|
PANDUAN SOLAT SUNAT CARA NABI S.A.W.
Penulis: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
Disemak oleh: Ustaz Mohd Fikri Che Hussain |
|
MUKADIMAHبِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
أَنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا
مَنْ يَهْدِهِ اللَّهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ
وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
Maksudnya: Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Kepada-Nya kita memohon dan kepada-Nya jua kita meminta ampun. Kita memohon perlindungan kepada Allah dari kejahatan diri dan keburukan amal perbuatan. Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dia tidak akan mendapatkan kesesatan. Barangsiapa yang tersesat, maka tidak ada yang dapat memberikannya petunjuk kecuali hanya Dia. Saya bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah yang Maha Esa. Saya bersaksi bahawasanya Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. - Aali-‘Imraan (3) :102
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا
وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا
Maksudnya: Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. - al-Nisaa’ (4) : 1
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا
اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا.
يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ
وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ
فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا.
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat - benar (dalam segala perkara). Supaya Dia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan. - al-Ahzaab (33) : 70-71
إِنَّ أَصْدَقَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَأَحْسَنَ الْهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا
وَكُلُّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَكُلُّ ضَلاَلَةٍ فِي النَّارِ.
Maksudnya: Sesungguhnya perkataan yang paling benar adalah kitabullah. Sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam Sedangkan seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan dan semua yang diada-adakan adalah bid’ah. Semua yang bid’ah adalah sesat dan semua yang sesat tempat kembalinya adalah neraka. - Hadis riwayat imam al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab Sholat al-‘Iedaini, no: 1560.
Ibadah solat merupakan satu bentuk ibadah yang paling utama di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ianya merupakan rukun Islam yang kedua setelah mengucap dua kalimah syahadah. Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam pernah ditanya tentang apakah Islam, lantas baginda menjawab :
بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ
وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَالْحَجِّ وَصَوْمِ رَمَضَانَ
Maksudnya: Islam itu dibangunkan atas lima perkara, Syahadah bahawa tiada Tuhan kecuali Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasul Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, haji ke rumah Allah (Baitullah) dan puasa di bulan Ramadan. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Iman, no: 8.
Tidak seperti ibadah lain, kewajipan ibadah solat diwahyukan terus kepada Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam pada malam berlakunya peristiwa Israk Mikraj tanpa melalui perantaraan malaikat Jibril. Ini sebagaimana dijelaskan oleh Malik bin Anas radhiallahu’ anh:
فُرِضَتْ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِهِ الصَّلَوَاتُ خَمْسِينَ ثُمَّ نُقِصَتْ
حَتَّى جُعِلَتْ خَمْسًا ثُمَّ نُودِيَ يَا مُحَمَّدُ إِنَّهُ لاَ يُبَدَّلُ الْقَوْلُ لَدَيَّ وَإِنَّ لَكَ بِهَذِهِ الْخَمْسِ خَمْسِينَ
Maksudnya: Pada malam Israk difardukan kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam solat sebanyak lima puluh kali, kemudian dikurangkan hingga lima kali (sehari) kemudian diseru (oleh Allah), Wahai Muhammad! Sesungguhnya ketetapan-Ku tidak akan diubah. Dan bagimu dengan solat lima kali (sehari) akan mendapatkan pahala sebanyak solat lima puluh kali. - Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 197.
Ini menunjukkan keagungan dan keistimewaan ibadah solat yang melebihi ibadah-ibadah lain. Ibadah solat juga merupakan tiang yang asas bagi agama Islam dan sekiranya tiang ini runtuh maka runtuhlah segala-galanya berkaitan dengan agama. Ini sebagaimana sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:
رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلاَمُ وَعَمُودُهُ الصَّلاَةُ وَذِرْوَةُ سَنَامِهِ الْجِهَادُ
Maksudnya: Pangkal semua urusan agama adalah Islam, dan tiangnya adalah solat, dan puncak tertingginya adalah jihad. - Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Iman, no: 2541.
Ini dikuatkan lagi dengan kenyataan bahawa ibadah solat adalah penentu keimanan seseorang. Meninggalkan solat dengan sengaja boleh menyebabkan pelakunya gugur keimanannya. Ancaman ini pernah disuarakan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana sabdanya:
الْعَهْدُ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ الصَّلاَةُ فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ
Maksudnya: Perjanjian di antara kita (orang Islam) dan mereka (orang kafir) ialah solat, dan barangsiapa meninggalkan solat sesungguhnya dia telah menjadi seorang kafir. - Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Iman, no: 2545.
إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلاَةِ
Maksudnya: Sesungguhnya yang memisahkan antara seseorang dengan kesyirikan dan kekufuran adalah dengan meninggalkan solat. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Iman, no: 82.
Beginilah tingginya martabat ibadah solat di sisi Islam. Maka tidaklah menghairankan sekiranya perkara yang mula-mula dihisab pada hari akhirat nanti adalah ibadah solat. Jika seseorang itu tidak bersolat maka sia-sialah segala amal ibadahnya yang lain. Ini sebagaimana sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang diperjelaskan oleh Abu Hurairah radhiallahu’ anh:
إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلاَتُهُ فَإِنْ صَلُحَتْفَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ
Maksudnya: Sesungguhnya yang pertama kali dihisab bagi seseorang hamba pada hari kiamat dari amal-amalnya ialah solatnya, jikalau solatnya itu adalah baik maka dia termasuk dalam orang yang bahagia lagi beruntung dan jikalau amal solatnya rosak maka dia termasuk orang yang rugi dan tidak beruntung... - Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 378.
