang membuat bid’ah dalam Islam dan menganggapnya baik (hasanah) maka dia telah mendakwa Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman:
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ
Maksudnya: Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu. - al-Maaidah (5) : 3
Apa yang pada hari tersebut bukan sebahagian dari agama, maka ia tidak menjadi sebahagian dari agama pada hari ini. - Diriwayatkan oleh Imam al-Syathibi dalam al-I’tishom, jilid 1, ms. 49.
e) Segala perkara yang diperlukan dalam kehidupan seharian manusia telah diperjelaskan oleh syariat. Ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
وَيَوْمَ نَبْعَثُ فِي كُلِّ أُمَّةٍ شَهِيدًا عَلَيْهِمْ مِنْ أَنْفُسِهِمْ وَجِئْنَا بِكَ شَهِيدًا عَلَىٰ هَٰؤُلَاءِ
وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَىٰ لِلْمُسْلِمِينَ
Maksudnya: “Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang menggembirakan, bagi orang-orang Islam.” - al-Nahl (16) : 89
f) Syarat-syarat berkaitan ittiba’ adalah seperti berikut:
Ittiba’ al-Rasul ini merupakan agenda utama yang hendak diterapkan oleh penulis serta rakan-rakan seperjuangan dalam gerakan Tajdid menerusi buku-buku, risalah-risalah, forum-forum dan kuliah-kuliah kami. Mudah-Mudahan Allah Subhanahu wa Ta’ala memperkenankan permohonan kami dan hanya kepada Dialah kami memohon pertolongan dan perlindungan sebagaimana firman-Nya:
أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ
وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ
Maksudnya: Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi? Dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun yang dapat melindungi dan yang dapat memberi pertolongan. - al-Baqarah (2): 107
|