Oleh itu seharusnya seluruh umat Islam memberi perhatian yang tinggi terhadap kesempurnaan ibadah solat ini kerana implikasi ibadah solat terhadap diri kita semua sebagaimana yang telah saya paparkan di atas adalah begitu besar. Namun begitu dalam realiti hidup seharian pasti akan terdapat beberapa kekurangan tatkala kita melaksanakan ibadah solat. Adakalanya kita tidak khusyuk semasa solat, kita solat dalam keadaan yang tergesa-gesa kerana mengejar sesuatu tugasan, tersilap bacaan dalam solat dan lain-lain bentuk ketidak sempurnaan lagi. Maka untuk menampung kekurangan-kekurangan yang mungkin ada ketika perlaksanaan ibadah solat fardu tersebut kita seharusnya berusaha untuk melaksanakan ibadah solat sunat. Menurut Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah:
Pada hari kiamat, solat tathawwu’ (solat sunat) akan menyempurnakan yang fardu (solat wajib) jika si pelaku tidak menyempurnakan solatnya. – Di nukil dari kitab ‘Abdullah ‘Abdurrahman al-Bassam bertajuk Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, (edisi terjemahan dengan tajuk Syarah Bulughul Maram, Pustaka Azzam, Jakarta, 2006), jilid 2, ms. 379.
Menerusi buku ini penulis telah menerapkan beberapa metodologi penulisan agar ianya mudah difahami serta lengkap bersertakan dalil-dalil yang membelakangi setiap amalan agar ia dapat meyakinkan para pembaca bahawa solat-solat yang telah penulis bahaskan dalam buku ini sememangnya telah diamalkan serta diajar oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabatnya. Metodologi tersebut adalah seperti berikut :-
1) Penulis sedaya-upaya akan membahaskan topik-topik tersebut seadil mungkin dengan menggunakan al-Qur’an dan al-Sunnah sebagai neraca kerana Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam telah memberi jaminan bahawa selagimana kita berpegang kepada keduanya kita tidak akan tersesat selama-lamanya. Sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:
تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ
Maksudnya: Aku telah meninggalkan kepada kamu sekalian dua perkara yang kamu tidak akan sesat dengan keduanya, iaitu Kitabullah dan sunnah Nabi-Nya. - Hadis riwayat Imam Malik dalam al-Muwattha’, Kitab al-Jami’, no: 1395.
2) Sengaja penulis bahaskan segala topik dalam buku ini merujuk kepada kepelbagaian pandangan tanpa menghadkan kepada mazhab Syafi’i sahaja. Ini secara tidak langsung akan mendedahkan para pembaca kepada pandangan mazhab-mazhab lain dalam Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan dapat memperkayakan ilmu-ilmu fekah masing-masing. Sifat keterbukaan kepada pandangan-pandangan mazhab lain diharapkan akan dapat membasmi sikap taksub mazhab dalam masyarakat kita dan saling menghargai khazanah fekah yang telah ditinggalkan oleh ulamak-ulamak silam. Membasmi sikap taksub mazhab bukan bermakna memerangi mazhab-mazhab yang ada dalam Islam. Penulis sentiasa mengiktiraf kewujudan mazhab-mazhab tersebut dan menghormati para ulamak Ahlus Sunnah Wal Jamaah secara keseluruhannya. Menurut Syaikh al-Albani rahimahullah:
Sesungguhnya penyeru untuk kembali kepada al-Sunnah tidak bermaksud meninggalkan semua mazhab yang ada baik secara global mahupun secara rinci, bahkan mereka (yang mengajak untuk kembali kepada sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam) senantiasa menghargai mazhab-mazhab tersebut dan menghormati para imam mazhab sambil bergantung pada pandangan para imam untuk memahami al-Kitab dan al-Sunnah. Mereka hanya meninggalkan pendapat para imam apabila jelas bertentangan dengan al-Kitab dan al-Sunnah. - Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Maqalaat Albani, (edisi terjemahan dengan tajuk Risalah Ilmiah Albani oleh Abu Musyrifah dan Ummu Afifah, Pustaka Azzam, Jakarta, 2002), ms. 42.
Sebenarnya tidak menjadi satu kesalahan untuk mengikuti mana-mana mazhab asalkan pendapat mazhab itu tidak lebih diutamakan dari al-Qur’an dan hadis Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Dalam ertikata lain sekiranya di dalam sesuatu mazhab itu terdapat amalan yang bercanggah dengan al-Qur’an dan al-Sunnah maka hendaklah ditinggalkan pendapat mazhab tersebut. Diakibatkan oleh bisikan syaitan, wujud di kalangan umat Islam yang begitu taksub terhadap mazhab masing-masing sehingga mereka beranggapan hanya mazhab mereka sahaja yang benar dan wajib ditaati dalam apa jua keadaan. Menurut Syaikh Muhammad Sulthan al-Maksumi al-Khajandi rahimahullah:
Dari sanalah (sikap fanatik mazhab) munculnya saling membenci, saling meninggalkan, saling menghasut dan takbur, hingga urusan umat Islam berantakan dan persatuan menjadi cerai-berai. Jadilah mereka santapan orang-orang Eropah dan penindas. Bukankah setiap imam Ahl al-Sunnah rahimahumullah itu merupakan imam kita dan kita di barisan mereka? Sangat disesalkan orang-orang fanatik ini! Ya Allah, tunjukilah kami dan mereka ke jalan yang lurus. - Syaikh Muhammad Sulthan al-Ma’shumi al-Khajandi, Halil Muslim bi at-Tiba’ Mazhab Mu’ayyan min Mazahibi al-Arba’ah (edisi terjemahan bertajuk Perlukah Bermazhab Penerbit Aras Sarana Widia, Jakarta, 1999), ms. 86.
3) Perbahasan fekah sentiasa akan mendedahkan para pembaca kepada perbezaan-perbezaan pendapat (ikhtilaf) di kalangan para ulamak. Bagi penulis pendedahan tersebut adalah satu sikap yang wajar untuk diketengahkan kepada masyarakat yang semakin dahagakan ilmu. Apatah lagi Qatadah pernah berkata:
Barangsiapa yang tidak mengenal ikhtilaf, maka dia belum mencium fikih (ilmu Fekah) dengan hidungnya. - Penulis nukil dari buku karya Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim bertajuk Shahih Fiqh as-Sunnah wa Adillatuhu wa Taudhih Madzahib al-A’immah (edisi terjemahan dengan tajuk Shahih Fikih Sunnah terbitan Pustaka Azzam, Jakarta, 2006) jilid 1, ms. 21.
Pengarang kitab Shahih Fiqh as-Sunnah ketika mengulas ucapan Qatadah di atas telah berkata:
Disebabkan tidak tahunya seseorang terhadap ikhtilaf itu boleh menyebabkan seseorang menolak sebahagian kebenaran. Kebenaran tidak diungguli oleh sebahagian individu – di antara sekian banyak ulamak-, namun ia boleh dimiliki oleh sesiapapun. Kerana itu ada sebuah riwayat daripada ‘Uthman bin Atha’ daripada bapanya, dia berkata:
Tidak seharusnya seseorang berfatwa kepada manusia sebelum dia mengetahui ikhtilaf yang terjadi di kalangan manusia (ulamak), kerana jika dia melakukan hal itu, boleh terjadi dia menolak ilmu yang sebenarnya lebih thiqah (terpercaya kebenarannya) dari ilmu yang dia yakini. - Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim bertajuk Shahih Fiqh as-Sunnah, jilid 1, ms. 21.
4) Adakalanya ketika berhadapan dengan perkara yang terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ulamak, penulis akan melakukan tarjih (memilih pendapat yang lebih tepat) sekiranya telah jelas bagi penulis akan kekukuhan hujahnya berbanding dengan pendapat-pendapat yang lain. Namun begitu ini tidak bermakna penulis telah memperkecilkan pandangan para ulamak yang berpegang kepada pendapat yang penulis lihat kurang tepat itu. Namun sekiranya terdapat sesuatu perselisihan pendapat sama ada dalam perkara yang pokok atau cabang dalam agama, manhaj Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah merujuk semula kepada al-Qur’an dan al-Sunnah untuk mendapatkan kepastian tentang pandangan mana yang lebih benar dan tepat. Ini selari dengan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ
فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ
ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya. - al-Nisaa’ (4) : 59
Harus juga penulis tekankan di sini bahawa pendapat-pendapat yang telah penulis tarjih bukan bermaksud menjadi keharusan bagi orang lain untuk mengikuti pendapat penulis tersebut. Namun penulis telah melakukan tarjih tersebut sesuai dengan kemampuan dan ilmu yang ada pada diri penulis yang sememangnya tidak bebas dari melakukan kesilapan. Usaha penulis ini diharapkan dapat membantu para pembaca untuk melakukan amalan sesuai dengan sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, amalan para al-Salafussoleh dan bebas dari amalan-amalan bid’ah yang tercela. Adalah penting bagi seluruh gerakan dakwah untuk berusaha melakukan tashfiyyah (memurnikan Islam dari apa yang asing atau jauh darinya seperti amalan-amalan bid’ah) dalam masyarakat kerana semua amalan yang tidak ada contohnya daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ianya terbatal (tidak diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala) bahkan sesat. Ini sebagaimana sabda baginda shallallahu ‘alaihi wasallam:
مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ. Maksudnya: Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Sulh, no: 2697.
مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ. Maksudnya: Barangsiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama), maka tertolaklah ia. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Aqdhiyah, no: 1718.
Mungkin ada yang berkata apa salahnya perbuatan mengerjakan solat-solat sunat yang bid’ah tersebut kerana amalan yang kelihatan baik. Jawapan kami kepada mereka adalah setiap bid’ah itu tetap sesat walaupun kelihatan seperti baik. Daripada ‘Abdullah bin Umar radhiallahu’ anhuma:
كُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَاِنْ رآهَا النَّاسُ حَسَنَةٌ. Maksudnya: Setiap bid’ah itu sesat, walaupun manusia memandangnya (perbuatan bid’ah tersebut) hasanah (baik). - Diriwayatkan oleh Imam al-Lalaka’i dalam Syarah Usul I’tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, Ibnu Nashir dalam al-Sunnah dan oleh Ibnu Baththah dalam al-Ibanah.
Imam al-Syafi’i rahimahullah pernah berkata:
مَنْ اِسْتَحْسَنَ فَقَدْ شَرَعَ وَمَنْ شَرَعَ فَقَدْ كَفَرَ.
Sesiapa yang menganggap baik (apa yang diciptakan dalam urusan agama), dia telah mencipta syarak, sesiapa yang mencipta syarak, maka dia telah kafir. - Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i, al-Risalah, ms. 507.
Kesimpulannya tidak ada istilah bid’ah hasanah (bid’ah yang baik atau terpuji) di dalam perkara bersangkutan dengan ibadah kerana Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: ...وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ. “dan setiap yang diada-adakan (bid’ah) adalah sesat” - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Jama’ah, no: 867.
Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menyempurnakan segala bentuk amal ibadah yang Dia inginkan hamba-hamba-Nya persembahkan kepada-Nya sebelum Dia mewafatkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Ini sebagaimana firman-Nya:
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
Maksudnya: Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. - al-Maaidah (5) : 3
Telah berkata Imam al-Syaukani rahimahullah:
Jika sekiranya Allah telah menyempurnakan agama-Nya sebelum diambil (nyawa) Nabi-Nya apa perlunya seseorang itu mengada-adakan lagi suatu amalan yang baru (amalan bid’ah) sedangkan Allah telah menyempurnakan agama-Nya? Jika yang diada-adakan itu bukan kerana agama, maka apa perlunya bersibuk-sibuk dengan amalan yang bukan urusan agama? - Imam al-Syaukani, al-Qaul al-Mufid, ms. 38.
5) Adakalanya perkara-perkara yang dikhilafkan itu masing-masing memiliki hujah-hujah yang kukuh dan dibangunkan menurut kaedah-kaedah fekah yang benar. Maka dalam keadaan sebegini penulis tidak melakukan tarjih tetapi penulis terbuka kepada pendapat-pendapat tersebut. Bagi para pembaca bolehlah memilih pendapat mana yang mereka yakini lebih tepat. Ibnu Abdil Barr rahimahullah berkata:
Adalah wajib ketika terjadi ikhtilaf ulamak, agar mencari dalil dari al-Qur’an, al-Sunnah, ijmak atau qiyas berdasarkan pokok-pokok dalil tadi. Apabila dari dalil-dalil yang ada adalah sama kuat, maka wajib memilih dalil yang paling mendekati kebenaran menurut al-Qur’an dan al-Sunnah. Jika langkah tersebut belum menunjukkan kejelasan, maka wajib untuk bertawaqquf (berhenti tanpa mentarjih) dan tidak boleh memastikan pada salah satu pendapat melainkan dengan keyakinan. - Penulis nukil dari buku karya Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim bertajuk Shahih Fiqh as-Sunnah jilid 1, ms. 22-23.
6) Penulis tidak membahaskan beberapa jenis solat sunat yang kebiasaannya diamalkan oleh masyarakat Islam di Malaysia. Hal ini adalah kerana menerusi buku ini penulis hanya fokuskan kepada solat-solat sunat yang disandarkan kepada hadis-hadis yang sabit daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Bersolat menurut cara Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam merupakan satu satu keawajipan sebagaimana sabdanya:
صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّيMaksudnya: Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Azaan, no: 631.
Segala jenis solat-solat sunat yang berlandaskan dalil-dalil yang lemah dan palsu tidak akan dibahaskan menerusi buku ini. Lantaran itu, menerusi ruangan mukadimah buku ini penulis ingin mengambil kesempatan untuk memperjelaskan tentang pandangan sesetengah pihak yang membenarkan untuk beramal dengan hadis-hadis dha’if (lemah) sebagai sandaran dalam mengamalkan sesuatu ibadah yang juga merangkumi ibadah solat sunat.
Apakah itu hadis Dha’if? Hadis lemah atau dha’if adalah hadis yang tidak menepati persyaratan hadis sahih atau hasan. Kelemahan hadis tersebut boleh disebabkan oleh dua perkara yakni:
Tanggapan bahawa dibenarkan penggunaan hadis-hadis dha’if muncul dari pendapat sesetengah para ulamak yang membenarkan penggunaannya dalam bab fadhaail al-amal (keutamaan melakukan sesuatu amal) atau targhib (anjuran untuk melakukan sesuatu amalan) dan tarhib (amaran terhadap sesuatu amalan). Mereka sering berhujah dengan kata-kata Imam Ahmad rahimahullah seperti berikut:
Apabila kami meriwayatkan daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tentang halal dan haram dan sunnah-sunnah hukum-hukum, nescaya kami keraskan yakni kami periksa dengan ketat sanad-sanadnya. Dan apabila kami meriwayatkan daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tentang fadhaail al-amal yang tidak menyangkut masalah hukum dan tidak disandarkan kepada baginda shallallahu ‘alaihi wasallam, nescaya kami permudahkan (pemeriksaan) sanad-sanadnya. – Diriwayatkan oleh Imam al-Khatib al-Baghdadi dalam Kifaayah fi Ilmir Riwayah, ms. 134.
Sebenarnya maksud Imam Ahmad di atas tidak menyokong hujah mereka kerana bagi beliau pembahagian hadis hanyalah menjadi dua iaitu sahih dan dha’if. Hadis dh’aif pula terpecah kepada dua kategori iaitu:
a) Hadis dha’if yang tertolak dan tidak dipakai sebagai hujah. b) Hadis dhai’if yang boleh dijadikan hujah.
Hadis dha’if jenis kedua ini menurut istilah Imam al-Tirmidzi rahimahullah dikenali sebagai hadis hasan yang temasuk dalam kategori hadis yang sabit (thabithah). Hadis hasan ialah hadis yang sanadnya bersambung dari permulaan sampai akhir, diceritakan oleh orang-orang yang adil, kurang dhabit, serta tidak ada syadz dan ‘illat yang berat di dalamnya. Oleh itu maksud sebenar Imam Ahmad rahimahullah dengan permudahkan pemeriksaan sanad (tasaahul) dalam perkara berkaitan fadhaail al-amal adalah beramal dengan hadis yang berstatus hasan. Syaikh Ahmad Muhammad Syakir rahimahullah. ketika mensyarah buku al-Ba’iistul-Hasist Syarah Ikhtisar Ulumil-Hadith karya Ibnu Kathir rahimahullah (jilid 1, ms. 279) telah berkata:
Sesungguhnya maksud ucapan mereka (termasuk Imam Ahmad, ‘Abdul Rahman bin Mahdi dan ‘Abdullah bin Mubarak) yang lebih tepat –wallahu a’lam- bahawa mempermudahkan maknanya pengambilan hadis hasan yang tidak sampai kedudukan kepada hadis sahih.
Selanjutnya Ibnu Qayyim rahimahullah dalam kitabnya 'Ilam al-Muwaqqi'iin ketika memaparkan tentang dasar hukum keempat berkata tentang pandangan Imam Ahmad:
Dasar hukum keempat: berpedoman kepada hadis mursal dan dha’if jika tidak ada yang membantahnya, beliaulah (iaitu Imam Ahmad) yang mengutamakan hadis mursal dan dha’if di atas qiyas. Hadis dha’if yang dimaksudkannya bukanlah hadis yang bathil, munkar yang salah satu perawinya tertuduh sebagai pemalsu hadis sehingga menyebabkan larangan pengamalan hadis ini. Tetapi dha’if menurut beliau adalah sebahagian dari sahih dan sebahagian dari hadis hasan, kerana beliau tidak membahagi hadis kepada sahih, hasan dan dha’if, tetapi beliau membahagi hadis kepada sahih dan dha’if. – Rujuk 'Ilam al-Muwaqqi'iin, jilid 1, ms. 31. Penulis nukil dari buku Dr Asyraf bin Sa’id, Hukmu al-‘Amal bi al-Hadits adh-Dha’if, (edisi terjemahan dengan tajuk Hukum Mengamalkan Hadits Dha’if, Pustaka Azzam, Jakarta 2004) ms. 125.
Bagi mereka yang suka menyebarkan hadis dha’if, mereka beranggapan telah terjadi ijmak (kesepakatan) di kalangan para ulamak tentang sahnya penggunaan hadis dha’if dalam perkara fadhaail al-amal atau targhib dan tarhib sedangkan realitinya telah terjadi khilaf (perbezaan pendapat) di antara para ulamak sebagaimana diterangkan secara meluas di dalam kitab-kitab mushthalah. Menurut Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah:
Nukilan ini (terjadinya ijmak tentang dibenarkan penggunaan hadis dha’if dalam bab fadhaail al-amal atau targhib dan tarhib) perlu dipersoalkan kerana perbezaan pendapat dalam masalah ini tetap ada di mana sebahagian para peneliti hadis berpihak kepada pendapat tidak dibolehkan menggunakan hadis dha’if secara mutlak dalam masalah hukum atau fadhaail. Syaikh Jamaluddin al-Qosimi rahimahullah dalam Qowa’id at-Tahdits (m.s. 94) berkata:
Dikisahkan oleh Ibnu Sayyid al-Nas dalam Uyun al-Atsar daripada Yahya bin Ma’in dan dinisbatkan kepada Abu Bakar bin al-‘Arabi dalam Fath al-Mughits, sebenarnya ini juga pendapat Bukhari dan Muslim… juga pendapat Ibnu Hazm. - Tamamul Minnah fit-Ta’liq ‘Ala Fiqhus Sunnah, (edisi terjemahan dengan tajuk Terjemah Tamamul Minnah Koreksi dan Komentar Ilmiah Terhadap Kitab Fiqhus Sunnah Karya Syaikh Sayyid Sabiq) ms. 27
Inilah juga pegangan Imam al-Syafi’i rahimahullah yang dengan kata-katanya yang masyhur seperti di bawah:
Apabila hadis itu sahih, maka ia adalah madzhabku. – rujuk Muhammad Nashiruddin al-Albani, Shifatu Shalaati an-Nabiyyi Shallallahu 'alaihi wasallam min at-Takbiiri at-Tasliimi Ka-annaka Taraaha, (edisi terjemahan dengan tajuk Sifat Solat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam) ms. 58
Setiap apa yang aku katakan, sedangkan dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam terdapat hadis sahih yang bertentangan dengan perkataanku, maka hadis nabi adalah lebih utama. Oleh itu, janganlah kamu mengikutiku (bertaklid padaku). – rujuk Muhammad Nashiruddin al-Albani, Sifat Solat Nabi, ms. 59
Setiap perkara yang aku telah perkatakannya, sedang ada riwayat yang sahih di sisi ulamak hadis daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang menyanggahi apa yang aku ucapkan, maka aku menarik balik ucapanku semasa hidupku dan selepas mati. – rujuk Ibn Qayyim al-Jauziyyah, 'Ilam al-Muwaqqi'iin, jilid 2 ms. 263
Selanjutnya apa yang sebenarnya dimaksudkan oleh sebahagian para ulamak bahawa boleh beramal dengan hadis-hadis dha’if untuk fadhaail al-amal atau tarhib dan targhib ialah apabila telah wujudnya dalil yang sahih secara tafshil (terperinci) yang menetapkan tentang sesuatu amal, baik wajib, sunat, haram atau makruh, kemudian datang hadis-hadis dha'if yang menerangkan tentang keutamaannya (fadhaail al-amal) atau tarhib dan targhibnya dengan syarat hadis-hadis tersebut tidak terlalu dha'if atau maudhu' (palsu) maka inilah yang dimaksudkan oleh sebahagian ulamak: boleh beramal dengan hadis-hadis dha'if untuk fadhaail al-amal atau targhib dan tarhib. Satu lagi syaratnya yang perlu dilihat adalah hadis dh’aif tersebut masih membicarakan hukum asli tanpa adanya penambahan atau menetapkan batasan baru bagi amalan tersebut. Sebagai contohnya amalan berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis atau pada bulan-bulan haram telah ditetapkan menerusi dalil yang sah dari hadis-hadis Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Setelah itu terdapat hadis-hadis dha’if yang ringan berbentuk fadhaail al-amal atau tarhib dan targhib yang tidak berlebihan berkaitan puasa tersebut, maka sesetengah ulamak membenarkan beramal dengan hadis tersebut. Berbeza pula sekiranya melakukan ibadah tertentu pada malam Nisfu Sya’ban yang tidak memiliki sebarang sandaran dari al-Qur’an mahupun al-Sunnah, maka dalam situasi sebegini hadis yang ringan kedha’ifannya pada dasarnya tidak memiliki sebarang nilai. Apa pun jua bagi para ulamak yang membolehkan pengamalan hadis dha’if yang ringan dalam bab fadhaail al-amal atau tarhib dan targhib telah menetapkan beberapa persyaratan yang sangat berat dan ketat. Menurut Syaikh Abu ‘Abdullah Sayid bin ‘Abbas al-Jalimi:
Para peneliti dalam disiplin ilmu ini menyatakan larangan mengamalkan hadis dha’if baik dalam hukum mahupun bab fadhaail al-amal (keutamaan ibadah). Golongan yang membenarkan mengamalkan hadis dalam keutamaan ibadah sekalipun hadis dha’if (selama bukan hadis palsu atau sangat lemah) telah menetapkan syarat-syarat penting yang harus dipenuhi dalam mengamalkan hadis tersebut. - Penulis nukil dari buku Dr Asyraf bin Sa’id, Hukmu al-‘Amal bi al-Hadits adh-Dha’if , ms 18.
Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:
Syarat pertama: Penggunaan hadis tersebut khusus untuk perkara berkaitan fadhaail al-amal atau targhib dan tarhib. Penggunaan hadis dha’if dalam hal-hal berkaitan akidah dan penetapan hukum-hakam (seperti mewajibkan mahupun menetapkan hukum sunat terhadap sesuatu amal) adalah sama sekali tidak dibenarkan. Menetapkan hukum ke atas sesuatu amalan mestilah berlandaskan nas yang sabit. Sekiranya tidak seseorang itu berkemungkinan tinggi akan terjebak ke dalam perbuatan mencipta syari’at yang baru atau amalan bid’ah.
Syarat kedua: Hadis yang dipergunakan tersebut tidak terlalu dha'if . Hadis-hadis maudhu' (palsu), munkar (hadis yang diriwayatkan perawi yang dha’if bertentangan dengan riwayat daripada perawi yang thiqah) dan hadis-hadis La ashla lahu (yang tidak diketahui asal-usulnya) sama sekali tidak dibenarkan penggunaannya.
Syarat ketiga: Hadis tersebut tidak boleh diyakini sebagai sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Justeru itu ketika mempergunakan hadis tersebut tidak boleh menggunakan lafaz-lafaz yang menetapkan secara pasti (jazm) bahawa hadis tersebut berasal daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam seperti: 'Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda' atau 'Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengerjakan sesuatu' atau 'Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah memerintahkan dan melarang' dan lain-lain yang menunjukkan seolah-olah baginda shallallahu ‘alaihi wasallam benar-benar bersabda demikian. Tetapi wajib menggunakan lafadz tamridh (iaitu lafaz yang tidak menunjukkan sebagai suatu ketetapan). Seperti: 'Telah diriwayatkan daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam’ dan yang serupa dengannya.
Syarat keempat: Hadis tersebut harus mempunyai dasar yang umum dari hadis yang sabit. Ini bermakna bahawa hadis dha’if yang dipergunakan tersebut tidak membentuk satu amalan yang baru yang dikategorikan sebagai bid’ah.
Syarat kelima: Hadis tersebut tidak boleh disebarkan kepada orang ramai ataupun mengajak orang ramai untuk beramal dengan hadis tersebut. Al-Hafidz Imam Ibnu Hajar rahimahullah dalam Tabyin al-Ajib Bimaa Warada Fi Fadli Rajab (ms. 23-26) telah berkata:
Bahawa para ahli ilmu telah mempermudah-mudahkan dalam membawakan hadis-hadis tentang fadhaail al-amal walaupun ada di antaranya lemah (dha’if) selama tidak palsu (mawdhu’). Sepatutnya perkara itu diberikan syarat iaitu orang yang beramal dengannya, berkeyakinan bahawa hadis itu lemah dan tidak memasyhurkannya agar tidak ada orang yang melaksanakan hadis dha’if kemudian mensyariatkannya atau diduga oleh sebahagian orang-orang yang bodoh bahawa hadis tersebut sahih (itu merupakan sunnah yang benar). - Dinukil dari buku Dr Asyraf bin Sa’id, Hukmu al-‘Amal bi al-Hadits adh-Dha’if, ms 80.
Syarat keenam: Wajib memperjelaskan status hadis tersebut sebagai dha'if ketika menukilnya dalam penulisan mahupun menyampaikan secara lisan.
Sekiranya kita meneliti syarat-syarat di atas, sewajarnya kita bertanya kepada golongan yang gemar untuk menyebarkan hadis-hadis dha’if bersandarkan dakwaan bahawa ianya dibenarkan oleh ulamak-ulamak seperti al-Hafidz Ibnu Hajar, Imam al-Nawawi dan al-Hafidz al-Sakhawi; adakah kamu telah memperhatikan serta mempergunakan syarat-syarat tersebut dengan penuh keikhlasan ketika meriwayatkan hadis-hadis tersebut? Penulis yakin ramai di antara mereka yang telah membelakangi syarat-syarat tersebut apatah lagi proses untuk membezakan hadis yang darjatnya sahih, hasan, dha’if yang ringan, dha’if jiddan (sangat lemah), mawdhu’, munkar dan sebagainya seperti yang terdapat dalam ilmu hadis (al-Musthalah) hanya mampu dilakukan oleh mereka yang benar-benar pakar dalam bidang hadis. Menyedari hakikat ini adalah lebih baik bagi masyarakat Islam di Malaysia untuk memberikan keutamaan yang tinggi hanya untuk beramal dengan hadis-hadis yang sabit (iaitu sahih dan hasan) daripada baginda shallallahu ‘alaihi wasallam.
Tindakan menyebar hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tanpa terlebih dahulu meneliti kesahihannya merupakan satu jenayah ilmiah dan merupakan perbuatan yang tercela. Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ. Maksudnya: Cukuplah seseorang itu dianggap berdusta apabila dia menceritakan segala sesuatu yang dia dengar. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Muqaddimah, no: 5.
Celaan tersebut adalah disebabkan setiap perkhabaran yang sampai kepada seseorang maka terdapat kemungkinan ianya perkara yang benar ataupun dusta. Oleh itu sekiranya seseorang itu menyebarkan apa jua perkara yang diterimanya tanpa terlebih dahulu meneliti kesahihannya, maka ini boleh mengakibatkan dirinya terjebak menjadi penyebar perkara yang dusta. Lantaran itu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah mencela perbuatan tersebut. Seharusnya kita sedari bahawa para sahabat radhiallahu’ anhum amat berhati-hati ketika menyampaikan hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Hal ini adalah sepertimana diriwayatkan di bawah:
عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي لَيْلَى قَالَ:
قُلْنَا لِزَيْدِ بْنِ أَرْقَمَ حَدِّثْنَا عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
قَالَ: كَبِرْنَا وَنَسِينَا وَالْحَدِيثُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَدِيدٌ.
Maksudnya: Berkata Abdurrahman bin Abi Laila: Kami pernah berkata kepada Zaid bin Arqam: Ceritakanlah kepada kami (hadis-hadis) daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Beliau menjawab: Kami telah tua dan lupa, sedangkan menceritakan hadis daripada Rasulullah sangat berat. – Hadis riwayat Imam Ibnu Majah dalam Sunannya, Kitab Muqaddimah, no: 25.
Satu perkara yang sewajarnya kita yakini adalah perbahasan yang wujud dalam hadis-hadis yang sahih dan hassan telah mencakupi seluruh bidang ilmu dalam Islam termasuk perkara berkaitan fadhaail al-amal atau targhib dan tarhib. Dr. Asyraf bin Sa’id berkata:
Sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Muslim rahimahullah bahawa hadis-hadis sahih yang diriwayatkan oleh perawi yang terpercaya atau para ahli ilmu sangat banyak jumlahnya sehingga tidak perlu meriwayatkan lagi daripada perawi yang lemah dan cacat. Begitu juga yang dikatakan oleh Ibnu Hibban rahimahullah:
Kami tidak berdasarkan kepada dalil yang tidak sah dari segi periwayatan dalam buku kami kerana dalil-dalil sahih yang ada sudah cukup bagi kami. - Dinukil dari buku Dr Asyraf bin Sa’id, Hukmu al-‘Amal bi al-Hadits adh-Dha’if, ms 108.
Sesungguhnya pengamalan hadis dha’if ini membuka pintu kerosakan. Pada mulanya mungkin seseorang itu membataskan diri dalam perkara berkaitan fadhaail al-amal atau targhib dan tarhib sahaja. Namun lambat laun penggunaan hadis dha’if ini akan menular pula dalam perkara berkaitan dengan akidah, tauhid dan hukum-hukum lain sebagaimana yang terjadi sekarang. Di antara kerosakan yang fatal dalam sikap terlalu mengambil mudah dalam pengamalan hadis dha’if ini adalah timbulnya amalan bid’ah dalam masyarakat terutamanya hadis-hadis dha’if yang mengkhususkan amalan tertentu, dikerjakan pada hari, tatacara, tempat, keadaan ataupun jumlah yang tertentu tanpa disokong oleh riwayat yang sah daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
Jelas bagi kita bahawa periwayatan hadis-hadis Rasulullah bukanlah satu perkara yang boleh diambil mudah. Kita seharusnya berusaha untuk meneliti statusnya terlebih dahulu. Sekiranya tidak mampu untuk berbuat demikian maka hendaklah kita merujuk kepada mereka yang ahli dalam bidang hadis. Sewajarnya kita tidak menyebarkan sesuatu hadis hanya bersandarkan persangkaan di dalam diri masing-masing bahawa ianya hadis yang sabit. Sesungguhnya sikap hanya bergantung kepada persangkaan telah dicela oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala melalui firman-Nya:
وَمَا يَتَّبِعُ أَكْثَرُهُمْ إِلَّا ظَنًّا إِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِمَا يَفْعَلُونَ
Maksudnya: Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja, (padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan. – Yunus (10) : 36
Justeru itu satu tindakan yang bersepadu oleh ilmuwan Islam di Malaysia perlu diambil demi untuk membersihkan hadis-hadis dha’if dan mawdhu’ yang telah disebarkan di kalangan masyarakat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Ini merupakan satu usaha yang murni kerana terdapat ancaman yang keras daripada Rasulullah s.a.w bagi mereka yang berdusta di atas nama baginda. Menurut Imam al-Thahawi rahimahullah di dalam kitabnya Musykilul Athar (jilid 1, ms. 176):
Barangsiapa yang menceritakan (hadis) daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam atas dasar zhan / persangkaan, bererti dia telah menceritakan (hadis) daripada baginda shallallahu ‘alaihi wasallam dengan tanpa haq (dengan tidak benar). Dan orang yang menceritakan (hadis) daripada baginda shallallahu ‘alaihi wasallam dengan tanpa haq, bererti dia telah menceritakan (hadis) daripada baginda shallallahu ‘alaihi wasallam dengan cara yang batil. Dan orang yang telah menceritakan (hadis) daripada baginda shallallahu ‘alaihi wasallam dengan cara yang batil, nescaya dia menjadi salah seorang pendusta yang termasuk di dalam sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:
مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّداً فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ. Maksudnya: Barangsiapa yang sengaja berdusta atas namaku, maka hendaklah dia mengambil tempat tinggalnya di neraka. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-‘Ilm, no: 107
Buku yang berada di tangan para pembaca ini penulis berikan judul Panduan Solat Sunat Cara Nabi S.A.W. Berbeza dengan buku-buku penulis sebelum ini, buku ini penulis usahakan dengan bantuan semakan dari rakan seperjuangan penulis iaitu Ustaz Mohd Fikri bin Che Hussain, graduan dalam bidang Pengajian Islam dari Universiti Ibnu Tofail, Kenitra, Maghribi, seorang pelajar agama, pendidik di sekolah dan masjid, penulis buku dan artikel yang karyanya telah tersebar luas di seluruh negara.
Semoga buku ini mencapai objektifnya serta mendatangkan manfaat kepada sesiapa yang membacanya serta dapat menjadikan kita insan yang bersungguh-sungguh dalam mengamalkan sunnah-sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dalam segala perkara terutamanya dalam bab mengerjakan solat sunat. Penghargaan dan terima kasih kepada guru-guru yang banyak mengajar penulis tentang manhaj Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Setinggi-tinggi penghormatan juga kepada kedua ibu bapa yang dikasihi, isteri yang tercinta Wan Haslini Wan Kamaruzaman, serta seluruh ahli keluarga yang disayangi, kepada teman-teman seperjuangan yang senantiasa memberi sokongan yang padu kepada penulis untuk terus berkarya. Semoga Allah membalas jasa mereka dengan ganjaran pahala yang lebih baik di dunia dan akhirat.
Penulis juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kapten Hafiz Firdaus, Shaabana Zahir Ahmad dan Ummu ‘Izzati kerana sudi membaca pruf serta membuat sebarang pembetulan yang perlu terhadap buku ini. Walaubagaimanapun seandainya terdapat apa-apa kesilapan atau kekurangan dalam buku ini, maka ia adalah di atas tanggungjawab penulis. Sebarang pembetulan dan pembaikan dialu-alukan. Ia boleh disampaikan kepada penulis sama ada melalui telefon: 016-2640722 atau e-mel: akob73@yahoo.com. Semoga amalan yang baik dan ilmu yang berfaedah ini diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Abu Iqbal Mohd Yaakub Bin Mohd Yunus Rabiulakhir 1429 / April 2008 Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur Sila layari: http://akob73.blogspot.com/
|